Kepercayaan Raf Yaakob, tanggungjawab Mawar Rashid


Bulan Madu - Pasangan pengantin baharu ini bakal berangkat ke United Kingdom untuk menghadiri majlis makan malam bersama pemain bola sepak Manchester United pada 16 November ini. Lawatan selama seminggu tersebut secara tidak langsung menjadi bulan madu mereka.

Berkonsepkan adat perkahwinan tradisional Jawa, hari bahagia pelakon drama rantaian Suamiku Paling Sweet, Mawar Rashid dan pasangannya, Raf Yaakob berlangsung dalam nada penuh kemeriahan bertempat di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 9 November lalu.

Hiasan ukiran kerawang pelamin berbentuk sepasang sayap dan dipenuhi dengan bunga mawar putih menjadikan singgahsana raja sehari tampak gah dan memukau hadirin yang hadir.

Menggayakan busana berona putih dengan padanan kain bercorak klasik, Mawar tampil persis seorang puteri Jawa yang duduk di atas peterana pernikahan sementara menantikan ketibaan Raf atau nama lengkapnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob.

Suasana ruang legar hotel bertaraf lima bintang tersebut turut dilunakkan dengan alunan muzik gamelan sementara menantikan acara akad nikah disempurnakan selain ketibaan tetamu sekitar pukul 2 petang,

Kemudian, masa yang dinantikan hadirin tiba apabila Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid melangkah masuk ke dalam dewan. Selang beberapa ketika, muncul pula pemilik belahan hatinya dengan diiring oleh putera sulungnya, Raden Ahmad Rayyan, 6, melangkah masuk bagi memulakan acara ijab kabul.

Setiap langkah Raf ke pentas yang disediakan untuk menyempurnakan pernikahan diperhatikan lembut oleh Mawar sambil mengukirkan senyuman manis di bibir.

Pada pukul 3.20 petang, wanita berusia 22 tahun itu sah menjadi milik Raf dengan sekali lafaz. Acara akad nikah disempurnakan oleh Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Ustaz Mohammad Azri Ahmad Kamil sambil disaksikan ahli keluarga dan kenalan terdekat.

Meluahkan rasa syukur, Mawar tersenyum sambil menyeka air mata yang jatuh di pipi. Bermula dari detik tersebut, wanita kacukan Melayu-Thailand itu telah menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu buat dua cahaya mata Raf hasil daripada perkahwinan terdahulu.

Kata Raf, personaliti Mawar yang lemah lembut, berdikari dan mesra dengan kedua-dua anaknya telah membuatkan dirinya tertarik untuk memperisterikan wanita bermata galak itu. Selain Raden Ahmad Rayyan, Raf juga mempunyai seorang cahaya mata perempuan bernama Raden Raysaa Chanela, 2.

“Alhamdulillah segala perancangan berjalan lancar dan saya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga kerana banyak membantu termasuk jemputan yang sudi hadir memeriahkan majlis.

“Mohon perkahwinan ini menjadi yang terakhir buat kami berdua. Melihat kepada peribadi dan kelembutannya, mustahil untuk saya bertemu wanita lain ‘seindah’ Mawar,” tuturnya sambil menoleh ke arah suri hatinya yang duduk di sebelah.

Kematangan usia


Keluarga - Raf dan Mawar merakam gambar bersama dua orang cahaya mata bernama Raden Ahmad Rayyan (dua dari kiri) dan Raden Raysaa Chanela (dua dari kanan) dan ibu Raf, Datin Umi Kalsum Abd. Latib (tiga dari kiri) serta ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.

Membalas dengan senyuman terhadap pujian daripada suaminya itu, Mawar pula meluahkan rasa syukur seraya berkongsi perasaan gembira setelah bergelar isteri pada usia yang muda.

Baginya, tangga usia tidak mencerminkan tahap kematangan mahupun menggambarkan personaliti seseorang. Sebaliknya, kematangan hadir secara semula jadi berdasarkan pengalaman dan cara individu itu sendiri menyesuaikan diri bersama orang sekeliling.

Dalam pada itu, Mawar turut mengatakan, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran usia untuk berumah tangga apatah lagi berkahwin pada umur 22 tahun.

“Sebelum ini fokus saya lebih kepada keluarga dan segala yang dilakukan pasti buat mereka termasuk penglibatan dalam bidang seni. Sejujurnya saya sendiri tidak pernah meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia sekarang.

“Segalanya adalah ketentuan takdir dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menafikannya. Syukur kepada Tuhan segala yang dirancangkan berjalan lancar dan kini saya telah bergelar puan.

“Insya-Allah saya berusaha akan menjadi seorang isteri yang solehah dan taat kepada suami. Biarpun tidak sempurna tetapi mampu membahagiakan suami dan anak-anak hingga akhir hayat,” katanya dalam nada manja sambil tersenyum.

Bercerita tentang rentak kasih yang terbina, sepanjang menjalin percintaan dengan Raf sejak Januari lalu, Mawar merasakan dirinya telah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Mengenali Presiden Kelab Peminat Pasukan Bola Sepak Manchester United itu, Mawar mengakui perubahan ke atas dirinya yang kini menjadi lebih matang selain perlahan-lahan menjadi individu lebih baik.

Disebabkan keserasian bersama Raf, pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sedia menerima lamaran lelaki tersebut pada 7 Jun lalu. Mereka kemudian mengikat tali pertunangan pada 7 Julai.

Bebas namun berbatas

Melanjutkan cerita, Mawar gembira apabila minatnya terhadap dunia lakonan tidak mendapat bantahan. ‘Lampu hijau’ yang diberikan oleh suami pastinya bukan satu kepercayaan yang perlu dipersia-siakan.

Tidak mengklasifikasikan sebagai syarat, tetapi Mawar berasa ia keputusan yang dilakukan bukan sahaja menjaga keharmonian keluarga, malah turut menghargai iktikad suami kepada dirinya.

Ujar Mawar, dia mengharapkan agar pihak produksi menerima keputusannya yang tidak mahu terlibat dengan babak bersentuhan pada masa akan datang. Meluahkan pandangannya, penonton masa kini yang lebih berfikiran terbuka pasti akan menerima keputusannya itu.

Sebagai pelakon, sudah menjadi kemahiran menggunakan kreativiti untuk mempamerkan perasaan kasih sayang tanpa perlu dizahirkan dengan sentuhan fizikal.

“Terlebih dahulu saya memohon kepada suami sekiranya selepas ini terdapat naskhah yang memperlihatkan Mawar melakukan babak bersentuhan dengan lelaki lain. Penggambaran dilakukan lebih awal dan insya-Allah ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Terdapat beberapa pelakon dalam industri tempatan menggunakan cara sama ketika berlakon. Justeru saya berpendapat, tidak melibatkan babak bersentuhan juga mampu menterjemahkan emosi kasih sayang kepada penonton,” terangnya optimis.

Dalam pada itu, Raf turut bersetuju dengan kenyataan Mawar yang mengetahui batasnya sebagai isteri. Meskipun tidak menghalang isterinya kekal aktif dalam dunia seni, Raf tetap mengharapkan Mawar bijak memilih skrip dan watak kelak.

“Dalam hubungan suami isteri kita perlukan kepercayaan pasangan. Saya yakin dengan Mawar dan memberikan kebebasan untuk berlakon, namun masih berbatas memandang statusnya kini telah berumah tangga.

“Saya juga tidak menghalang sekiranya dia ingin terlibat dengan bidang pengacaraan dan nyanyian. Segalanya terpulang kerana secara peribadi saya tidak pernah menghalang keinginannya,” kata Raf yang juga merupakan seorang pelakon.

Membintangi drama adaptasi novel bertajuk Awak Suka Saya Tak bersama Emma Maembong, Raf turut mengucapkan terima kasih kepada rakan artisnya itu kerana telah memperkenalkan Mawar kepadanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post