Survival seni Luqman Hafidz, Cik Manggis


Dua nama ini, Luqman Hafidz dan Cik Manggis masing-masing boleh dikategorikan sebagai pendatang baharu dalam dunia hiburan tanah air.

Luqman membina nama menerusi lakonan filem Ola Bola. Sejak itu, satu persatu cabang seni cuba diterokainya.

Begitu juga dengan Cik Manggis yang mula dikenali dek penubuhan band wanita, DeFam yang dianggotainya. Bukan sahaja nyanyian, pada masa sama dia kini mengorak langkah dalam dunia lakonan.

Semestinya, mereka mempunyai impian yang sama dalam mengejar cita-cita. Cumanya, hari ini mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk terus kekal relevan. Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual dua orang pelakon Saka Sisters untuk berkongsi cerita mengenai cabaran mereka untuk menempa nama dalam industri hiburan tempatan.

Sebagai anak seni generasi baharu, bagaimanakah kalian melihat suasana industri hiburan negara kita sekarang?

LUQMAN HAFIDZ: Kalau zaman dahulu, mungkin jumlah pelakon dan penyanyi tidak ramai seperti hari ini. Memang tidak dapat dinafikan, sekarang industri hiburan kita sudah meriah dengan kehadiran ramai pendatang baharu. Saya melihat situasi itu sebagai sesuatu yang baik kerana industri kita mula berkembang dan dapat melahirkan lebih ramai individu berbakat besar dan dapat menyumbang sesuatu kepada industri seni sendiri .

CIK MANGGIS: Pertambahan golongan artis itu rasanya seiring dengan permintaan. Apabila ada muka-muka baharu, secara tidak langsung kita dapat menyemarak dan merancakkan lagi industri hiburan. Bahkan, pada hari ini, dunia digital menjadi satu platform baharu untuk orang mengembangkan bakat yang mereka ada. Maka, sebab itulah, kalau kita perhatikan ada yang boleh menjadi penyanyi bermula dengan memiliki saluran YouTube sendiri sahaja. Cara itu sudah berbeza.

Adakah kalian melihat kehadiran lambakan pelakon atau penyanyi baharu menjadikan ia sebagai satu cabaran untuk terus menempatkan diri agar terus dikenali?

LUQMAN HAFIDZ: Apabila membuat keputusan untuk menceburi bidang lakonan, saya tidak pernah meletakkan impian utama untuk dikenali dan mengejar populariti. Popular atau tidak itu sebenarnya perkara kedua. Apa yang lebih penting ialah hasil kerja yang kita berikan dalam satu-satu naskhah itu.

CIK MANGGIS: Tidak dinafikan memang situasi lambakan pelakon dan penyanyi akan memberi satu cabaran. Dengan erti kata lain, ia memberi satu bentuk persaingan kepada kita semua. Cumanya, saya tidak pernah terfikir masuk ke dalam industri ini untuk bersaing menunjukkan diri siapa yang lagi popular.

Apakah pendekatan yang cuba kalian lakukan untuk pastikan anda terus menempa nama dalam bidang diceburi?

LUQMAN HAFIDZ: Saya memberi fokus kepada kualiti kerja dalam setiap perkara yang dilakukan. Saya masih lagi baharu. Jadi, banyak lagi yang perlu diterokai. Sebab itu, sekarang saya cenderung untuk mencuba pelbagai perkara termasuklah menceburi bidang pengacaraan. Daripada situlah kita dapat melihat potensi diri dan kita kembangkan bakat yang ada.

CIK MANGGIS: Pada saya, setiap orang mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri. Jadi, pada saya biarlah kita berpegang kepada identiti diri sendiri. Begitu juga apa yang saya cuba tonjolkan dalam bidang nyanyian menerusi kumpulan DeFam yang saya sertai. Tatkala, tiada band wanita, DeFam cuba tonjolkan elemen itu. Bahkan, muzik yang kami bawakan juga sedikit berlainan dengan muzik yang sering menjadi siulan ramai. Kalau semua orang cuba ke kanan, kita cuba pula ke kiri, jadi lain daripada yang lain.

Adakah kalian merasakan kontroversi perlu dalam membantu melonjakkan nama?

LUQMAN HAFIDZ: Memanglah dengan cerita-cerita hangat boleh membuatkan orang kenal diri kita dengan cepat. Bagaimanapun, kalau dengan cerita tersebut hanya akan memberikan imej buruk sahaja, apalah gunanya. Biarlah orang kenal diri kita dengan bakat yang ada.

CIK MANGGIS: Senang untuk naik, tetapi apa yang lebih penting, adakah kita boleh terus kekalkan diri kita? Populariti cara begitu mungkin untuk mereka yang cuba ingin dikenali dengan jalan singkat, tetapi tidak menjamin seberapa lama kita akan dikenali.

Bercakap mengenai kerjaya, difahamkan kalian berdua digandingkan bersama dalam sebuah drama berjudul Saka Sisters. Boleh ceritakan serba sedikit pengalaman berlakon dalam naskhah tersebut?

LUQMAN HAFIDZ: Ya, drama tersebut merupakan kerjasama sulung saya bersama Cik Manggis. Kami memang belum pernah lagi berlakon bersama-sama. Sepanjang penggambaran, memang banyak masa kami habis bersama untuk berikan yang terbaik dalam cerita itu.

CIK MANGGIS: Memandangkan cerita itu ada elemen-elemen seram, jadi kebanyakan masa penggambaran itu banyak dilakukan pada sebelah malam. Jadi, adakalanya, kami perlu berada di set sehingga lewat malam, bahkan ada yang memerlukan kami terus berada sehingga ke subuh untuk dapatkan mood seram itu. Cumanya, ia sebuah karya seram komedi, jadi, agak sukar juga untuk saya selitkan unsur humor secara natural.

Mungkin kalian ada perkembangan lain yang ingin dikongsikan kepada pembaca di luar sana?

LUQMAN HAFIDZ: Selain drama, saya kini sibuk menjalani latihan untuk pementasan teater muzikal Ola Bola yang akan bertemu orang ramai awal tahun depan. Sekarang ini kena belajar menari juga. Jadi bolehlah belajar dengan Cik Manggis, lagipun dia pandai menari.

CIK MANGGIS: Saya memang ada menganjurkan kelas menari. Jadi, siapa-siapa yang mahu menyertainya boleh dapatkan maklumat lanjut di akaun Intagram saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post