Nabila Razali tertarik dengan senyuman Aedy Ashraf


Minggu ini industri hiburan tanah air dikejutkan dengan perkhabaran mengenai pelakon dan penyanyi Nabila Razali yang dikatakan kononnya bercinta dengan pelakon Aedy Ashraf.

Semuanya tercetus selepas pelakon Hikayat Cinta Si Pematah Hati itu memuat naik gambar dirinya bersama jejaka berusia 24 tahun itu baru-baru ini.

Bahkan, lebih menguatkan dakwaan itu apabila Nabila turut meletakkan kapsyen dengan emotikon hati seolah-olah menggambarkan mereka kini sedang dilamun cinta.

Spekulasi hubungan mereka menjadi bualan netizen apabila pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd. Razali itu mengenakan pakaian sedondon ketika majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Isnin lalu.

Dek perkongsian foto itu, Nabila kemudian bertindak menutup ruangan komen kepada umum.

“Saya sendiri terkejut apabila tiba-tiba gambar itu menjadi bualan di netizen. Saya tidak sangka pula sebegitu sekali respons yang saya akan terima daripada pengikut di laman sosial.

“Macam-macam komen yang saya terima. Ada yang mendoakan kami, ada juga melahirkan rasa terkejut apabila Aedy bersama saya. Maklumlah, Aedy ramai peminat dalam kalangan orang perempuan,” kata Nabila ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menurut pelantun lagu Cemburu itu, sehingga kini dia masih membiarkan ruangan komen di Instagram yang memaparkan dirinya bersama Aedy ditutup.

“Saya tidak akan buka (ruangan komen di gambar tersebut). Saya berbuat demikian bukan kerana disuruh oleh Aedy. Lagipun, itu akaun saya sendiri, jadi saya yang uruskan,” jelasnya.

Enggan mengiyakan hubungan tersebut melibatkan soal hati, Nabila hanya memberitahu bahawa buat masa ini dia selesa berkawan dengan Aedy.

“Kami ini baru bulan pertama berkawan. Lagipun, sebenarnya saya sudah mengikuti Aedy sejak dia berlakon zaman budak sekolah lagi menerusi filem Cinta Kolestrol,” kongsi pelakon drama Ustaz Baru Nak Start itu.

Ditanya mengenai Aedy kepada dirinya, Nabila memberitahu, dia selesa dengan pembawaan dan karakter yang ada pada pelakon Dendam Aurora itu.

“Saya suka akan senyuman dia. Cara dia membawa diri pun buat saya selesa, seorang yang bercakap lemah-lembut, dan boleh dikategorikan sebagai lelaki budiman,” kongsinya.

Biarpun timbul cerita mengaitkan dirinya bersama lelaki kacak itu, Nabila menafikan mengenai kesediaan dirinya untuk mengakhiri zaman bujang.

“Belum lagi terfikir ke arah itu (berkahwin). Lagipun masing-masing ada komitmen kerja yang banyak. Saya pun sibuk dengan lakonan dan nyanyian,” kata finalis Akademi Fantasia 2013 itu yang memberitahu mereka belum lagi berkenalan sehingga ke peringkat bertemu ahli keluarga.

Dalam perkembangan lain, kata Nabila dia dalam perancangan untuk menghasilkan klip video muzik lagu Pematah Hati tidak lama lagi. Menariknya, dalam video muzik itu nanti, dia akan memberi peluang kepada peminatnya yang mahu menjadi sebahagian daripada naskhah itu nanti.

“Ia sebagai satu penghargaan kepada peminat yang selama ini menyokong perjalanan karier seni saya juga,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post