Optimis mengakui dirinya tidak popular, Daiyan Trisha bagaimanapun optimis dengan usaha yang jitu. Dia kini mampu menempatkan diri dalam dunia seni tanah air, baik sebagai penyanyi mahupun pelakon.
Benar, rezeki dan peluang sebagai seorang anak seni itu berbeza-beza. Baik penyanyi atau pelakon, ada yang usai sedekad berkecimpung dalam lapangan, barulah permaidani berselimutkan kejayaan terbentang luas buat mereka. Ada juga yang baru setahun jagung, nama pantas menyergah garang menjadi dambaan peminat.
Optimis- Mengakui dirinya tidak popular, Daiyan bagaimanapun optimis dengan usaha yang jitu. Dia kini mampu menempatkan diri dalam dunia seni tanah air, baik sebagai penyanyi mahupun pelakon.
Buat pemilik nama sebenar, Daiyan Trisha Nasaruddin, pernah terlintas dalam fikirannya untuk melupakan hasrat bergelar anak seni kerana kurang mendapat sambutan berbanding rakan-rakan seperjuangan.
“Ketika itu saya mengalami banyak masalah termasuk hal peribadi, keluarga dan pelajaran. Apa yang ada di fikiran saya ketika itu adalah ingin berhenti menyanyi.
“Sebagai manusia, kita memang tidak boleh lari daripada masalah. Apabila ia terjadi pada diri saya ketika itu, saya banyak menangis dan pernah juga terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan.
“Bagaimanapun, saya mempunyai pasukan sokongan yang terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan yang amat kuat. Mereka adalah alasan kuat, mengapa saya tidak harus mengalah sehingga hari ini,” ujar Daiyan yang merupakan graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.
Kita Manusia
Sehubungan itu, atas kecintaan menggunung terhadap muzik serta ingin memberi kesedaran kepada golongan yang berdepan gangguan jiwa atau kemurungan, Daiyan muncul dengan single berjudul Kita Manusia yang merupakan ciptaan Omar K serta lirik oleh tulisan sendiri.
Kata Daiyan, barangkali banyak pihak menganggap masalah seperti kemurungan adalah perkara biasa kerana mereka sendiri tidak pernah menghadapinya. Namun bagi dirinya, ia adalah satu ‘penyakit’ yang perlu dibendung agar tidak melarat ke arah hal berisiko.
“Kesedaran tentang masalah kemurungan di Malaysia masih rendah. Orang fikir apabila seseorang itu murung, ia hanyalah sekadar permainan minda yang boleh dihalang begitu sahaja.
“Kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran orang. Senang untuk melontarkan pendapat atau menjatuhkan dengan kritikan, namun tidak senang untuk mereka menghulurkan bantuan kepada individu yang bermasalah,” terang Daiyan penuh bersemangat.
Katanya lagi, usianya ketika berdepan masalah kemurungan masih terlalu muda membuatkan dia mudah melakukan keputusan melulu.
“Mujur saya tidak pernah sampai ke tahap ingin membunuh diri. Ada ‘suara-suara’ sebegitu dalam minda, namun seperti yang saya katakan tadi, saya mempunyai sistem sokongan yang kuat. Alhamdulillah,” jelasnya yang menyasarkan ingin meluncurkan album debut sekitar awal tahun depan.
Trend muzik
Menyedari trend muzik masa kini yang cenderung kembali ke zaman 1980-an atau 1990-an, Daiyan bagaimanapun lebih selesa mengalunkan lagu mengikut cita rasa tersendiri.
Katanya, dia tidak mempunyai masalah andai kelananya dalam belantara muzik sejak 2012 tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada khalayak kerana amat selesa dengan pilihan muziknya.
“Saya sudah lebih lima tahun dalam bidang nyanyian, namun nama masih samar-samar. Saya tidak kisah, asalkan gembira menyanyikan genre muzik yang disukai.
“Ramai penyanyi yang muncul dengan satu single sahaja terus ‘meletup’, namun saya masih merangkak walaupun sudah hampir enam tahun dalam industri. Saya tidak cemburu, malah gembira dengan rezeki orang lain.
“Cuma saya rasa, alangkah bagusnya kalau peminat di Malaysia lebih memberikan peluang dan ruang kepada pelaku muzik tempatan untuk menjelajah jenis muzik yang ingin dibawa. Maksud saya, bukan hanya tersekat dalam satu kelompok atau genre muzik sahaja,” getus Daiyan yang merupakan anak jati Selangor.
Ditanya sama ada dirinya bersedia untuk mengubah pilihan muzik atau mengambil langkah seperti penyanyi masa kini, Daiyan bagaimanapun mempunyai pegangan tersendiri.
“Tidak kisah jenis muzik yang macam mana sekalipun, apa yang penting ia harus mempunyai kualiti dan mesej yang ingin disampaikan kepada orang ramai.
“Populariti akan datang kemudian. Buat masa sekarang, dijemput mengadakan persembahan nyanyian pun sudah memberikan kepuasan luar biasa buat saya,” kata Daiyan merendah diri.
Busker
Berbicara soal bidang lakonan, Daiyan semakin mengorak langkah maju. Filem pertama yang menampilkan dirinya sebagai teraju utama berjudul Busker bakal ditayangkan pada 11 Januari 2018.
Selain Daiyan, filem arahan Syed Khairul Fariz itu turut dibintangi pelakon-pelakon muda lain seperti Hafeez Mikail, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.
Mengulas tentang watak dalam filem terbitan Astro Shaw tersebut, Daiyan berasa bertuah kerana diberi kepercayaan membawakan watak sebagai Vera.
“Apa yang boleh dikatakan, watak Vera sangat kena dengan jiwa saya sebagai seorang penyanyi dan pemuzik.
“Berlakon di samping Hafeez yang melakonkan watak sebagai Adil, banyak yang saya belajar. Saya berharap filem ini dapat mengimbau kenangan penerbitan filem-filem era 1980-an seperti Azura dan Ali Setan,” ujarnya yang bakal turut muncul dengan drama My Coffee Prince tidak lama lagi.
Filem yang baru tamat penggambaran akhir tahun lalu itu juga menampilkan beberapa bintang undangan khas seperti MonoloQue, Man Bai, Luqman Hafidz, Elizabeth Tan, Aziz M. Osman, Jihan Muse, Mark Adam, Zain (Ruffedge) dan Altimet.
Pernah berdepan kemurungan bahkan dibisikkan suara jahat agar membunuh diri disebabkan pelbagai kegagalan termasuk tidak menyerlah dalam karier, Daiyan Trisha kini bersemangat mengibarkan panji-panji seninya. Hadir dengan single terbaharu berjudul Kita Manusia, Daiyan bercerita tentang kesedaran awam terhadap tekanan mental. Si cantik itu juga bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Busker.