Haida Hafiz memberitahu sudah merancang untuk muncul dengan sebuah single yang dikerjakan bersama Hafiz Hamidun.
Ketika program realiti nyanyian popular Gegar Vaganza musim keempat (GV4) bermula sebulan lalu, nama Haida Hafiz merupakan antara peserta bukan pilihan berbanding penyanyi lain yang bertanding.
Haida memberitahu sudah merancang untuk muncul dengan sebuah single yang dikerjakan bersama Hafiz Hamidun.
Namun, apabila pertandingan memasuki minggu kedua dan ketiga, prestasi Haida semakin meningkat dan kemampuan vokalnya juga mendapat perhatian juri sehingga berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok tiga teratas.
Tatkala ramai mula memberi perhatian kepada wanita berusia 36 tahun itu, panas yang disangka membawa ke petang tetapi hujan di tengah hari apabila dia tersingkir pada minggu keempat selepas gagal membawa lagu dangdut Memori Daun Pisang duet bersama penyanyi jemputan, Ezad Lazim dengan baik.
Meskipun berasa ralat dan sedikit kecewa dengan penyingkiran yang berlaku terlalu awal, Haida masih mampu tersenyum dan menganggap pasti ada rezeki lain yang menantinya dalam industri seni.
KOSMO!: Adakah Haida sudah menjangka akan tersingkir pada malam persembahan minggu lepas?
HAIDA: Sebenarnya setiap minggu pun bukan sahaja saya, semua peserta akan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana ini pertandingan.
Apa-apa sahaja boleh berlaku dan ada kalanya tidak dapat dijangka. Namun, saya akui persembahan pada minggu keempat memang banyak kelemahan terutama dari segi teknikal.
Anda sudah berpuas hati dengan persembahan pada malam itu?
Saya tahu boleh lakukan dengan lebih baik jika alat monitor telinga tidak rosak dan mengganggu pendengaran pada alunan muzik.
Jika ada yang perasan, beberapa kali saya mengalami masalah sama dan tidak dapat menyanyi kerana tidak dapat mendengar muzik lagu.
Saya juga sedikit kecewa dengan susunan muzik pada malam itu kerana ada meminta perubahan agar ia menjadi lebih rancak dan sesuai dengan nada suara tetapi ia tidak dapat ditunaikan.
Adakah anda melihat hal itu merupakan punca markah rendah yang diperoleh, sekali gus tersingkir?
Barangkali faktor itu menyumbang juga pada pemarkahan. Bagaimanapun, soal tersingkir saya anggap sudah tiada rezeki saya di pentas GV. Jadi, saya terima dengan hati terbuka. Adat pertandingan pasti ada yang kalah dan menang.
Bagaimanakah perancangan karier seni anda selepas GV4?
Saya sebenarnya sangat berterima kasih kepada GV4 kerana melalui program ini, saya mendapat perhatian peminat dalam skala besar sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan.
Insya-Allah, penyingkiran ini bukanlah pengakhiran, malah ia suatu permulaan baharu untuk kerjaya saya dengan sokongan banyak pihak yang semakin menerima kehadiran Haida Hafiz.
Saya kini dalam perancangan untuk membikin single baharu bersama Hafiz Hamidun tetapi semuanya masih pada peringkat perbincangan.
Bermula semula pada usia yang agak lewat, adakah anda bersedia bersaing dengan penyanyi muda lain?
Persaingan itu normal sejak dahulu lagi dan pada saya, jika kita ikhlas dalam menghasilkan sesebuah karya, ia pasti akan mendapat tempat di hati peminat.
Industri kita kecil sahaja, jika sama-sama saling berusaha dan menghormati dalam mencari rezeki, pasti tiada masalah.
Apakah perbezaan industri di zaman anda dengan sekarang?
Banyak, terutamanya dengan kehadiran platform media sosial, ia sebenarnya membantu mengembangkan lagi kerjaya seorang artis kerana peminat boleh membantu menaikkan nama mereka.
Sekarang saya sudah memiliki kelab peminat sendiri, Haida Hafiz Fans Club dan boleh berinteraksi dengan mereka secara langsung di laman Instagram.
Promosi juga boleh dibuat melalui medium ini berbanding zaman saya dahulu yang memerlukan kita turun naik stesen radio supaya lagu kita berada dalam senarai dimainkan. Artis zaman sekarang sangat beruntung kerana memiliki kecanggihan teknologi seperti sekarang.