Shila Amzah serik jadi mangsa buli siber


Kes buli siber bukanlah satu perkara baru kini dalam generasi celik IT, namun sayang sekali apabila ramai yang mengambil lewa isu sebegini.

Sesiapa sahaja boleh jadi mangsa siber buli tidak kiralah orang biasa ataupun selebriti, itulah yang terjadi pada penyanyi Shila Amzah.

Menerusi akaun Instagramnya, dia memuat naik satu gambar beserta kapsyen mendakwa beliau sudah serik dibuli media sosial.

"Saya tidak tahu kenapa saya dibuli di sosial media sepanjang masa tidak kira bagaimana sukarnya saya cuba menjadi diri sendiri.

"Semuanya bermula sejak tujuh tahun yang lalu dan ia tidak pernah berhenti, tipulah kalau kata ia tak beri kesan pada saya, sejak dari sekolah lagi orang tidak berhenti mengejek saya.

"Mereka ejek saya sebab saya anak ND Lala, ejek nama ayah saya, ejek sebab impian saya bergelar penyanyi, sebab saya ada 'slang' American bila cakap bahasa Inggeris," tulisnya.

Terdahulu, Shila menjadi mangsa kecaman di laman Twitter apabila memuat naik video beliau bercakap bahasa Inggeris namun mempunyai 'slang'.

Netizen mempertikaikan cara percakapannya itu dan mendakwa dia 'fake' bagaimanapun Shila menegaskan itu adalah cara dia bercakap bahasa Inggeris.

"Saya tidak belajar di International School, tiada 'English-spoken' famili, belajar pun setakat SPM sahaja.

"Tapi itu semua tidak menghalang saya untuk belajar perkara baru setiap hari, menjadikan diri saya lebih baik saban hari.

"Apa yang membezakan kita adakan adalah cara kita melayan orang dengan baik dan hormat walaupun orang tersebut bersikap kurang ajar dengan kamu," tulisnya lagi.

Justeru, Shila menegaskan betapa siber buli adalah satu perkara yang 'kejam' dan tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya lagi.

"Siber buli adalah tidak 'cool', sudah lama saya menjadi target mudah bagi mereka yang berhati busuk jadi saya tidak mahu terlibat dengannya lagi.

"Saya tidak akan menggunakan Twitter lagi, ia akan dikendalikan oleh PA saya," tulisnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post