Semangat baharu Mafarikha MD


Kritikan setelah video persembahannya menyertai program Asia’s Got Talent musim kedua tular di internet, Mafa mengambil pendekatan untuk tidak menggambil berat mengenai kritikan mahupun pandangan negatif peminat terutama di media sosial.

Ketika banyak peminat diasyikkan dengan populariti muka-muka penyanyi yang sedang meledak-ledak meletupkan lagu hit masing-masing, tiba-tiba nama Mafarikha MD mencuri perhatian. Tanpa banyak bunyi, penyanyi bertubuh gempal itu meraih momen manis yang selama ini mungkin jarang diterima banyak penyanyi seangkatannya.

Kemunculan Mafa dalam episod ketiga pertandingan pencarian Asia’s Got Talent (AGT) musim kedua yang menjadi buah mulut ramai sehingga menjadi viral sejak minggu lalu disifatkan suatu pencapaian terhebat biarpun nasibnya dalam program berkenaan belum dapat dipastikan.

Dalam episod yang disiarkan menerusi AXN sekitar pertengahan Oktober lalu, usai menyanyikan lagu bertajuk Hero nyanyian Mariah Carey, dia bukan sahaja mendapat sorakan gemuruh bahkan membius kesemua tiga orang juri program berkenaan David Foster, Anggun dan Jay Park.

Baginya ia bersifat eksperimental tetapi buat khalayak yang selama ini jarang mempedulikan kehadiran Mafa, persembahan sebegitulah yang diharapkan oleh seseorang artis. Biar nama tidak dipuja tetapi saat membuka mulut, lontaran vokalnya mampu membius semua pihak termasuk ikon muzik yang selama ini terkenal dengan ketelitian saat menilai kemampuan peserta program nyanyian.

Menceritakan momen manis sewaktu berdiri di atas pentas uji bakat AGT yang berlangsung di Pinewood Malaysia Studios, Johor, Mafa mengakui tidak menyangka persembahannya akan mendapat sambutan tepukan hormat sebegitu daripada insan-insan hebat industri muzik dunia.

Penghormatan sebegitu menjadi detik bermakna dalam hidupnya dan menjadi pembakar semangat untuk muncul semula dalam bidang seni muzik tempatan.

“Menyertai program itu merupakan pengalaman luar biasa dan memberi peluang untuk mengenali bakat dari pelbagai negara berbeza selain berkongsi pandangan masing-masing tentang muzik.

“Terima kasih kepada penonton dan juri kerana memberi pengiktirafan begitu. Awalnya saya tidak menyedari mendapat tepukan sambil berdiri (standing ovation) kerana berasa gementar sewaktu berada di atas pentas,” tutur Mafa tatkala memulakan bicara saat tampil sesi fotografi di Studio Utusan minggu lalu.

Mafa juga tidak menduga percubaan suka-suka tersebut telah menjadi langkah besar untuk membuat kemunculan semula sebagai penyanyi dan menjadi perhatian khalayak terutama di media sosial.

Pada masa sama, Mafa juga tidak menafikan kemunculan dalam program tersebut telah membuka platform baharu buatnya selain mengharapkan peminat menyambut kehadirannya dalam industri dengan tangan terbuka.

Buat si penyanyi yang awalnya menceburi bidang seni dengan menyertai program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (VBSR) musim pertama pada tahun 2011 itu, dia mempertaruhkan segala kemahiran dan kemampuan demi merebut tempat di hati peminat, sekali gus mencipta nama sebagai anak seni.

Namun, perjalanannya mengejar impian dalam lapangan seni terhenti kerana kurang mendapat reaksi positif terutama dalam soal pakej daripada peminat

Atas sebab itu Mafa pernah membuat keputusan untuk mengibarkan bendera putih dan menarik diri daripada terus berkelana dalam bidang hiburan tempatan.

Dia bahkan pernah ‘melarikan diri’ buat sementara daripada bidang nyanyian untuk fokus kepada dunia solekan sekitar 2015 hingga 2016


Skeptikal

Tidak menafikan elemen komersial suatu keharusan demi menarik minat lebih ramai pengikut, namun kredibiliti dan kemampuan seseorang artis itu tetap menjadi perkara asas untuk terus kekal bernafas dalam industri hiburan.

Meluahkan pandangan tentang reaksi peminat yang seakan-akan kurang ‘mesra’ menerima kehadirannya sejurus selepas menyertai program VBSR.

Situasi berkenaan lantas menjadikan wanita kelahiran Kuala Lumpur itu menaruh perasaan skeptikal terhadap hala tujunya sebagai penyanyi.

Kebergantungan terhadap pakej ‘sempurna’ yang perlu ada pada setiap selebriti itu juga sering menyukarkan dirinya meraih posisi selesa sebagai penyanyi.

“Kadangkala khalayak akan membuka mata terhadap kemampuan seseorang yang telah meraih penghargaan dari luar negara atau menyertai sebarang program bertaraf antarabangsa.

“Namun, saya tetap percaya kepada rezeki. Tidak mengira sama ada memiliki pakej sempurna mahupun kemahiran atau tidak, segalanya tetap bergantung pada takdir dan kuasa Tuhan,” terang Mafa sewaktu meluahkan pandangannya apabila dirinya kini menjadi sebutan khalayak selepas menyertai AGT.

Kata Mafa, semestinya dia berasa kecewa apabila usaha kerasnya mempertaruhkan bakat kurang mencuri tumpuan peminat sehingga menjadikan industri ‘terlepas pandang’ akan kehadirannya.

Namun, segalanya dijadikan sebagai pengalaman dan proses pembelajaran dalam mematangkan diri dengan keadaan ‘pasang surut’ dunia hiburan tanah air.

Tidak lekang mengukirkan senyuman sepanjang diajak bercerita, Mafa memberitahu, dia menaruh harapan agar percubaan keduanya itu mendapat sokongan dan sambutan positif peminat.

“Saya harap peminat akan terus memberikan sokongan meskipun selepas program AGT berakhir dan tetap sentiasa bersama sepanjang saya berkecimpung dalam lapangan seni,” katanya penuh semangat dan optimis.

Perancangan

Berkongsi tentang strategi sebagai persediaan untuk membuat kemunculan semula dalam industri, wanita berusia 25 tahun itu membulatkan hati memilih untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri.

Baginya, lebih mudah menaruh harapan terhadap individu yang berada di sekeliling berbanding meletakkan kepercayaan tersebut kepada pihak luar.

Pada masa sama, keputusan itu dibuat demi memastikan kelangsungan aktiviti seni terjamin, selain mudah diuruskan.

“Pengalaman dahulu banyak mendewasakan saya terutama tentang kehidupan dunia seni selain pengalaman ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga tidak menerima bayaran persembahan,” ujar anak ketiga dari tiga beradik itu.

Selain bidang nyanyian, Mafa turut sibuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan khidmatnya sebagai jurusolek. Serius menumpahkan sepenuh minatnya terhadap kerjaya berkenaan sejak setahun lalu, Mafa memberitahu, dia tidak mempunyai hasrat untuk mengakhiri apa yang telah dimulakan.

Buat Mafa, sekiranya artis lain memilih terjun ke bidang perniagaan dengan penjualan produk kosmetik, wangian mahupun pakaian, dia pula selesa menggunakan kemahiran sebagai sumber pendapatan kedua.

Biarpun pada masa sama membawa nama sebagai penyanyi tanah air di belakang tabir Mafa tidak kekok menjadi jurusolek mendandan orang lain.

Paling utama, dia harus bijak membahagikan waktu agar kedua-dua bidang karier tersebut dapat dilunaskan tanpa menyusahkan mahupun mengecewakan pihak lain.

Post a Comment

Previous Post Next Post