Siti Saleha mahu tubuh yayasan


Sebagai seorang selebriti, Saleha menggunakan platform tersebut untuk membantu golongan yang memerlukan.

Sebagai seorang selebriti, pelakon Siti Saleha tidak pernah terlupa menjalankan tanggungjawabnya untuk memberi semula kepada masyarakat.

Baik dari segi bantuan kewangan mahupun perkongsian ilmu mengenai sesuatu isu, pemilik nama lengkap Siti Saleha Baharum, 27, itu dilihat selesa menjadi suara dalam menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.

Bersempena dengan kempen Bulan Kesedaran Barah Payudara, pelakon drama bersiri 7 Hari Mencintaiku itu menjalinkan kerjasama dengan jenama fesyen tempatan, Poplook bagi mengisi tabung dana Cancer Research Malaysia.

Saleha yang ditemui pada majlis pelancaran Poplook Gives Back With Siti Saleha X Cancer Research Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif mereka dalam menggerakkan lebih banyak kajian baharu selain membuka peluang kepada Cancer Research Malaysia mengadakan lebih banyak kempen kesedaran untuk masyarakat.

Dalam pada itu, Saleha yang kini dalam tempoh berehat sebentar daripada dunia lakonan turut meluahkan hasrat untuk membangunkan sebuah yayasan pada masa akan datang bagi memudahkannya membantu golongan yang memerlukan serta menggalakkan orang lain berbuat perkara serupa.

KOSMO!: Apa khabar Saleha? Bagaimanakah kehidupan anda selepas empat bulan mendirikan rumah tangga?

SALEHA: Alhamdulillah, saya dan suami baik-baik sahaja. Tidak banyak perkara yang berubah, cuma setiap kali bangun pagi, suami akan berada di sisi.

Selain itu, saya juga belajar banyak perkara tentang rutin berumah tangga. Bagi saya, perkahwinan merupakan satu fasa yang membolehkan seseorang wanita itu menjadi lebih dewasa.

Apakah perkara baharu yang anda pelajari?

Sebagai contoh, kami tahu batasan yang perlu dijaga apabila menjadi pasangan suami isteri. Jika terlibat dengan sebarang kerja, kami pastikan tidak pulang lewat malam. Kerja tetap kerja tetapi keutamaannya sekarang adalah keluarga.

Sepanjang tempoh empat bulan ini, anda dilihat jarang menerima tawaran berlakon. Adakah anda mengambil keputusan berehat sebentar daripada dunia lakonan?

Tidak juga. Ada beberapa projek telefilem yang saya jayakan selepas mendirikan rumah tangga. Cuma, saya sudah lama tidak muncul dengan drama bersiri.

Tawaran untuk naskhah sedemikian terpaksa ditolak kerana ia hadir ketika saya sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan. Insya-Allah, saya akan kembali aktif tahun depan.

Ramai yang mengatakan populariti pelakon wanita akan menurun selepas mendirikan rumah tangga. Apakah pendapat anda tentang kata-kata nakal itu?

Terpulang pada perspektif masing-masing. Saya sendiri tidak dapat meletakkan skala populariti terhadap diri sendiri. Barangkali saya jarang muncul di kaca televisyen tetapi kerap menghadiri acara-acara hiburan atau fesyen seperti hari ini.

Boleh ceritakan sedikit mengenai kerjasama anda bersama Poplook dan Cancer Research Malaysia?

Jenama pakaian wanita, Poplook sudah sedia terkenal dengan kempen Poplook Gives Back sejak tahun 2015. Mereka telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi untuk memberi kembali kepada masyarakat.

Sempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, mereka memilih saya untuk berkolaborasi dalam menghasilkan satu koleksi pakaian yang bertemakan bunga kekwa. Sebanyak 30 peratus daripada hasil keseluruhan jualan akan didermakan kepada Cancer Research Malaysia.

Mengapakah anda bersetuju untuk berkolaborasi dengan Poplook dan Cancer Research Malaysia?

Sebelum ini, saya banyak memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Cuma, saya hanya memberikan bantuan dalam bentuk wang, bukan dengan penglibatan dalam kempen yang menjadikan fesyen sebagai mekanik utama.

Kebetulan, ramai kenalan saya pernah menderita kanser payudara. Jadi, kolaborasi ini memberi platform yang besar untuk saya memberi lebih informasi dan kesedaran mengenai bahayanya penyakit ini.

Pada masa akan datang, adakah anda berminat untuk menubuhkan yayasan sendiri bagi memudahkan anda menghulurkan bantuan?

Saya pernah terfikir untuk berbuat demikian, cuma, belum ada kesempatan untuk merealisasikannya. Jika boleh, saya mahukan sebuah yayasan yang dapat membantu semua golongan yang memerlukan di Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post