Nilai cinta, karier Kangana Ranaut


Dalam industri perfileman Bollywood sekarang, sebut sahaja nama Kangana Ranaut, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah kelancangan mulut dan puluhan kontroversi yang mengekori di balik namanya yang sedang memuncak.

Namun, Kangana bukan seorang wanita yang lemah dan mudah menyerah. Sudah terbiasa dengan cacian dan kritikan negatif, dia selesa berjuang dengan prinsip hidupnya sendirian.

Seawal usia 16 tahun, dia sudah berpindah dari kampungnya di Surajpur ke Mumbai seorang diri kerana mahu memulakan kerjaya sebagai model, sekali gus menghampakan impian ibu bapanya untuk melihat dirinya bergelar seorang doktor.

Jadi bagi Kangana, kepayahannya membina tapak dalam dunia Bollywood tanpa sebarang bantuan atau nama keluarga yang hebat menjadikan dirinya mampu merentasi lautan kritikan tanpa sebarang tekanan.

Parut kepala

Pada saat dirinya dihujani dengan pelbagai tohmahan dan dijadikan bahan jenaka, Kangana memilih melawan situasi itu dengan sentiasa memperbaiki kreativiti lakonan untuk mengatasi cerita-cerita buruk yang melanda.

Buktinya, seteruk mana pun reputasi peribadi Kangana, kehebatan bakat lakonannya masih menjadi dambaan pengkarya filem Bollywood dan terbaharu, dia dilaporkan dibayar sebanyak RM7.2 juta (Rs11 juta) bagi watak dalam sebuah filem epik seorang ratu bertajuk Manikarnika: The Queen of Jhansi.

Itu merupakan pencapaian terbaik pelakon yang memulakan kerjaya menerusi filem Gangster hampir 11 tahun lalu, sekali gus mengangkat statusnya daripada pelakon biasa ke barisan pelakon dengan bayaran tertinggi di Bollywood.

Dedikasi Kangana terhadap filem tersebut bukan biasa-biasa apabila dia berdepan kemungkinan mendapat parut kekal pada wajahnya akibat kecederaan sewaktu melakonkan babak berlawan pedang dengan tiga orang lelaki.

Ceritanya lagi, ketika pedang itu membelah dahinya sehingga menampakkan tulang, dia langsung tidak gelabah malah masih boleh bertahan untuk tidak pengsan melihat darah bercucuran ke mukanya.

“Saya sebenarnya seorang yang takutkan darah tetapi pada waktu kejadian, saya masih boleh bertenang. Saya bertanya kepada pengarah aksi, Nick Powell adakah luka ini memerlukan jahitan dan dia berkata sekurang-kurangnya 10 jahitan.

“Mendengar jawapannya, saya terus meminta dia membawa saya ke tempat pakar pembedahan plastik terbaik di kawasan itu. Penerbit filem itu, Kamal Jain memberitahu mereka berasa ia situasi yang lucu kerana dalam keadaan seperti itu saya masih boleh memberikan arahan tentang apa yang diinginkan,” ceritanya dalam satu temu bual dengan majalah Filmfare.


Kreatif. Kangana memilih untuk berhenti menjadi seorang model kerana menganggap bidang tersebut tidak menawarkan kebebasan untuk sebarang idea atau kreativiti yang mahu dilakukannya.

Mahu mogok

Sehingga sekarang, parut itu masih jelas kelihatan di antara keningnya. Bagi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Filem Tempatan India 2014 itu, ia bukan satu masalah besar malah berasa bangga memilikinya.

Katanya, untuk menjiwai sesuatu watak terutamanya berprofil besar seperti Manikarnika, pasti ada pengorbanan yang perlu dibuat agar karakter itu kelihatan hidup dan bukan sekadar menjadi pelakon semata-mata.

“Saya melakonkan peranan seorang ratu berjiwa pahlawan, jadi perlu berani dengan segala risiko yang datang bersama watak tersebut. Pakar pembedahan plastik memberitahu parut ini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya.

“Jujurnya, saya tidak kisah kerana zaman sekarang dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih. Terdapat solekan yang boleh ditempel pada muka untuk parut ini dan teknik janaan komputer jika perlu. Hidup ini banyak pilihan jadi jangan sakitkan kepala merumitkan keadaan,” katanya lagi.

Pernah membuat kenyataan bahawa dia menerima tawaran berdasarkan jumlah bayaran, perkara itu masih tidak berubah kerana secara logiknya, wanita itu bekerja untuk menampung kehidupan.

“Lebih baik saya duduk di rumah, memasak dan berehat jika hanya bekerja untuk suka-suka. Apa gunanya nama dan populariti jika dari segi kewangan, hidup saya tidak terjamin.

“Saya memberi komitmen sepenuhnya kepada setiap tawaran lakonan dan saya mencari keuntungan untuk dikaut hasil daripada dedikasi itu. Ia satu perkara paling jelas yang saya mahu dalam kerjaya,” tegasnya.

Menyorot pula kisah peribadinya, sudah hampir empat tahun berlalu sejak konflik percintaan yang kononnya wujud di antara Kangana dan hero popular, Hrithik Roshan menjadi bualan peminat.

Namun begitu, sehingga kini ia masih menjadi tanda tanya peminat sama ada ia benar-benar berlaku atau hanya sebuah drama cinta tidak kesampaian kerana baik Hrithik atau Kangana, mereka tidak pernah bercerita secara mendalam tentang apa yang sebenarnya berlaku antara mereka.


Cinta. Bagi Kangana, cinta ialah sumber inspirasi terbesar dalam dirinya walaupun ia juga menjadi punca dia dilanda kesedihan dan kemurungan untuk tempoh tertentu.

Kemelut cinta

Berkali-kali Hrithik menafikan wujud hubungan istimewa. Aktor itu juga mahu menyaman Kanganakerana tuduhan menggelarkan lelaki itu sebagai bekas kekasih yang bodoh, namun dia masih teguh dengan kenyataannya bahawa mereka pernah bersama.

Menurut laporan ruangan-ruangan pojok, hubungan intim mereka berdua sudah bermula sejak bergandingan dalam filem Krishh pada tahun 2013 dan ketika itu, Hrithik masih lagi bergelar suami kepada Susanne Khan.

Menyedari Hrithik tidak mempunyai perancangan menceraikan Susanne, Kangana bertindak memutuskan hubungan sebelum kembali bercinta apabila hero filem Kaabil itu sah bercerai pada tahun 2014.

Sayangnya, hubungan itu tetap bertemu kegagalan dan sejak berpisah kali kedua, Hrithik dan Kangana saling menyindir antara satu sama lain menerusi laman Twitter sehingga mencetuskan perbalahan yang dianggap sensasi dalam industri hiburan India.

Tidak mengiakan atau menafikan, Kangana secara umum berkata dia sudah melalui pelbagai fasa bersama lelaki dalam hidupnya sejak awal kerjaya sebagai model. Hal itu lantas membuatkan dirinya cukup arif dengan situasi yang sedang menimpa dirinya sekarang.

Kongsi pengamal makanan berasaskan sayur-sayuran itu, kesilapan yang dibuat olehnya adalah apabila menjalin hubungan dengan orang dalam kelompok industri yang sama ialah percaya bahawa lelaki itu akan mempertahankannya dalam semua keadaan.

“Seseorang yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk dirinya tidak akan mampu melakukan sesuatu untuk orang lain. Hanya kerana dia berasal daripada keluarga berpengaruh dalam industri, itu tidak bermakna dia boleh melayan saya sesuka hati.

“Saya tahu apa yang terjadi dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Saya bangga kerana kerjaya saya tidak terjejas dengan kontroversi ini dan belajar untuk memastikan pihak tertentu tidak mengambil kesempatan ke atas diri saya,” tegasnya sambil tersenyum sinis.

Post a Comment

Previous Post Next Post