Kembara Khartasis Search


“Boleh jual ke? Laku lagi ke Search?” begitu dedah vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy mengenai pertanyaan yang dilemparkan oleh Datuk M.Nasir sewaktu pertemuan pertama mereka untuk melamar kembali sifu sakti itu menjadi penerbit album ke-12 mereka, Katharsis.

Amy, pada usia 59 tahun sendiri mengaku teragak-agak untuk membuka kembali kembara pembikinan sebuah album. Bukan kerana gentar, tetapi menjadi manusia yang realistik, beliau sedar usianya bukan lagi muda, begitu juga dengan rakan yang lain.

“Saya tanya diri sendiri, ‘yeke aku nak buat ni?’ Bagaimanapun, kalau kita bertangguh ia tidak akan menjadi maka kami teruskan. Ya, kami perlu melakukannya, menggarap album baharu,” kata Amy sambil tersenyum.

Dedah pemain bassnya, Nasir, jeda waktu yang panjang untuk membikin sebuah album baharu juga didorong mengenai pasaran yang kini begitu memfokus terhadap dunia digital.

“Kami pernah rasa sia-sia untuk menghasilkan album jika jualan fizikalnya mengecewakan kerana penguasaan pasaran digital. Namun, kalau kita terus tunggu, sampai bila? Lagipun kami telah menemui individu yang berani mengambil risiko untuk menerbitkan album baharu Search dan visi kami sama, jadi akhirnya kami kembali ke studio,” ujar Nasir.

Katharsis sendiri berbunyi unik. Begitu juga dengan single pertama yang mahu dijual iaitu Sidang Kangaroo. Ditebak apa yang mahu disampaikan atau ‘ditembak’ tentang pengisian single tersebut yang disifatkan sebagai karya satira, tegas M.Nasir ia tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Kebetulan ia mungkin sesuai dengan situasi semasa di seluruh dunia,” katanya ringkas.

Katharsis yang diterbitkan di bawah label Pawana Music milik Datuk Ahmad Zaharul Annuar mengambil masa 700 jam untuk disiapkan. Bakal dijual di kedai muzik Fenomena Music milik Zaharul juga, ia dilihat sebagai antara proses yang paling panjang berbanding menggarap 11 album Search yang terdahulu. Malah, jurang waktu ia diterbitkan dengan album terdahulu, Gothik Malam Edan juga cukup jauh iaitu 11 tahun. Menurut Amy, jika mahu mengambil kira anggota asal Search yang lengkap seperti dalam Katharsis iaitu dirinya sendiri, Kid dan Din (gitar) serta Nasir (bass) album terakhir yang dikerjakan bersama adalah sekitar 21 tahun lalu menerusi Rock ‘N’ Roll Pie.

Lantas, bagaimana pengisian album dengan 10 buah lagu yang menyaksikan M.Nasir menghasilkan lima buah lagu, dua daripada Search dan M.Nasir, sebuah daripada Nasir dan sebuah lagi hasil tangan Din itu?


Realisasi. Kumpulan Search bersama penerbit album, M.Nasir (dua dari kanan) dan Penerbit Eksekutif Zaharul Annuar (empat dari kanan) berganding bahu merealisasikan pembikinan Katharsis.

Penyucian

Baik M.Nasir ataupun anggota Search sendiri, mereka menyifatkan Katharsis yang merupakan istilah Yunani Purba bermaksud satu proses penyucian, pembersihan dan pengaslian jiwa raga itu sebagai antara karya terbaik yang pernah digarap. Malah, jika ini merupakan album terakhir, Katharsis duduk dalam posisi album mahakarya Search.

“Sebahagian pengisian dalam badan saya dan idea yang mahu diluahkan ada di dalam album ini. Hanya cabaran yang kita lalui untuk menggarap album ini adalah bagaimana mahu memahirkan diri dengan aliran pasaran tahun 2017, berbanding kita menguasai aliran atau kemahiran muzik sekitar tahun 1980-an dahulu.

“Pada akhirnya, pendengar yang akan menentukan sama ada album ini mampu berjaya atau tidak,” ujar M.Nasir.

Mengaku ada berselisih pendapat sepanjang album digarap, namun kesefahaman yang telah lama wujud di antara mereka membereskan pekerjaan yang dilakukan tanpa ribut.

“Kadang-kadang saya ada idea yang melampau dan mereka tidak boleh buat, manakala Search pula rasa mereka perlu sesuatu untuk ditonjolkan. Bagaimanapun, rock sejati itu ada dalam Search,” katanya.

Nasir pula mendedahkan, pada saat album ingin dimulakan, ia dilakukan dengan tangan kosong. Hadir ke studio, barulah pengisiannya masuk satu per satu. Biarpun tidak tahu bagaimana rupa dan rasa Katharsis akan terhasil, namun seiring waktu pembikinan bergulir, mereka berasa Katharsis adalah sebuah album yang memiliki keseluruhan ‘roh’ sama seperti kumpulan itu menghasilkan album Fenomena pada tahun 1989.

“Hal ini kerana kami bergabung dengan individu-individu yang pernah terlibat dalam pembikinan album sebelum ini. Kami ada semua anggota Search yang sama, kami ada M. Nasir yang menerbitkan album ini dan kami sudah biasa dengan pekerjaan kami. Itu yang saya katakan album ini memiliki rohnya tersendiri,” jelas Nasir.

Bagi Amy, Katharsis yang masih berbumbungkan gaya rock and roll dan pekat signitur Search namun punya acuan moden adalah sebuah hadiah untuk tiga generasi peminat Search. “Sewaktu Search muncul dengan album pertama dahulu, peminat kami adalah golongan yang belum berkahwin.


Pembikinan. Album Katharsis masih berada dalam proses akhir termasuk penghasilan kulit albumnya yang menerima sentuhan daripada pereka seni Nizam Rahmat.

Bergerak

“Apabila album-album selepasnya dilahirkan, mungkin sudah ada peminat yang berkeluarga dan apabila Katharsis muncul, agaknya peminat yang berkahwin sudah punya cucu dan mereka masih setia menyokong Search. Sebab itu saya kata album ini akan didengar dan dimiliki oleh peminat kami dari tiga generasi,” katanya.

Saat ditanya adakah mereka terganggu atau cuba mengalihkan perhatian mengenai kemelut yang melanda seperti berhadapan saman yang dikeluarkan penganjur, AF Jets selepas membatalkan Konsert 35 tahun Search bersama mereka dengan menggarap album tersebut, sambil mengeleng kepala, Amy tersenyum.

Ringkas beliau menjawab; “Kami buat album tanpa motif apa-apa kecuali mahu buat album. Kontroversi atau isu yang melanda langsung tidak mempengaruhi kerja kami.”

Nasir pula menegaskan, mereka perlu bergerak ke hadapan. “Masalah tetap masalah dan kita akan hadapinya satu per satu. Jangan tindihkan masalah itu kerana membikin album adalah pekerjaan serius yang mahu kami lakukan,” katanya lagi.

Amy malah enggan menggulas atau bercakap mengenai bekas pemain dram kumpulan mereka, Yazit. Bagi vokalis itu, beliau tidak mempunyai sebarang keperluan untuk ‘berlawan’ cakap atau memberi kenyataan tentang Yazit dan mahu memberi fokus terhadap Search dan album baharu mereka sahaja.

Sebaik single Sidang Kangaroo yang dihasilkan M.Nasir bersama Search dengan lirik hasil Ishmael MS dipasarkan pada 2 November lalu menerusi platform digital seperti iTunes dan Spotify, Search akan membuat kemunculan pertama mereka dalam Konsert Gegaran anjuran DCode Dunia Juara di Tapak Bazarena, Shah Alam, Selangor pada 2 Disember depan.

Bakal mempersembahkan 10 buah lagu yang dihimpun daripada album terdahulu sehingga kini, Search akan berkongsi pentas bersama kumpulan Hujan, Bunkface dan Oh! Chentaku serta band terkenal dari Indonesia, Nidji.

Menutup bicara, meminta M.Nasir menyimpulkan tentang saktinya sentuhan beliau bersama rakan lain seperti S Amin Shahab, Usop dan Buddhi Hekayat di dalam Katharsis serta pandangannya tentang sejauh mana lagi Search mampu bertahan, sifu itu tersenyum mengambil sedikit masa.

Melepaskan ketawa kecil, beliau berkata: “Jika bercakap tentang aliran rock, rock tidak pernah matang. Namun, saya secara peribadi melabelkan Search sebagai wirawan budaya kerana mereka telah mencipta banyak fenomena sehingga khalayak mengambil mereka sebagai contoh.

“Jika mahu tanya saya tentang jangka hayat Search, selagi mereka ada tenaga dan kemahuan, maka mereka akan terus hidup.”

Menyifatkan tidak banyak golongan berusia 50 tahun ke atas seperti mereka yang mempunyai cita rasa berbeza, M.Nasir kemudian mahu khalayak menikmati falsafah yang terkandung di dalam Katharsis, sementara Amy Search dengan jitu menyimpulkan kelangsungan Search yang masih relevan selepas 35 tahun dengan mengatakan: “Long live rock and roll.”

Post a Comment

Previous Post Next Post