Jins Shamsudin segar dalam ingatan


Jins Shamsudin meninggal dunia pada 1 Mac 2017.

Lapan dekad lalu, suara tangis bayi yang baru lahir memecah hening suasana tepat pukul 6 pagi di sebuah kampung bernama Kampung Baru 10, Sungai Limau, Jalan Trong, Taiping, Perak.

Tiada siapa menduga, si bongsu daripada empat adik-beradik yang dinamakan Mohamed Jins itu bakal menggugah dunia perfileman yang ketika itu baru beberapa tahun menerbitkan kemilau di Jalan Ampas, Singapura.

Membesar sebagai anak Ketua Kampung Batu 10 yang lebih dikenali sebagai Tuk Sidin, seperti yang dipetik daripada buku Kembara Seorang Seniman: Jins Shamsudin tulisan Mohd. Zamberi A. Malek, Jins hanya dipanggil Zain oleh rakan-rakan sebaya. Semasa meningkat remaja, karakternya yang lincah semakin menyerlah. Beliau tangkas memanjat pokok kelapa bahkan suka mandi sungai dan bergayut seperti tarzan. Pernah sekali beliau terjatuh ketika bergayut pada akar dan dimasukkan ke Hospital Taiping. Diejek rakan-rakan kerana bertubuh kurus tetapi berangan macam tarzan, rupa-rupanya, beliau cuba meniru lakonan Johnyy Wesmuller dalam filem berjudul Tarzan Came to New York.

Ketika itu, Jins hanya menjawab: “Nantilah, suatu hari nanti aku akan buktikan. Aku akan jadi hero filem.”

Kata-kata yang terluah secara spontan kerana melepaskan geram itu akhirnya menjadi kenyataan. Jins yang berpulang ke negeri abadi pada Mac awal tahun ini akan terus dikenang sebagai tokoh bahkan ikon perfileman nasional.

Dari satu sisi yang lain, beliau juga ‘perwira’ yang merintis jalan menegakkan perjuangan bangsa menerusi seluloid filem. ‘Keperwiraan’ Jins jelas walaupun sehingga ingatannya jadi debu dimamah penyakit Alzheimer, beliau masih bersiap untuk masuk ke pejabatnya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) biarpun ketika itu tugasnya telah lama selesai di organisasi tersebut.

Sebagai seniman negara, anggap sahaja tugas Jins telah selesai. Kemenangan sejati sudah membungkus jasadnya apabila jenazah beliau disemadikan Tanah Perkuburan Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang sehari selepas menghembuskan nafas terakhir, 1 Mac lalu.

Keluarga

Jins meninggalkan wangian menerusi jasa-jasanya terhadapa pembangunan filem nasional, naskhah arahan dan puluhan filem lakonannya. Semahal harga perjuangan seni, keluarga tentunya menjadi harta tidak ternilai yang ditinggalkan Jins. Sama ada anak-anak meneruskan legasinya atau menjalani hala hidup ikut acuan masing-masing, siapa khalayak untuk menilai.

Bagi balunya, Puan Sri Halijah Abdullah itu semua bukan ukuran. Apa yang penting dia meneruskan kehidupan bertemankan kenangan bersama Jins yang terus segar dalam ingatan. Anak-anaknya, Hang Jebat dan Hang Nadim biarpun masing-masing sudah berkeluarga tetap ada di sisi.

“Sekarang Nadim masih tinggal bersama saya, Jebat pun tinggal tidak jauh. Kehidupan kami macam biasa, walaupun setinggi manapun arwah dijulang orang sewaktu hayat, tetapi apabila sudah tiada, semuanya senyap sunyi. Baru-baru ini, ada juga pihak Finas menghubungi saya mengenai acara penghargaan yang dilaksanakan. Mungkin sebarang urusan berkaitan arwah kebanyakan diuruskan oleh Jebat,” jelas Halimah.

Menyelinap sukma wanita yang ‘berpisah mati’ dengan suaminya itu, Halimah kini seperti seorang pencinta yang saban hari menghitung waktu untuk ‘bertemu’ dengan kekasihnya.

“Biarpun sudah tujuh bulan arwah pergi tetapi rasanya macam baru semalam. Tiap kali tibanya hari Khamis, saya sudah tidak sabar untuk menziarahi pusara arwah rasa macam nak pergi dating, kemudian diikuti dengan Jumaat dan Sabtu,” ujarnya.

Mengikut cerita Halimah, selama lima bulan pertama Jins pergi, tiap-tiap hari pusara suaminya yang ditatang seperti ‘bayi’ sepanjang enam tahun menderita Alzheimer itu dikunjunginya.

“Setiap kali ke pusara, selain berdoa dan menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, saya seperti pergi bertemu arwah, saya akan bercerita tentang anak cucu dan bercakap apa sahaja meluahkan kerinduan. Setiap kali ke pusara, saya pesan pada diri bahawa suatu hari nanti kami akan bertemu ‘di sana,” ujar Halimah sebak.


Allahyarham Jins Shamsudin bergambar bersama ahli keluarganya selepas majlis Anugerah Seniman Negara pada Januari 2009. Dari kiri, Jebat, Tuah, Halijah dan Nadim (kanan sekali).

Sengaja membawa Halimah bercerita tentang anak-anak Jins selain Jebat dan Nadim, khususnya tentang isu anak melibatkan Tuah yang dilihat belum selesai, wanita itu menolak dengan baik. Katanya, hal dalam keluarga tidak molek dibawa keluar.

Dua tahun lalu pernah tercetus satu kontroversi berhubung konflik anak kedua Jins, Hang Tuah @ Shazrin sehingga lelaki berusia 43 tahun itu telah mengadakan sebuah sidang media khas bagi menjelaskan keadaan.

Namun, menerusi sebuah buku bertajuk Suria Kencana: Biografi Jins Shamsudin juga tulisan Mohd. Zamberi A. Malek, nama Tuah sebagai anak hasil pernikahan Jins dengan Jamilah Sukor terdapat salasilah keluarga Jins. Kisah terdapat dalam buku berkenaan seperti yang diceritakan Jins kepada penulis buku berkenaan.

Selain Halijah dan Jamilah, Jins terlebih dahulu menikahi pelakon sezamannya, Rahmah Rahmat dan mempunyai seorang anak, Mohamad Jafri yang kini menetap di Singapura.

Kisah peribadi Jins sebenarnya banyak berada dalam simpanan Zamberi. Seperti yang diberitahu satu-satunya penulis buku biografi Jins itu, fokusnya lebih terhadap penglibatan Jins dan filem, biarlah Jins dikenang sebagai ikon perfileman bukan dengan kisah peribadi.

“Dalam tempoh tujuh bulan selepas kematian Jins, saya belum nampak kenang-kenangan atau rakaman khas untuk menghargai Jins. Saya harap pejuang yang merintis penubuhan Finas dan memperjuangkan kemasukan filem dan drama Melayu ke stesen televisyen tempatan itu dihargai sewajarnya,” ulas Zamberi.

Begitulah antara secebis daripada sepotong kisah dalam riwayat hidup Jins Shamsudin. Jika dipanjangkan hayat, esok 5 November merupakan tarikh keramat, titik lahirnya nafas seorang insan terulung yang pernah mewarnai mimpi-mimpi kehidupan kita semua. Al-Fatihah.

Post a Comment

Previous Post Next Post