Wany Hasrita Orang tidak selamanya sukakan kita


Wany Hasrita mengakui bersyukur kerana diberi penghormatan untuk menjayakan konsert Formula F1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 September lalu

Bagaikan ulat yang melalui metamorfosis hingga menjadi kupu-kupu yang indah, Wany Hasrita tanpa sekelumit sangsi membingkiskan intuisi ‘cinta’ yang hadir mengetuk pintu hatinya.

Peralihan konsentrasi dirasai. Daripada remaja cantik yang bertuntaskan bidang perubatan sebagai langkah kehidupannya, gerak hati bersulam cinta pada nyanyian menjadi detak penentuan.

Terbukti, jalan seni yang dipilih sebagai titian harapan di kala ini sedang terukir indah. Liuk lentuk yang menambah pesona seorang penyanyi sedang diwarnainya agar serinya tidak pudar ditelan zaman.

Jika menyamakan lagu Menahan Rindu sebagai cinta pertama yang sukar dikikis dari jiwanya, ‘cinta’ baharu pada single keduanya, Rintihan Rindu digenggam kemas, namun ingin disebar ke serata pelosok hati agar harumannya turut dirasai bersama.

“Sebenarnya memang saya bercita-cita nak jadi doktor tetapi itulah kata orang sebaik-baik perancangan, tidak semuanya baik untuk kita. Tuhan itu ada perancangan lain untuk kita. Jadi saya mengikut sahaja arus yang ditentukan.

“Memang ada perancangan untuk sambung belajar, namun jadual nyanyian di kala ini sangat padat. Tambahan pula, single baharu saya iaitu Rintihan Rindu baru sahaja dikeluarkan. Ia adalah hasil ciptaan orang yang sama yang menghasilkan lagu Menahan Rindu iaitu Gouffran dan Ibnu,” ujarnya.


Wany Hasrita - Rintihan Rindu

Dua juta

Wany yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Universiti Sains dan Pengurusan, Shah Alam, Selangor itu mahu kekal lama dalam industri nyanyian tapi tidak pula terdetik di hatinya untuk mendesak sebuah kepastian. Lalu, tuntutan sebuah karya sukma bertunjangkan lagu balada ala 90-an yang hadir memanjakan telinga pendengar ditatang sungguh-sungguh. Minat dan emosi di jiwa raganya ditumpah cermat, biar melekat dan jangan pula berjalin-jalin dan kusut keadaannya.

“Memang fokus saya ingin kekal lama dalam industri seni tetapi orang cakap susah nak kekal. Sebabnya, kita tidak tahu rezeki kita takat mana dalam bidang nyanyian. Bukan apa, orang tidak selamanya sukakan kita.

“Disebabkan itu apabila lagu Menahan Rindu meraih populariti yang kuat, maka ia membimbangkan saya jika lagu Rintihan Rindu tidak dapat menyamai penangan yang sama.

“Bagaimanapun, saya sedikit lega melihat sambutan lagu itu di laman YouTube yang kini sudah mencecah lebih dua juta tontonan selepas sebulan ia dimuat naik,” jelas pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu mengenai single keduanya.

Bertubuh tinggi lampai, si perawan dari Cheras, Kuala Lumpur itu sopan dan manis orangnya. Ketawanya manja, tertahan-tahan dan tidak kuat. Ke mana sahaja dia ditemani ibunya, Norita Jaafar, yang setia mengatur langkah anaknya agak tidak tersasar.

Iri Hati

Mungkin ada yang sangsi bagaimana mudahnya penyanyi muda itu meraih impak berbekalkan sebuah lagu ‘meleleh’. Hakikat yang harus ditelan, Wany mempunyai pakej sempurna. Bijak, cantik dan memiliki lantunan suara memukau. Beruntungnya Wany lagi kerana kehadirannya di kala pendengar melayan kembali lagu berentak 90-an.

“Sejujurnya saya takut juga dengan populariti yang diraih. Mujur ada ibu yang sentiasa memberi nasihat. Ibu cakap tak payah nak berlagak sangat,” ujarnya sambil melentur tawa di bibir.

Peralihan yang dirasa tidak mengubah jati diri penyanyi berusia 25 tahun itu mengikut permintaan duniawi. Bilamana dia diminta untuk tuck-in baju kemejanya agar terlihat lebih bergaya. Ya dia mengikut, namun bibirnya sopan melontar dogma kata agar baju biru yang dituck-in tidak terlalu tinggi. Masih menutupi bahagian pinggulnya.

Namun, secermat mana dia menjaga diri, ada sahaja segelintir pihak yang iri hati dengan keberadaannya dalam industri seni.

“Awal Mei lalu, saya pernah menerima ugutan bunuh daripada seorang individu yang menghantar mesej dan komen tersebut menerusi laman Instagram. Mujur, akhirnya dia tidak lagi mengganggu selepas saya tidak melayannya. Selain itu, saya juga dimarahi segelintir pihak yang tidak suka dengan gandingan saya dengan Tajul,” getusnya yang digosipkan bercinta dengan adik Allahyarham Achik Spin itu selepas berduet menerusi lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

Masih solo

Tidak ambil kritikan negatif yang dilemparkan sebagai beban fikiran, namun Wany akan memadam individu tersebut daripada mengakses laman sosialnya.

“Saya memang jenis suka membaca komen-komen pengikut di laman sosial. Sebab ada antara komen itu yang memberi cadangan membina berhubung susunan lagu dan sebagainya. Maka, saya boleh usulkannya kepada syarikat rakaman. Namun, kalau kritikan negatif saya akan block sahaja individu itu,” ujarnya yang mengaku masih solo tanpa kekasih selepas putus cinta dua kali.

Tidak serik untuk bercinta lagi, namun menurut Wany, buat masa ini fokusnya adalah nyanyian,

Mengakui dua bekas kekasihnya bukan terdiri daripada orang seni, namun dia tidak menolak andai ditakdirkan berjodohan dengan kelompok itu (orang seni).

“Ibu cakap kalau boleh jangan bercinta dengan orang dalam industri seni. Tetapi kalau sudah jodoh saya terima sahaja, asalkan selesa dan ada keserasian. Namun, buat masa ini saya mahu fokus pada karier nyanyian dulu,” getusnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post