Berkongsi perancangan mendirikan rumah tangga, pasangan ini sepakat memilih Mac untuk melakar cinta sebagai suami isteri setelah mendapat persetujuan keluarga masing-masing.
Kata Elfira kepada Media Hiburan, kalau boleh, pada bulan kelahirannya itu, dia mahu menjadikan saat perkahwinan itu sebagai satu momen yang cukup bermakna.
“Sejujurnya, perancangan untuk adakan majlis tunang pun agak singkat, iaitu sekitar sebulan lalu. Kami pilih bertunang hari Jumaat pun sebab penghulu segala hari dan cuti bagi negeri Johor. Jadi memudahkan keluarga belah Sufian hadir," katanya.
Elfira juga memberitahu Media Hiburan mereka belum menetapkan tarikh majlis perkahwinan.
"Kami hanya rancang untuk langsungkan majlis pada Mac depan saja. Bila dah ada kekosongan lokasi nanti, barulah kami akan umumkan tarikh yang tepat,” akui Elfira yang bakal menginjak usia 24 tahun pada 8 Mac depan.
Malu dengan keluarga Sufian
Ditanya perasaannya bergelar tunangan orang, bintang kelahiran Kuala Lumpur ini jujur berkongsi rasa, dia malu dan segan dengan famili tunangnya kerana pada majlis inilah mereka kali pertama bertemu.
“Nak dikatakan gementar tu, tidaklah sangat. Cuma, saya malu dengan kehadiran famili besar Sufian. Inilah kali pertama kami bersua dan perasaan itu tentu ada. Sebab sebelum ini, saya hanya kenal keluarga kecilnya saja,” terang Elfira yang tidak mahu memikirkan soal tekanan apabila bercakap mengenai persediaan bergelar isteri tidak lama lagi.
“Isteri pasti ada tanggungjawabnya sendiri. Bagaimanapun, amanah yang lebih besar terletak pada suami. Bagi saya, tempoh perkenalan singkat ini adalah ketentuan dan paling penting, saya percaya pada restu kedua ibu bapa masing-masing. Insya-ALLAH, berkat restu mereka, hubungan ini mampu bertahan sampai bila-bila," ujar Elfira sambil diakui Sufian.
Mereka bersetuju setiap pasangan perlu saling mempercayai dan menerima pasangan seadanya.
Tambah Sufian, bakal bergelar suami pada usia muda menjadi satu fasa yang paling menguji hidupnya.
“Saya kini sudah sedia memikul tanggungjawab. Perkahwinan tidak hanya melibatkan dua individu semata-mata, tetapi juga penyatuan dua keluarga.
“Pada masa sama, ada banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan selepas ini, iaitu sebagai seorang anak dan suami,” terang Sufian yang berazam untuk menjadi suami terbaik buat bakal isterinya itu.
Kongsi bersama media
Elfira juga terharu apabila rakan-rakan media meluangkan masa menghadiri majlis pertunangan mereka.
Jelasnya, sebagai selebriti yang sudah lama terlibat dalam dunia seni, hubungan bersama teman media cukup baik dan baginya, adalah lebih baik jika dia dan tunang berkongsi cerita gembira itu.
“Saya membesar di dalam industri. Sejak kecil saya sudah terdedah dengan asam garam dunia seni, sekian lama menjadi selebriti. Maknanya, media juga adalah antara sebahagian dari hidup saya. Jadi sebolehnya saya mahu kawan-kawan media pun turut menjadi saksi hari penting kami,” ujar Elfira yang turut memberitahu, sejak perhubungannya bersama Sufian diketahui ramai, sudah ada pihak yang mahu menjadikan mereka sebagai wajah wakilan dan menganggap tawaran itu sebagai rezeki mereka.
Tidak hanya itu, mereka menerima tawaran berlakon bersama tetapi dia mahu menunggu selepas ijab kabul.
Dugaan dalam pertunangan
Bagi pelakon ini, fasa pertunangan adalah tempoh paling menguji kesabaran kerana banyak dugaan yang datang.
Luah Elfira, antara dugaan terbesar yang diharungi bersama Sufian adalah ketika tersebarnya satu kisah sensasi melibatkan tunangnya itu sehingga tular.
Menganggap itu sebagai satu ujian dan mereka sama-sama harunginya dengan sabar dan reda.
“Bila pilih saja tarikh merisik, tularnya cerita mengenai Sufian. Itu pun sudah cukup besar dugaannya bagi saya. Apa pun, saya cuba relak dan bersabar,” akui Elfira yang turut menambah, soal gaduh dan merajuk sepanjang perhubungan adalah suatu hal biasa.
“Bukanlah gaduh besar mana pun. Cuma ada ketika kami salah faham dan kebanyakannya melibatkan hal kerja saja,”celah Sufian yang kini masih dalam rangka promosi single ketiganya berjudul Terasa Ada.
Menyifatkan lagu berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri, Sufian turut optimis mengharapkan sambutan baik peminat terhadap lagu tersebut.
“Kalau nak diikutkan, Terada Ada adalah sebuah lagu yang meraikan cinta. Dua single sebelum ini lebih kepada sisi meratapi cinta. Kiranya timing Terasa Ada itu kena pada waktu sekarang,” kongsi Sufian yang tidak menolak akan ada lagu cintanya buat tunangan tersayang selepas ini.