Selepas dua tahun bertunang, Tauke Jambu dan Nadia akan bernikah pada Disember depan.
Selepas dua tahun bertunang, akhirnya pelawak popular, Tauke Jambu memilih Disember depan untuk melangsungkan perkahwinan buat kali ketiga dengan wanita pilihannya, Nadia Mohd. Affendi, 29.
Menurut Tauke atau nama sebenarnya, Zamratul Amri Zakaria, 41, walaupun memiliki perbezaan usia 12 tahun, dia bersyukur kerana Nadia yang masih bujang sanggup menerima dirinya seadanya.
Tauke merupakan duda dan memiliki enam orang anak berusia antara lapan hingga 16 tahun hasil dua perkahwinan sebelum ini.
Tauke bagaimanapun ketika dihubungi Kosmo! menjelaskan, majlis pernikahannya akan berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga terdekat.
Namun, pelawak itu akan menjemput rakan dan pihak media ke majlis resepsi mereka yang dijadual berlangsung pada 9 Disember depan di Ambersador Hall, Putrajaya.
Tambah Tauke, tiada lain yang diharapkan selain perkahwinan ketiganya itu berkekalan sehingga ke akhir hayat.
KOSMO!: Tahniah. Mengapakah Tauke memilih bulan Disember untuk melangsungkan perkahwinan?
Tauke: Sebenarnya, Disember depan genaplah dua tahun usia pertunangan saya dengan Nadia. Saya rasa ia waktu yang tepat untuk kami disatukan.
Persiapan juga telah siap dilakukan sebanyak 80 peratus. Alhamdulillah, urusan majlis perkahwinan saya dipermudahkan apabila mendapat beberapa tajaan seperti lokasi majlis resepsi dan perancang perkahwinan.
Mengapakah memilih untuk melangsungkan pernikahan secara tertutup?
Tiada apa yang mahu disembunyikan, sebaliknya keluarga mahu privasi ketika majlis tersebut berlangsung.
Majlis itu kelak dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja. Namun, saya akan menjemput semua rakan dan pihak media untuk majlis resepsi di Putrajaya.
Adakah anda masih berdebar untuk bernikah buat kali ketiga?
Sudah tentulah saya berdebar kerana ia fasa baharu dalam kehidupan. Walaupun ini perkahwinan ketiga, namun saya mahu membuat satu majlis yang sempurna kerana ia merupakan pengalaman pertama bakal isteri. Jadi, saya cuba buat yang terbaik.
Apakah harapan anda untuk perkahwinan ketiga ini?
Sudah tentu saya mengharapkan perkahwinan ketiga ini berkekalkan sehingga ke akhir hayat. Saya pernah gagal dalam dua perkahwinan, jadi saya banyak pelajari ilmu rumah tangga berdasarkan pengalaman lepas.
Walaupun sibuk dengan urusan kerja, saya harus memberi tumpuan kepada keluarga. Sebenarnya banyak lagi faktor yang menyebabkan kegagalan sebuah rumah tangga antaranya ekonomi, sikap suami isteri dan komunikasi.
Saya pun mungkin ada lakukan kesilapan sebelum ini. Oleh itu, menerusi perkahwinan ketiga kelak, saya cuba memperbaiki diri untuk menjadi lelaki dan suami yang lebih baik.
Mengapakah anda memilih Nadia sebagai isteri?
Walaupun bakal isteri lebih muda, tetapi dia seorang yang matang penyabar dan amat memahami diri saya. Dia juga sentiasa ada saat saya susah dan senang. Paling penting dia boleh menerima diri saya seadanya.
Menyentuh soal kerjaya, adakah anda akan mencari pengganti Allahyarham Yus untuk meneruskan kumpulan Jambu?
Buat masa sekarang, saya selesa bergerak solo menggunakan nama Tauke Jambu. Andai bertemu dengan pasangan pelawak yang sesuai, saya tidak akan menggunakan nama kumpulan Jambu, sebaliknya lebih selesa memilih nama kumpulan lain. Kumpulan Jambu hanya untuk saya dan arwah Yus.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?
Selain sibuk dengan beberapa program televisyen dan undangan pentas, saya kini giat menjalani latihan untuk pementasan teater Kontena 404. Teater arahan Raja Azri itu akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 20 sehingga 22 Oktober ini.