Kualiti keutamaan Naim Daniel


Walaupun hampir 12 tahun bergelar pelakon, Naim Daniel masih mahu mengembangkan bakat lakonan dan berusaha memberi warna terhadap portfolio seninya.

Naim Daniel dibesarkan dalam persekitaran seni lakon yang populasinya terdiri daripada aktor dan aktres berbakat besar.

Rata-rata naskhah drama dan telefilem yang melibatkannya pula boleh dikatakan bersifat kompleks, yakni secara teknikal menuntut penghayatan mendalam bagi menghidupkan sesebuah watak.

Menurut pelakon yang mula membina nama menerusi drama bersiri Cucu Betong itu, kedewasaannya dalam bidang seni bukanlah suatu pencapaian yang mahu dibanggakan.

Sebaliknya, proses tersebut boleh dianggap sebagai ketentuan takdir yang akhirnya membuka jalan untuk meneruskan minat terhadap bidang lakonan yang dipupuk sejak berusia lapan tahun.

“Saya sangat bersyukur kerana ‘dibesarkan’ dalam kalangan pelakon yang begitu menghargai seni lakonan.

“Biarpun tidak banyak perkara yang dipelajari secara langsung, namun berada dekat dengan mereka sudah cukup untuk menimba ilmu pengetahuan,” kata Naim yang memulakan kerjaya lakonannya menerusi telefilem Igauan Semalam sebagai pelakon tambahan.

Berpeluang bergandingan dengan pelakon-pelakon gred A sepanjang kariernya seperti Wan Maimunah, Zahiril Adzim, Azhan Rani dan terbaharu, Jalil Hamid serta Beto Kusyairi menerusi debut layar perak, Bisik Pada Langit, anak jati Kuala Lumpur itu meletakkan nama-nama besar tersebut sebagai sumber inspirasinya.

“Saya anggap diri ini seperti seketul span. Apa sahaja yang terlihat di depan mata ketika proses penggambaran, saya ambil dan serap dalam jiwa.

“Tidak kira mereka itu pelakon mahupun pengarah, setiap apa yang mereka kerjakan di hadapan atau belakang kamera merupakan ilmu bagi saya,” katanya lagi.

Serius

Enggan dilabel sebagai seorang pelakon biasa-biasa atau artis yang popular disebabkan kontroversi, pemuda berusia 20 tahun ini punya pendirian dalam memberi justifikasi terhadap kerjaya lakonannya.

“Kalau boleh, saya mahu tampil sebagai pelakon dengan produk-produk berkualiti.

“Saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon main-main yang hanya sebelah kaki sahaja berada dalam dunia lakonan, sebelah lagi berjalan untuk kepentingan-kepentingan lain,” tutur Naim.

Melanjutkan bicara, Naim menegaskan bahawa penglibatannya dalam sesebuah naskhah selalunya diperincikan menerusi gaya lakonan dan keseriusan dalam menghayati watak.

“Apabila berada di lokasi penggambaran, fokus saya adalah memastikan segalanya berjalan dengan sempurna. Hal ini kerana, selagi naskhah tersebut berada dalam proses penggambaran, ia merupakan milik produksi dan kami bertanggungjawab untuk mencantikkannya sebaik mungkin.

“Justeru, saya cuba pastikan usaha dalam menjayakan sesebuah naskhah itu seimbang agar hasil akhirnya memuaskan hati semua pihak sebelum ia dipaparkan kepada masyarakat,” katanya.

Akrab dengan drama bergenre berat, Naim mengakui tidak mahu terus mengongkong khalayak dengan pendapat bahawa dirinya hanya layak menjayakan karakter serius.

Ujarnya, dia tidak menolak untuk menjayakan drama atau filem bertemakan ringan, asalkan watak dan jalan cerita selari dengan jiwa.

“Saya merupakan seorang pelakon fleksibel, yang tidak meletakkan sempadan atau dinding terhadap sebarang kemungkinan.

“Namun, saya perlu meneliti skrip terlebih dahulu sebelum menerima atau bersetuju untuk menjayakan sesebuah naskhah,” katanya lagi.

Bisik Pada Langit

Terus mengisi portfolio seninya dengan karya bermutu, nama Naim sekali lagi menjadi sebutan apabila lakonan cemerlangnya dalam filem Bisik Pada Langit menerusi watak Ikram menerima pujian khalayak.

Merupakan kali kedua bekerjasama dengan pengarah Kabir Bathia, Naim menjelaskan, mutu lakonannya dalam filem tersebut banyak dibantu oleh sikap terbuka yang diamalkan sutradara berkaliber itu.

“Sebagai seorang pelakon, saya suka bertanya dengan Kabir tentang banyak perkara.

“Selain itu, beliau juga merupakan seorang pengarah yang bersifat terbuka dan mahu menerima idea serta pandangan pelakon lain.

“Jadi, kami bukan sahaja berlakon mengikut ketetapan yang ada pada skrip dan jalan cerita, malah cuba mengenal pasti elemen-elemen tambahan yang mampu memberi impak berbeza terhadap naskhah tersebut,” katanya.

Lakonan pemilik nama lengkap Muhammad Na’im Daniel Baharin itu menerusi filem Bisik Pada Langit bukan sahaja menarik perhatian khalayak tetapi turut berjaya mencuit hati para juri sehingga melayakkannya untuk bertanding pada Festival Filem Malaysia ke-29 yang diadakan baru-baru ini.

Dicalonkan menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Naim bagaimanapun ditewaskan oleh pelakon John Tan menerusi filem You Mean The World To Me pada acara tersebut.

Tidak meletakkan sebarang harapan, Naim yang sebelum ini pernah dicalonkan menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik bagi filem 29 Februari pada Festival Filem Malaysia ke-25 sentiasa positif dengan setiap apa yang berlaku dalam perkembangan karier lakonannya.

“Festival Filem Malaysia merupakan suatu penganugerahan yang sangat besar bagi penggiat seni. Tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik sudah cukup untuk membuatkan saya berasa terharu dan bangga dengan hasil kerja sendiri.

“Ini bermakna, lakonan saya menerusi filem tersebut memberi kesan kepada juri, sekali gus melayakkan saya untuk bertanding dengan pelakon-pelakon hebat lain.

“Tidak kira menang atau kalah, saya tetap akan terus berlakon dan memberikan yang terbaik kepada peminat,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post