Selain tampil dengan jenama baharu, Meeyo Joe menyuntik elemen penyegaran dalam hala tuju muzik mereka apabila kini terarah dengan genre pop rock.
Sekitar dua tahun lalu, mereka pernah memperkenalkan diri sebagai sebuah kumpulan dengan nama Votez. Pada waktu itu, Votez dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Meeyo Shafiq, Joe Bazli dan Meer Nash.
Namun, perjalanan mereka sebagai sebuah kumpulan tidak panjang apabila salah seorang daripada ahlinya menyambung pengajian, sekali gus menyebabkan Votez dibubarkan.
Tidak berputus asa dan memandang ia sebagai perkara yang melemahkan semangat, baki dua ahli kumpulan itu iaitu Meeyo dan Joe mengambil keputusan meneruskan misi dalam industri dengan jenama baharu, Meeyo Joe atau MJ.
“Kalau diikutkan memang sayang untuk melepaskan jenama Votez tetapi apabila difikir secara mendalam, agak sukar untuk bermula semula dari bawah bersama ahli baharu yang mungkin akan menimbulkan pelbagai kekangan dari segi mencipta keserasian.
“Jadi, saya dan Joe berbincang untuk meneruskan karier kami dengan nama Meeyo Joe atau MJ. Maka inilah jenama duo baharu dalam industri hiburan iaitu MJ,” ujar Meeyo atau nama sebenarnya, Amirul Shafiq Sukor, 24, ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Jauh berbeza daripada apa yang pernah diperjuang oleh Votez, Meeyo Joe tampil dengan penyegaran muzik yang jauh lebih matang, seiring kehendak pasaran muzik pada masa kini.
Meeyo Joe - Delusi
Delusi
Kedua-dua rakan karib yang berusia 24 tahun itu menjadikan buah tangan pertama mereka berjudul Delusi sebagai pengenalan kedua dalam industri.
“Apabila membina kumpulan baharu, kami tidak tampil dengan tangan kosong sebaliknya menyuntik elemen penyegaran, terutamanya dari segi genre muzik iaitu pop rock berbanding dahulu iaitu pop akustik.
“Atau dalam erti kata lain, muzik kami lebih matang seiring dengan usia dan kelompok sasaran peminat. Kalau dulu, muzik kami lebih menjurus ke arah lagu-lagu yang rancak sesuai untuk golongan peminat remaja, sekarang kami tampil dengan muzik pop rock menerusi single pertama Delusi yang ditulis sendiri oleh saya,” ujar Joe atau nama sebenarnya, Muhammad Bazli Zakaria.
Ditanya adakah kemunculan mereka sebagai duo dalam industri diinspirasi daripada bekas duo Azhael, Meeyo tidak menolak, namun memandang ia dari sudut positif dengan mengambil semangat dan kekuatan duo tersebut.
“Kami tidak menolak dengan kenyataan bahawa mengambil inspirasi daripada mereka. Namun, apa yang membezakan kami dengan Azhael adalah cara pembawakan lagu, genre muzik dan gaya nyanyian.
“Tidak dinafikan, mereka mempunyai kekuatan tersendiri dari segi muzik dan vokal. Diakui memang mahu jadi seperti mereka tetapi impian kami adalah untuk menjadi lebih baik.
“Selepas berjaya menempa nama sebagai duo, ia akan memberi kelebihan kepada kami jika mahu bergerak secara solo pada kemudian hari,” ujar Meeyo.
Bercerita lanjut mengenai single Delusi, ia mendapat sentuhan susunan muzik daripada komposer terkenal, Sharon Paul dan telah dicipta sejak setahun lalu.
Klip video lirik lagu berkenaan sudah pun dilancarkan di laman carian YouTube sejak sebulan lalu dan kini Meeyo Joe dalam perancangan untuk membikin klip video rasminya pula.