Penyanyi Syamel bakal mewakili negara pada acara ABU TV Song Festival 2017 yang akan berlangsung di Chengdu, China pada 1 November depan.
Syamel, 24, mengakui sangat teruja diberi kepercayaan mewakili negara dan berkongsi pentas dengan wakil negara Asia Pasifik lain.
“Apabila diberitahu saya terpilih mewakili Malaysia, memang perasaan sangat teruja dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan itu.
“Memang berdebar juga, tapi saya sudah sedia untuk menunjukkan kemampuan sebenar. Saya berharap dapat membanggakan Malaysia,” katanya.
Bercerita mengenai persiapannya, Syamel berkata, dia akan menyanyikan lagunya berjudul Lebih Sempurna.
Dia juga akan menyuntik sedikit perubahan dalam persembahannya nanti.
“Disebabkan ia berlangsung di China, saya mungkin akan menukar sedikit lirik kepada bahasa Mandarin.
“Saya akan berada di sana selama seminggu, jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk mencari ruang mengembangkan nama saya. Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu, manalah tahu selepas ini dapat menembusi pasaran antarabangsa pula,” katanya.
Selain Malaysia, festival itu turut menampilkan persembahan peserta dari Afghanistan, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Maldives, Vietnam, Zambia, Kazakhstan, dan Turkmenistan.