Lupakan saja cerita pertunangannya yang tidak kesampaian itu.
Bagi penyanyi Indah Ruhaila, 32, apa yang berlaku itu banyak hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
“Saya tidak mahu mengenang kisah lama kerana sudah membina hidup baru dan sampai masanya untuk mengukuhkan nama dalam bidang nyanyian.
“Saya juga bahagia dengan kehidupan sekarang. Kini, saya berkawan rapat dengan seseorang sekali gus dapat mengisi kekosongan itu.
“Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai hubungan kami kerana masih dalam fasa berkawan dan dalam proses mengenali hati budi,” katanya.
Namun, Indah kesal kerana ada individu yang mendakwa dirinya berlaku curang sehingga ikatan pertunangannya putus sebelum ini.
“Pertunangan saya dengan Mr R sudah berakhir secara baik kira-kira tujuh bulan lalu,”katanya.
Terdahulu, Indah mengikat tali pertunangan dengan pengurus akaun yang dikenali sebagai Mr R seminggu sebelum memasuki program Akademi Fantasia 2013.
Indah akui tidak mengetahui motif individu terbabit ingin mengaitkan dirinya dengan cerita lama itu.
“Mungkin motifnya untuk sabotaj sekali gus beri kesan negatif pada karier seni. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana lebih baik fokus pada masa depan dalam karier nyanyian,”katanya.
Ditanya sama ada dia mengenali individu yang cuba memburukkan namanya di laman sosial, Indah memberitahu dia tidak mengenalinya.
“Saya hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi wartawan sebelum ini. Saya tidak kenal individu terbabit. Saya tidak mahu komen lagi isu ini kerana tak mahu ia berlarutan nanti,” katanya.
Selain dakwaan curang, individu itu turut meminta Indah dan keluarganya membayar semula wang dipinjam daripada bekas tunangnya untuk persiapan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu.
Bakal muncul dengan single baru
Penyanyi yang dikenali dengan lagu Percaya ini mengakui namanya kembali meniti di bibir peminat selepas menyertai program AF Megastar tahun ini.
Menurut Indah, walaupun tersingkir pada peringkat suku akhir AF Megastar, ia sedikit sebanyak mengembalikan semula namanya dalam bidang seni tanah air.
“Alhamdulillah, banyak ilmu dalam bidang nyanyian ditimba daripada program ini. Saya juga gembira kerana sahabat baik, Idayu menjuarai AF Megastar seperti jangkaan ramai,”katanya.
Selepas AF Megastar berakhir, Indah juga sibuk menyiapkan proses pembikinan single terbarunya ketika ini.
“Single ini menampilkan sentuhan penyanyi dan komposer terkenal Hael Husaini dan ia akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya berharap single ini akan diterima peminat nanti,”katanya.