Skala kesediaan, rasional Janna Nick


Jika dinilai daripada pandangan mata kasar, perbuatan pelakon Fara Mendoza yang baru-baru ini berkongsi video ‘adegan’ bercium antara Janna Nick dan Fattah Amin dilihat seakan-akan cuba menjatuhkan reputasi yang dibina anak kelahiran Negeri Jelapang Padi itu sejak tujuh tahun lalu.

Meskipun belum sedekad menjadi bunga yang mekar di laman seni lakon tanah air, wangi bakatnya sudah menjadi sebutan umum sejak membintangi drama rantaian Syurga Nur pada 2015.

Tiada dendam, amarah atau naik berang terhadap tindakan teman baiknya itu, Janna sebaliknya pantas menafikan perbuatan tersebut sebagai suatu cubaan ‘sabotaj’. Ironinya, Janna semakin banyak diberi perhatian sejak mula berlakon di samping aktor sensasi itu yang merupakan gandingannya dalam naskhah adaptasi drama K-Pop, Coffee Prince.

Pelakon berusia 22 tahun itu turut tidak menjangka video berdurasi 15 saat berkenaan mengundang kontroversi sehingga melibatkan nama baik keluarga dan menyentuh sensitiviti masyarakat beragama Islam.

“Jelas perbuatan itu bukan bertujuan mempromosikan drama mahupun ingin meraih publisiti. Sekiranya saya ‘hadap’ (mahu) cerita-cerita panas, lebih baik video tersebut dimuat naik sendiri di Instagram.

“Terus terang saya tidak marah mahupun berprasangka buruk terhadap perbuatan Fara, lebih-lebih lagi dia merupakan teman baik sendiri. Tambahan, dia juga telah memohon maaf atas tindakan yang dilakukan itu,” reaksi Janna terhadap video yang dimuat naik oleh Fara Mendoza menerusi Instagram Stories di akaun Instagram sehingga kecoh diperkatakan ramai.

Mengulas mengenai babak ciuman tersebut, Janna memberitahu, ia dilakukan bukan bertujuan untuk menimbulkan rasa ghairah atau menggalakkan perbuatan tersebut dalam kalangan penonton. Sebaliknya, rakaman tersebut hanyalah salah sebuah adegan komedi dalam drama arahan Michael Ang tersebut.

Meskipun tidak melibatkan persentuhan bibir ke bibir antara Janna dan Fatah, namun aksi tersebut telah mengundang persepsi negatif, sekali gus menyentuh sensitiviti masyarakat beragama Islam dan pertikaian tentang kerelevanan adegan tersebut dirakamkan untuk tontonan umum di kaca televisyen.


Pertama kali terlibat dalam sebuah naskhah gabungan produksi dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia, Janna bakal muncul di samping aktor popular, Irwansyah menerusi drama bersiri arahan Eoon Shuhaini dan Omar Olly Alaydrus berjudul Dia bermula 14 Oktober ini. Drama siaran TV3 itu turut dibintangi Izara Aishah, Sandrinna Michelle dan Adi Putra.

Kata Janna, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakonkan babak romantis sekiranya masih tidak melampaui batas. Baginya, sebagai pelakon dan wanita beragama Islam, dia masih tahu menjaga maruah dan tidak terdetik untuk melakukan perkara yang mampu menjejaskan nama baik sendiri.

“Sekiranya ingin bercakap soal sensitiviti, plot asal drama itu mulanya kelihatan melangkaui fitrah terutama melibatkan percintaan sejenis. Namun, ia sekadar komedi yang diadaptasi daripada drama Korea Selatan.

“Saya percaya pihak televisyen dan produksi akan ada pertimbangan seterusnya sama ada mahu atau tidak menyiarkan adegan kontroversi itu kelak. Sebenarnya, babak tersebut langsung tidak melibatkan sebarang sentuhan anggota lain yang boleh mengghairahkan,” jelas Janna panjang lebar.

Tidak tagih kontroversi

Pertikaian babak bercium tersebut terus hangat diperkatakan dan menjadi antara topik hangat dalam kalangan peminat sejak video berkenaan tular di media sosial sekitar pertengahan September lalu.

Perkara berkenaan secara tidak langsung telah menyebabkan Janna dilabelkan sebagai pelakon yang sukakan kontroversi demi meraih publisiti.

Pemilik nama lengkap, Nurul Jannah Muner itu sempat melontarkan senyuman sebelum menyatakan pandangannya. Dikategorikan sebagai antara selebriti yang gemar menagih kontroversi agar lebih mudah mengecapi populariti, Janna ada hujah tersendiri.

Menurutnya, kontroversi merupakan suatu perkara yang berlaku secara semula jadi sekiranya seseorang itu terlibat dalam dunia seni. Impaknya bertambah hebat apabila melibatkan nama popular.

Dalam kes Janna, kisah tersebut pantas meledak kerana melibatkan aktor yang sedia panas, Fattah Amin.


“Sekiranya saya yang ingin meraih publisiti, lebih baik saya melakukannya sendiri (memuat naik video) di akaun Instagram atau mencipta cerita negatif. Kontroversi tersebut diperbesar-besarkan mungkin disebabkan siapa pelakon gandingan saya,” kata Janna meluahkan pandangannya.

Batas lakonan

Melanjutkan pendirian tentang tahap kesediaan menghidupkan sebarang karakter, anak kedua daripada empat adik-beradik itu mengakui masih punya kesedaran akal untuk tidak melampaui batas atau lupa diri ketika di lokasi penggambaran.

Berdepan dengan pelbagai pengalaman jatuh bangun dalam dunia hiburan menjadikan Janna seorang yang berhati-hati apabila melibatkan adegan bersifat ‘melampaui’ dalam lakonan.

Teguh dengan prinsip yang dipegang, Janna tetap mempunyai piawaian tersendiri yang dijadikan garis panduan agar tidak mudah tergelincir dari landasan akidah.

Terangnya, setiap adegan harus disulami emosi. Di situ letaknya tanggungjawab seseorang pelakon untuk menzahirkan lakonannya agar realistik.

“Setiap pelakon mempunyai had dan batas tertentu. Saya juga mempunyai cara tertentu ketika menterjemahkan karakter. Saya tiada masalah untuk berbincang dengan pihak pengarah dan pelakon gandingan terutama apabila melibatkan babak intim atau perlu bersentuhan.

“Setiap babak juga ada rasa tersendiri dan saya akan cuba yang terbaik untuk melakukannya dalam pelbagai cara.

“Sekiranya hanya ada satu jalan, saya akan melakukannya, namun tetap menitikberatkan soal pandangan dan sensitiviti masyarakat,” tutup pelantun lagu Mungkin Saja itu mengharapkan pengertian.

Post a Comment

Previous Post Next Post