Penyanyi, Siti Nordiana, ketika menghadiri majlis sidang media produk kecantikan Salima Skin Solutions di Kuala Lumpur.
Penyanyi, Siti Nordiana, 33, bersyukur dikurniakan rezeki untuk membawa anak bersama-sama dua lagi anggota keluarga mengerjakan umrah, awal Disember ini.
Katanya, niat yang sudah lama disimpan itu seakan-akan dipermudahkan apabila jadual kerja seninya juga bagai tersusun cantik.
"Alhamdulillah, apabila diundang Allah ke Tanah Suci, segala-galanya dipermudahkan. Buat masa ini, saya selesaikan dulu tugasan yang sudah dipersetujui, termasuk promosi lagu duet dengan Jaclyn Victor, disusuli pembikinan single solo baharu.
"Sekembali dari Makkah nanti, saya akan terikat pula dengan drama Pengantin Musim Salju yang berkemungkinan besar menjalani penggambaran di Korea Selatan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Salima Skin Solutions, di sini.
Penyanyi yang selesa disapa Nana itu tampak ceria ditemani anak tunggalnya, Mohamad Rayyan Nakhaie, 9, malah terserlah sifat keibuannya sepanjang acara.
Mengenai gandingan semula dirinya bersama-sama Alif Satar, selepas setahun mereka memancing perhatian menerusi Dia Semanis Honey, dia sendiri mengakui tidak sabar untuk menjayakan drama bersiri baharu itu.
Ulasnya lagi, Michael Ang selaku pengarah memang berhajat mempercepatkan penggambaran, tetapi ketika itu musim salji sudah berlalu, selain memberikan perhatian kepada pementasan Dia Semanis Honey the Musical.
"Jika tiada aral, sebaik saja pulang daripada umrah pada pertengahan Disember, saya bakal terbang pula ke Seoul. Harap-harap semua urusan dipermudahkan dan berjalan lancar," katanya lagi.
Pada masa sama, Nana juga bersedia untuk menempuh cabaran bersaing dalam Separuh Akhir Muzik Muzik pada 5 November depan, yang menyaksikannya membawakan lagu ciptaan sendiri berjudul Terus Mencintai.
"Syukur apabila lagu saya mara untuk sama-sama merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32). Selepas 10 tahun, saya kembali lagi beraksi di pentas ini. Dulu pun pada 2007, saya menggantikan Syura untuk lagu Canda.
"Kalau ikutkan, persembahan di pentas separuh akhir nanti cukup istimewa kerana rasanya, inilah kali pertama saya tampil menyanyi solo selepas sedekad kerana beberapa penampilan sebelum ini pun banyak bersama-sama Achik," ulas Nana.