Hefny Sahad akui serius dengan Uqasha Senrose


Pengacara separuh akhir Muzik Muzik 32, Hefny Sahad.

Pengacara dan pelakon, Hefny Sahad, mengakui hubungannya dengan Uqasha Senrose, yang bakal mencecah angka setahun pada November depan, berada dalam fasa serius.

Tidak mahu dituduh main-main dalam perhubungan, Hefny berkata, masing-masing juga pernah berbincang mengenai hala tuju percintaan mereka.

"Sepanjang setahun kami berkawan, ia boleh diibaratkan seperti menanam sebatang pokok. Sudah tentu kita mengharapkannya mekar dan berbuah. Begitu jugalah dengan perhubungan kami, sudah tentu kami mahu ada hala tuju, lebih serius dan stabil.

"Memang ada perbincangan untuk membawa hubungan kami ke fasa lebih serius. Cuma, tidaklah sampai tahap menetapkan tarikh tunang atau kahwin.

"Saya pun tak mahu berkawan tanpa ada hala tuju. Insya Allah, kalau ada berita baik, akan kami kongsi," kata pelakon drama Awak Sangat Nakal ini ketika ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.


Pelakon, Uqasha Senrose.

Mengulas perjalanan hubungannya dengan pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu, Hefny menyifatkan situasinya sama dengan permainan 'roller coster'.

"Biasalah dalam hubungan, pasti ada turun naik. Apa yang penting pada saya adalah kejujuran dan persefahaman. Setiap kali ada cerita panas mengaitkan dirinya (Uqasha), dia akan bersikap telus seperti menunjukkan mesej kepada saya, selain bersikap jujur dengan menjelaskan perkara sebenar.

"Begitu juga saya, kalau ada apa-apa, saya akan berterus-terang padanya. Saya juga akan tunjukkan mesej kepadanya. Kami saling berkongsi kerana pada kami, kejujuran itu penting dalam sebuah perhubungan," kata lelaki berusia 30 tahun ini.

Hefny akan berpasangan dengan Sherry Al-Hadad untuk mengacarakan program Separuh Akhir Muzik-Muzik 32. Peringkat separuh akhir pertama akan dilangsungkan Ahad ini, jam 10 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post