Amira Othman bataskan hubungan


Amira Othman, pada sidang media pelancaran produk kecantikan Salima Skin Solutions.

Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 24, lebih selesa membataskan hubungan dengan teman artis hanya di lokasi penggambaran sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan kontroversi.

Katanya, pendekatan itu diambil bagi memastikan keserasian yang terbina di set penggambaran tidak dijadikan alasan untuk membawa emosi terbabit hingga ke luar.

"Saya tidak kisah pun bekerja dengan teman gandingan berstatus milik orang kerana setakat ini, mereka yang berlakon dengan saya tahu tanggungjawab masing-masing. Tiada apa-apa masalah yang timbul.

"Cuma demi kebaikan diri dan semua pihak, apabila habis kerja, tidak perlu lagi untuk berhubung andai tiada urusan penting.

"Kalau perlu sangat, saya gunakan orang tengah untuk bertanya. Cara itu lebih selamat.

"Bukan apa, biasanya orang perempuan lebih emosional. Rasanya, demi menjaga hati banyak pihak, lebih elok ambil langkah berjaga-jaga.

"Begitupun ia bukan bermakna saya harus bersikap sombong. Kalau berjumpa di luar, saya tetap tegur," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Salima Skin Solutions, di sini.

Akui bintang Abang Bomba, I Love You itu, beliau bertuah dapat bekerja dengan mereka yang profesional apabila masing-masing meletakkan amanah sebagai kepentingan utama.

Pada masa sama, ditanya mengenai statusnya yang belum berpunya, Amira menjelaskan, beliau sedia membuka pintu hati tahun depan ketika usia mencecah 25 tahun.

Penyanyi lagu Jaga-Jaga yang bakal tampil dengan single baharu itu juga sedia menyerahkan tanggungjawab memilih pasangan hidup kepada ibu bapanya.

"Mungkin tahun depan saya makin terbuka untuk berteman. Saya juga tidak kisah kalau keluarga yang tolong carikan (jodoh) kerana yakin mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk kita," katanya yang bakal tampil bersama lagu Mimpi Indah itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post