Peserta AF Megastar, Shahir Zawawi, menafikan berdepan krisis dengan pihak pengurusan yang selama ini sentiasa bersamanya dalam pertandingan itu.
Beliau yang ditemui selepas tamat konsert minggu kelima pertandingan berkenaan berkata, pihak Indigital Music bukan pengurusnya dan hanya membantu selama ini.
"Tidak, saya bukan di bawah pengurusan mereka. Mereka cuma membantu. Mereka juga ada ramai artis, jadi ada masa mereka tidak dapat bersama saya.
"Saya ada pasukan saya sendiri. Apabila mereka tidak dapat bersama, pasukan saya akan gantikan," katanya.
Penyanyi itu berkata, tiada sebarang masalah antara beliau dengan syarikat berkenaan kerana mereka tidak mempunyai sebarang perjanjian.
Hal itu timbul apabila Shahir dilihat bersendirian di bilik sidang media tanpa ditemani wakil daripada Indigital Music, sedangkan selama empat minggu lalu, mereka sentiasa berada disisinya.
Malam tadi, Shahir hanya ditemani dua wakil produksi AF Megastar.
Beliau yang membawakan lagu Pencuri Hati pada konsert minggu kelima berada pada kedudukan tiga terbawah dan hampir disingkirkan.
Shahir mengakui kelemahan dirinya, termasuk lupa lirik lagu nyanyian asal Ayda Jebat itu kerana risau dan terlalu mengingati langkah tarian.
"Saya akui kelemahan saya dan memang saya mencabar diri untuk menari. Saya tahu langkah saya tidak kena.
"Inilah kali terakhir saya menari," katanya sambil tertawa.
Beliau juga mengakui bersedia disingkirkan kerana persembahan yang tidak kemas, namun bersyukur apabila masih ada rezeki untuk beraksi.
Shahir bernasib baik kerana penyanyi berasal dari Kota Singa, Sufi Rashid, disingkirkan pada konsert itu.