Kalau dulu, nama Thanuja Ananthan lebih dikenali sebagai model apatah lagi selepas dimahkotakan sebagai Miss World Malaysia 2009 dan mewakili Malaysia ke Miss World 2009.
Kini dia nampaknya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan dan pengacaraan berbanding peragaan yang menjadi pembuka jalannya ke dalam industri seni.
“Saya bukanlah bersara daripada dunia peragaan cuma mutakhir ini lebih cenderung berlakon dan mengacara.
“Kalau ada pun kerja peragaan, ia lebih kepada kempen untuk pereka fesyen,” katanya.
Mengulas lanjut karier lakonan, Thanuja mengakui selesa dan mengimpikan karakter wanita Melayu.
“Saya mahu cabar diri melakonkan watak wanita Melayu. Selain itu saya ingin cuba bawa watak adiwira dan orang buta,” katanya.
Sebelum ini, Thanuja pernah membintangi drama bersiri Anak Merdeka untuk Astro.
“Menerusi drama ini saya melakonkan watak atlet dan ia sangat menguji kemampuan.
“Lebih mencabar, ia memerlukan saya mengembangkan karakter dari usia 19 hingga 70 tahun,” katanya.
Menurut Thanuja, selepas dimahkotakan sebagai ratu cantik, dia banyak menerima tawaran berlakon tetapi terpaksa menolak berikutan beberapa sebab.
“Antaranya, karakter yang ditawarkan terlalu negatif. Saya tidak mahu disalah anggap oleh masyarakat kerana itu permulaan dalam lakonan,” katanya.
Sebagai model terkenal dan berpengalaman, Thanuja tidak ketinggalan berkongsi pandangan mengenai model baru yang sering dirundung kontroversi.
“Apa yang boleh saya katakan sebagai model, yang perlu diutamakan adalah disiplin. Berdasarkan pengalaman sebagai model, saya lihat kerjaya ini sebagai salah satu cabang seni.
“Bukan mudah untuk kita pikul tanggungjawab sebagai model, lebih-lebih lagi sekiranya mewakili Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Jadi, untuk model baru gunakan peluang yang ada sebaik mungkin dan harumkan nama negara,” katanya.