Shaheizy Sam, Ayda Jebat sedar diri


Peluru bakat Shaheizy Sam sentiasa membidik banyak hati.

Melihat pelayaran aktor berusia 35 tahun itu dalam bidang seni, bagaikan magnet dia menarik khalayak mencintai lakonannya.

Impak kariernya diatur cantik dan muntahan bakat yang dipersembahkan melalui karakter lakonannya sentiasa ‘hidup’. Namun, sampai waktu, kini hamparan putih yang mengiringi perjalanannya sudah dihambat ceritera sisi hitam.

Nama Sam tiba-tiba menjadi bahan utama di dada-dada akhbar. Dia menerima notis muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 26 Mei lalu. Sudah tiba masanya, Sam berdepan dengan kemelut ini.

Bukan sedikit pandangan skeptikal yang terpaksa ditempuh olehnya. Namun, enaknya menjadi orang yang sabar berkat asuhan ibunya, Khaty Fauziah, lambat laun ia akan berakhir dengan sebuah kemanisan.

Ungkapnya yang tidak pernah menolak soalan media dengan jawapan kurang bijak, pusat kekuatannya adalah ibu yang menjadikannya orang cekal dan tidak memilih untuk mengambil jalan selesa dalam hidup.

“Ibu banyak bagi semangat pada saya. Beliau juga sentiasa memberi komen paling jujur dan usahanya menjadi single parent untuk anak-anak masa kami kecil dahulu, membuatkan saya mahu berjaya untuk dirinya,” ujarnya menyimpul dogma kata.

Sam turut berkongsi tentang ibu yang sentiasa beraja di hatinya, waima dibuktikan dengan membawanya ke majlis-majlis hiburan dan juga bercuti. Tidak keterlaluan menyimpulkan Sam sebagai anak lelaki pujaan para ibu yang dahaga kasih sayang anak lelaki, lebih-lebih lagi apabila sudah beristeri. Sam beruntung kerana diberi ‘petanda awal’ sebelum penyesalan menghambat tatkala wanita yang melahirkannya itu menutup mata.

“Sebagai anak lelaki, apa pun ibu kena didahulukan. Kasih sayang untuknya juga berbeza dengan yang lain. Mungkin kesedaran ini wujud sebab saya ramai kawan yang sudah tidak mempunyai ibu. Jadi, selagi ibu kita ada, selagi itu kita kena berbakti walaupun tak akan boleh balas pengorbanannya,” luah Sam yang menyimpulkan ibunya sebagai sahabat baik yang mampu berkongsi apa jua perkara.

Ayda sedar diri

Si manis di sebelah Sam pula, perkataan disayangi serta diulit populariti sentiasa mewarnai hidupnya. Bagaimanapun, itu tidak membuatkan empunya nama Ayda Jebat kalah dengan ‘peluru-peluru’ jahat yang cuba melumpuhkannya. Dia kekal menjadi gadis mudah mesra kerana di belakangnya berdiri kukuh dua nama iaitu mama dan papa.


Ayda bersyukur lagunya, Mata berjaya memasuki separuh akhir Muzik Muzik ke-32, manakala Sam pula kini sedang membina otot kekar bagi menjayakan penggambaran filem Polis Evo 2 di samping Zizan dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

“Papa dan mama sudah lama bercerai sejak saya berada di Tahun 6 lagi. Bagaimanapun, hubungan mereka kekal baik. Mereka sama-sama sentiasa ada untuk saya. Pergi majlis anugerah bersama, tengok wayang dan karaoke juga bersama. Maka saya tidak berasa kehilangan.

“Mama sentiasa bagi nasihat pada saya seperti ‘kak jangan buat macam itu’. Papa pula orangnya garang, namun dengan saya dia kalah. Beliau sentiasa beri sokongan padu dalam apa jua perkara yang saya lakukan,” jelasnya sambil sesekali ketawa manja.

Menyambung bicara, bagi Ayda, apa yang penting ialah kesedaran diri juga perlu ada. Orang di sekeliling termasuk ibu bapa, syarikat pengurusan dan peminat boleh memberi nasihat, namun pucuk pangkalnya kena berbalik pada diri sama ada tindakan atau keputusan yang diambil itu okey atau tidak.

Gandingan dua bintang ini bukan sekadar mahu bercerita mengenai perjalanan seni mereka, sebaliknya sengaja Sensasi Bintang menyelak orang-orang yang menjadi pusat kekuatan mereka untuk tidak tersasar dalam bidang seni.

Lebih daripada itu, kedua-duanya juga bakal beradu bakat menerusi filem Pinjamkan Hatiku yang bakal menjengah pawagam pada 30 November nanti.

Sam kecewa

Bercakap tentang filem arahan Osman Ali itu, ada perkara menarik yang ingin dikongsikan Sam dan Ayda. Sam meluahkan ketidakpuasan hati tidak meraih berat yang diinginkan demi menjayakan watak Naufal, seorang pesakit kanser dalam filem berkenaan.


Ayda kagum bagaimana Sam berhempas pulas menjayakan watak Naufal, sebagai pesakit kanser dalam Pinjamkan Hatiku.

“Saya agak kecewa tidak mendapat sasaran badan yang saya mahukan. Kalau boleh, saya mahu jadikan badan saya cengkung seperti yang dilakukan oleh aktor Christian Bale dalam filem The Machinist. Sebenarnya saya mampu mencapai susuk tubuh seperti itu, cuma masa yang singkat diberikan menyebabkan hanya mampu menurunkan berat badan daripada 65 kilogram (kg)menjadi 56 kilogram,” ujarnya yang terpaksa menikmati sup sayur dan melalui latihan kardio seperti berlari setiap hari demi menurunkan berat badan sebanyak 8kg.

Meskipun bukan seorang yang serius, namun bila berkaitan kerja seninya, dia harus menekuninya dengan serius. Maka, bila ada segelintir yang tidak menghormati hasil kerja orang seni, Sam tidak mampu mengawal amarahnya.

“Selama menjadi pelakon, buat pertama kalinya saya melenting dalam set penggambaran. Mungkin keadaan emosi saya ketika itu juga tidak stabil dengan diri sedang menahan lapar untuk menjayakan watak Naufal. Pada masa sama ketika itu saya dan emak (Normah Damanhuri) sedang melakonkan babak sedih dan beremosi. Jadi, bila emosi seorang ibu tidak terjaga dan sekali gus tidak menghormati pelaku seni seperti kami, saya terus menggigil dan melenting di set penggambaran,” ujarnya yang mengulas mengenai insiden dia menjerit ketika mendengar seorang tidur berdengkur dan terpaksa mengulangi babak tersebut.

Sementara itu, Ayda pula memberitahu, watak Laila mencabarnya sebagai seorang pelakon. Malah, ia menuntut penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri Hati itu bermain dengan emosi yang sarat.

“Saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar lakonan selama dua minggu bersama aktres tersohor, Fauziah Ahmad Daud. Saya juga berterima kasih pada Sam dan Farid kerana mereka banyak membantu saya menghidupkan watak Laila.

“Saya cukup kagum dengan komitmen yang Sam berikan. Dia bergelut dalam menghidupkan watak Naufal seorang pesakit kanser hingga sanggup tidak menjamah nasi selama sebulan. Bayangkan dalam keadaan perut yang lapar tetapi dia masih mampu menjayakan watak Naufal dengan baik. Daripada situ, saya belajar bukan mudah untuk menjadi seorang aktor filem,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post