Pihak pengurusan tidak mengekang hasrat aktres ini untuk aktif berlakon, cuma menasihatkan Zara Zya supaya pandai menjaga diri.
Suhu termometer hiburan tanah air minggu ini pijar seketika selepas aktres kesayangan peminat, Zara Zya dikhabarkan telah dikejarkan ke hospital gara-gara mengalami kesukaran untuk berjalan ekoran kesakitan melampau pada kaki kanan dan belakang badannya pada Khamis lepas.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 32, memberitahu, dia mengalami kesakitan kaki dan bahagian belakang ketika bangun tidur sehingga terpaksa membatalkan hasrat untuk meneruskan sesi penggambaran bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Ungkap Zara, situasi itu dikatakan akibat kekerapannya memakai kasut tumit tinggi tidak kira semasa menjalani penggambaran drama ataupun tidak.
“Allah tarik nikmat untuk seketika. Sekarang saya nak ingatkan semua wanita, tolonglah kurangkan memakai kasut bertumit tinggi,” getusnya.
Ini merupakan kali kedua Zara menjalani rawatan di hospital pada tahun ini selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kelenjar di bahagian tepi pipinya pada awal Julai lepas.
Dalam pada itu, pengurus Zara, Nor Ailina Cik Mat berkata, ekoran insiden tersebut, aktres berkenaan telah dibenarkan bercuti selama beberapa hari oleh pihak produksi, Radius One Sdn. Bhd. dan kini telah kembali menyambung penggambaran drama sebanyak 80 episod berjudul Monalisa bagi menjayakan watak wanita korporat bernama Lisa.
Ini kali kedua Zara Zya menjalani rawatan di hospital pada tahun ini selepas terlebih dahulu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kelenjar pipi pada Julai lepas.
Nor Ailina yang mesra dengan panggilan Along memberitahu, Zara juga tidak ditahan di wad, sebaliknya menjalani rawatan sebelum dibenarkan pulang oleh pihak hospital pada hari yang sama.
“Sebelum dirawat pada hari itu, doktor memberitahu perlu memeriksa situasi Zara terlebih dahulu memandangkan dia mengalami alahan beberapa jenis ubat.
“Buat masa ini, Zara perlu berehat kerana ia melibatkan urat saraf yang dikhuatiri menjejaskan pinggang sehingga boleh menyebabkan penyakit sakit belakang atau slipped disc,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Mengulas lanjut, Along memberitahu, Zara juga bakal menjalani rawatan susulan termasuk urutan fisioterapi selepas ini.
Cuma pada masa sama, ujarnya, pihaknya tidak mengekang hasrat Zara untuk terus aktif berlakon selepas ini, sebaliknya menasihatkan supaya dramatis itu lebih berhati-hati.
“Saya harap Zara dapat menjaga diri kerana dia saja yang rasa apa yang mampu dilakukan, tambahan pula usia semakin meningkat.
“Tidak timbul soal mahu selektif memilih watak atau sebagainya, yang penting Zara harus pandai menjaga diri,” jelasnya.