Bagi Zahirah, dia tidak mahu memanjangkan isu kemelut hubungan Emma Maembong dan Kamal Adli yang dikaitkan dengan dirinya.
Sudah masuk minggu kedua, kemelut hubungan pasangan pelakon Emma Maembong dan Kamal Adli menjadi isu perbualan dalam kalangan pengikut industri hiburan tanah air. Minggu ini menjadi kemuncak segala-galanya apabila dalam sibuk netizen membuat pelbagai spekulasi mengenai hubungan cinta mereka, Emma membuka mulut memberi pendedahan bahawa hubungannya dengan Kamal kini sudah bertemu tanda noktah.
Tidak tahu di mana silapnya, namun perpisahan mereka didakwa mempunyai kaitan dengan orang ketiga yang turut mengaitkan nama pelakon Zahirah MacWilson, 22. Justeru, selepas cerita membabitkan dirinya menjadi tumpuan, Zahirah pada minggu ini memuat naik paparan mesej perbualan menerusi aplikasi WhatsApp antara dirinya bersama Kamal. Mesej tersebut memberi bukti bahawa dirinya dan Kamal tidak mempunyai kaitan.
Malangnya, tindakannya itu kemudian mengundang reaksi berbeza dalam kalangan netizen. Ada yang menyifatkan bahawa tindakan Zahirah itu seolah-olah tidak wajar. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Zahirah bertindak memadam posting yang dimuat naik itu.
“Saya faham orang di luar sana tidak berapa gembira apabila saya berkongsi perbualan antara saya dan Kamal. Tujuan saya hanyalah untuk memastikan agar tiada cubaan untuk memutarbelitkan keadaan dan membuat anggapan sendiri (mengenai apa yang terjadi). Saya sudah memadam (paparan perbualan) kerana tujuan asal saya sudah tertunai,” terangnya menerusi laman sosial Instagram miliknya.
Pada masa sama, kata Zahirah dia memohon maaf sekiranya tindakannya atau sebarang perkataan yang keluar daripadanya itu mengundang rasa kurang senang daripada mana-mana pihak.
“Saya memohon maaf atas penggunaan kata yang kasar. Anda boleh mengutuk tindakan saya itu, tetapi sekiranya ia berlaku ke atas diri anda, saya yakin anda juga tidak akan dapat menahan sabar, terutamanya apabila isu ini sudah berlarutan untuk beberapa minggu,” jelasnya yang kecewa dengan apa yang berlaku.
Tidak mahu memanjangkan isu tersebut, kongsi Zahirah, dia kini tidak akan membuat sebarang kenyataan lagi berhubung kontroversi tersebut. Bahkan, katanya, dia juga sudah bertemu dengan Emma sendiri untuk menjelaskan apa yang terjadi.
“Jika seseorang bersalah, dia perlu memperbetulkan keadaan. Tiada lagi berita berhubung perkara ini daripada saya. Saya yakin beberapa artikel mengenai hal ini akan keluar lagi. Saya memandang serius perkara ini dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan sebagai jenaka. Saya harap satu pengakuan permohonan maaf akan dibuat dalam masa terdekat.
“Janganlah bergaduh sesama sendiri, cukuplah kami sahaja yang bergaduh,” pintanya yang berharap netizen tidak berterusan membuat andaian sendiri.
Biarpun Emma sudah menjelaskan tiada hubungan cinta, kelmarin, sekali lagi pelakon berusia 25 tahun itu turut mempromosikan penglibatan Kamal dalam program Super Spontan Superstar pada Jumaat lalu. Sekali gus tindakannya itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen mengenai keadaan sebenar.
Bagaimanapun, Emma memberitahu, usahanya untuk meraih undi kepada Kamal dalam program realiti itu hanyalah atas kapasiti sebagai seorang kawan.
“Memang saya dengan dia kawan sahaja. Kenapa ada masalah ke?” tulisnya ringkas dalam ruangan komen di Instagram apabila ada yang mempertikaikan tindakannya yang memperlihatkan hubungannya dengan Kamal sudah kembali jernih.
Dalam perkembangan lain, Zizan yang sebelum ini dikaitkan dengan Emma enggan membuka mulut mengenai kontroversi yang terjadi. Biarpun, ada netizen yang cuba mengusik Zizan untuk kembali bersama Emma, pelakon filem Polis Evo itu mengambil pendirian untuk mendiamkan diri sahaja.
“Saya tak nak campur,” katanya ringkas ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran Rocketfuel Entertainment di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.