Saluran baharu mantapkan lagi iflix


Pengarah Pemasaran iflix bagi rantau Asia, Jason Monteiro, pada majlis memperkenalkan beberapa saluran baharu perkhidmatan TV internet berkenaan di ibu kota, hari ini.

Penyedia perkhidmatan televisyen Internet, iflix, memantapkan siaran menerusi penambahan beberapa saluran baharu meliputi program popular antarabangsa, serantau dan penerbitan tempatan.

Pengarah Pemasarannya bagi rantau Asia, Jason Monteiro, berkata gabungan saluran terbaik berkenaan disediakan seiring dengan kecenderungan pelanggan terhadap isi kandungan genre pilihan.

"Perkhidmatan iflix yang kini boleh diikuti di 24 negara sentiasa berkembang sejajar permintaan semasa, malah kini pengguna berpeluang mengikuti aneka filem, drama dan rancangan baharu.

"Kerjasama dengan penyedia saluran dan rumah produksi turut membolehkan pelanggan menikmati sajian hiburan terbaik dengan ada antaranya dapat diikuti selepas 24 jam disiarkan di Amerika Syarikat," katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi memperkenalkan segmen baharu perkhidmatan berkenaan kepada wakil media dan portal berita, di sini hari ini.

Antara saluran antarabangsa terbabit ialah tvN Movies, Oh!K dan Aniplus, manakala perkhidmatan tambahan yang disediakan bersandarkan kecenderungan tertentu pula ialah Tempatan, Action serta Drama.

Menariknya, setiap satu menyajikan judul baharu dan kegemaran ramai seperti Train to Busan, Fabricated City, My Annoying Brother, A Werewolf Boy, Sunny, Master, One Way Trip dan The Age of Shadows di bawah tvN Movies.

Oh!K pula menyiarkan W-Two Worlds, Weightlifting Fairy, Infinite Challenge, Lucky Romance, The Flower in Prison dan Shopaholic Louis, manakala Aniplus membawakan Attack on Titan, Erased, Bungo Stray Dogs, Kiznaiver selain Is It Wrong To Pick Up Girls From a Dungeon.

Bagi peminat filem Melayu, Tempatan menyajikan filem dan drama seperti KL Gangster, Rindu Awal 200%, Juvana, Karak, KL Zombi, Highland Tower dan Magika, sementara Action pula memaparkan Pearl Harbour, Kill Bill Volume 1 & 2, trilogi The Expendables, Kick-Ass serta Jack Reacher.

Saluran Drama memantapkan siaran dengan aneka judul membabitkan Transcendence, 50/50, Midnight, Texas, Gossip Girl dan The Vampire Diaries.

Pada masa sama, iflix lebih dulu menawarkan program TV dan filem dalam format definisi tinggi (HD) yang disertakan sistem naik taraf audio secara percuma.

Post a Comment

Previous Post Next Post