Shahir Zawawi tak tolak jodoh dengan Erra


Penyanyi, Shahir Zawawi (kanan) dan aktres, Erra Fazira.

Penyanyi, Shahir, enggan menjaja kisah hubungannya dengan aktres, Erra Fazira, sebaliknya menumpukan perhatian pada saingan akhir program realiti, AF Megastar, hujung minggu ini.

Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 29, berkata, beliau tidak menolak andai jodoh beliau adalah dengan pelakon terkenal itu, malah pasti akan berkongsi dengan umum sekiranya berhasrat mendirikan rumah tangga.

"Saya tidak mahu dikatakan terlalu menjaja perkara ini (perhubungan dengan Erra). Oleh itu, lebih baik sekiranya saya melangsaikan dulu tugas di pentas AF Megastar.

"Apa yang boleh saya katakan, sekiranya ada jodoh antara kami, pastinya saya akan membuat pengumuman rasmi mengenainya. Terima kasih kerana memahami situasi saya," katanya kepada BH Online.

Kisah Shahir dengan Erra sering menjadi tanda tanya dalam kalangan media dan peminat kerana kedua-dua selebriti terbabit enggan meletakkan label tertentu pada perhubungan berkenaan.

Sementara itu, bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan itu layak ke peringkat akhir AF Megastar bersama-sama Bob, Idayu, Syamel dan Marsha.

Pada pertandingan separuh akhir, semalam, bekas anggota kumpulan Saujana berkenaan mempersembahkan Warkah Untukku bagi nyanyian secara solo, manakala untuk segmen duet, beliau dan Awi Rafael memilih lagu Hello.

Mengulas mengenai khabar angin mengatakan beliau sukar menerima pendapat, Shahir menjelaskan, dirinya terbuka untuk menerima kritikan membina asalkan tidak berlanggar dengan prinsipnya.

"Tidak salah untuk menerima teguran, apatah lagi untuk kebaikan diri sendiri. Cuma, tidaklah sekiranya perkara itu bertentangan dengan prinsip saya.

"Saya tidak mahu menjadi manusia yang bodoh sombong, sebaliknya tetap berpegang dengan apa yang saya perjuangkan selama ini. Usaha dan sokongan padu yang diberikan oleh peminat pula sentiasa menjadi pembakar semangat saya," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post