Penyanyi, Ezlynn, mendedahkan sudah tiga kali beliau membuat laporan polis berhubung tindakan suaminya, Adam Fahmy, yang didakwa memasuki kediamannya di Damansara Perdana untuk mengambil barang berharga.
Terbaru, penyanyi 'Hi Hi Bye Bye' itu berkongsi di laman sosial Instagram, kejadian sama berulang apabila beliau kembali dari Sarawak, semalam, dengan gril pintu rumahnya ditanggalkan.
"Saya sampai ke rumah kira-kira jam 7.30 malam dan melihat keadaan rumah 'dicerobohinya' lagi. Sebelum ini, sudah dua kali saya buat laporan polis, tetapi nampaknya dia tak pernah serik. Sekali lagi dia buat hal sama.
"Saya tidak menunggu lama untuk ke balai polis di Uptown, Damansara, bagi membuat laporan, kira-kira jam 8 malam. Pihak polis juga sudah menghubunginya untuk datang membantu siasatan. Malah, dia juga mengaku kepada pihak polis, dirinya bertindak masuk ke rumah saya kali ini," katanya ketika dihubungi BH Online.
Menurut Ezlynn, kebiasaannya suami akan bertindak masuk ke rumah ketika dia tiada.
"Saya sudah tak tahan dengan perangainya. Kenapa sampai perlu nak rosakkan barang seperti pagar? Bukannya dia tak boleh ambil kunci dengan adik-beradik saya. Selalunya saya tinggalkan kunci rumah dengan kakak.
"Habis semua barang berharga dia ambil, hingga tiada apa yang tinggal untuk saya. Daripada barang elektronik, kelengkapan riadah hinggalah yang berharga. Bayangkan kotak peti keselamatan pun dia ambil," katanya.
Sementara itu, kes perceraian Ezlynn dan Adam masih lagi berjalan. Pada 20 April lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai cara baik terhadap suaminya mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.
Seterusnya Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober ini bagi perbicaraan lanjut apabila kedua-dua belah pihak tetap mahu meneruskan perceraian walaupun selepas melalui proses timbang tara.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011, namun tidak dikurniakan cahaya mata.