Kalau ditanya siapakah hero Melayu yang masih segar di hati peminat? Pastinya nama Remy Ishak antara yang disebut-sebut. Kehebatan lakonan dan aura dirinya masih berada pada paras sama, tidak pernah berubah.
Biarpun pendatang baharu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, dia masih kekal relevan dan tawaran lakonan tidak putus-putus diterima. Wajah kacaknya tidak pernah suram menghiasi layar kaca.
Sembilan tahun melayari bahtera seni dengan cara tersendiri, tidak pernah walau sekalipun pelakon Cun ini mengangkat darjat diri sebagai seorang senior. Dia kekal berjiwa hamba walaupun bergandingan dengan pendatang baharu.
Bagi jejaka berusia 35 tahun ini, setiap kali menerima naskhah baharu, dia seperti memasuki satu rumah lakonan yang belum pernah dijejaki. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu membandingkan dengan pelakon baharu sebaliknya dia mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka yang baru bertatih dalam industri ini.
“Kalau saya buat perangai sombong dan tidak mahu bertegur sapa, saya seolah-olah membenarkan budaya itu masuk dalam industri kita. Saya suka berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pendatang baharu.
“Tiada istilah pelakon senior untuk diri saya. Setiap kali masuk set baharu, saya sama seperti mereka. Cuma tak dinafikan ada juga pelakon-pelakon baharu yang buat perangai sombong.
“Bagi saya, kalau mereka sombong yang rugi mereka. Cuma saya tolak bab negatif ke tepi. Pelakon yang sudah lama bertapak seharusnya memberi tunjuk ajar dan ilmu,” kata pelakon drama bersiri popular, Nur Kasih ini.
Diaju soalan benarkah ramai pelakon baharu sombong-sombong belaka, Remy hanya tersenyum dan mendiamkan diri.
Namun dia tidak pernah merasakan itu sebagai alasan untuk dia bersikap sombong dengan pengalamannya sebagai pelakon. Masih ramai pelakon baharu yang sanggup berkongsi ilmu dan pengalaman.
“Memang ada segelintir pelakon baharu yang masuk set pun tidak bertegur sapa dengan orang. Bukan hendak kata saya senior atau sudah popular sangat sampai mereka kena hormat dan tegur. Ada yang malas dan tak mahu dengar nasihat. Ikut suka hati merekalah, saya tak rugi apa-apa. Lagipun saya sendiri suka bercakap dan mengutip ilmu menerusi pengalaman pelakon-pelakon lama,” kata anak kelahiran Melaka ini.
Bakal muncul dengan beberapa drama dan filem tidak lama lagi, Remy mengakui dia kini lebih selektif dalam memilih karya. Baginya, setiap pelakon harus mempunyai identiti dan kriteria tersendiri.
“Sebelum terima tawaran, saya akan tengok skrip, pengarah dan rakan pelakon. Saya tidak kisah andai digandingkan dengan pelakon baharu. Cuma skrip dan jalan cerita kena bagus,” katanya yang bakal muncul dengan filem, Pulang tahun hadapan.
Maya antara gandingan terbaik
Bakal berpadu tenaga dengan pelakon cantik, Maya Karin menerusi naskhah teater Tun Fatimah di Panggung Bangsawan Melaka pada 20 Oktober dan 21 Oktober ini, Remy mengakui dia cukup teruja.
Selain sudah lama tidak bergandingan dengan Maya, pelakon filem Anak Halal ini juga mahu memenuhi permintaan peminat yang mengharapkan dia bergabung emosi dan lakonan dengan pelakon cantik kelahiran Jerman itu.
Membawakan watak Sultan, Remy menganggap peluang terlibat dalam teater Tun Fatimah ini sebagai satu ruang mempelajari sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
“Saya memang suka sejarah jadi apabila dapat tawaran, tak fikir panjang saya terus terima. Biarpun terpaksa menolak tiga tawaran lain tetapi bagi saya tak perlu kita hendak tamak dan mengejar semuanya.
“Lebih-lebih lagi saya dapat bergandingan semula dengan Maya di pentas teater selepas Natrah sekitar 2010. Saya rasa ini peluang yang sesuai untuk mengubat kerinduan peminat,” katanya yang bakal bergandingan dengan Ashraf Muslim yang membawakan watak sebagai Tun Ali.
Menyifatkan Maya sebagai salah seorang pelakon wanita terbaik yang pernah dia berlakon bersama-sama, Remy memuji sikap komited dan disiplin yang ditonjolkan oleh pelakon wanita cantik itu.
“Jarang sebenarnya saya dapat berlakon dengan pelakon wanita yang benar-benar komited dan bersungguh-sungguh dalam menjiwai watak. Maya memang seorang pelakon yang harus mendapat pujian yang tinggi.
“Lagipun keserasian kami sudah ada yang dibina menerusi beberapa gandingan sebelum ini, jadi tidak punya masalah bab itu. Saya kena lebih belajar tentang nada dan cara percakapan yang bersesuaian,” katanya.
Membuka gelanggang bicara soal jodoh, Remy mengakui dia masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahannya dengan wanita pilihan hati, Ezza Yusof.
“Saya tak suka sangat hendak cakap fasal peribadi tetapi sebagai pelakon, kita kena faham kehendak peminat dan rakan media. Kalau tanya fasal tarikh, saya belum ada.
“Saya lebih fokus untuk cari duit sekarang ini. Kalau ada tarikh nanti, jangan risau saya akan beritahu, Saya dengan tunang masih berhubungan seperti biasa, tiada masalah,” katanya.