Wings teruja kongsi pentas dengan Loudness


Awie teruja bakal menggegar Festival SoundValley bersama Loudness.

Apabila kejuruteraan permotoran bersanding dengan deru muzik, kuasa kehangatannya pasti berganda dalam memacu keterujaan khalayak. Itu harapan bukan sahaja penganjur, bahkan peminat permotoran dan muzik tempatan menerusi gabungan dua acara yang julung kali diadakan serentak menerusi pameran permotoran terbesar negara, Malaysia Autoshow 2017 dan Festival SoundValley.

Berkongsi semangat yang sama, Wings diwakili vokalisnya, Datuk Awie menjelaskan, sebagai pemuzik yang cukup meminati bidang pemotoran khususnya motosikal berkuasa tinggi sejak berpuluh tahun lalu, agenda tersebut merupakan suatu bentuk apresiasi muzik dan automotif berskala besar.

“Sepatutnya telah lama penganjur acara sebegitu faham tarikan dua bidang ini. Tahun ini, ia bukan sahaja apresiasi untuk muzik, bahkan untuk kami sendiri kerana dijadualkan berkongsi pentas dengan gergasi rock dari Jepun, Loudness bagi penutup festival pada 12 November nanti,” jelas Awie.

Malaysian Autoshow 2017 merupakan pameran permotoran yang sudah memasuki edisi ketiga penganjuran oleh Institut Automotif Malaysia (MAI). Pameran yang bermula pada 8 hingga 12 November itu turut menyediakan pelbagai acara penting termasuk pameran permotoran, persidangan automotif, gerai jualan dan pelbagai aktiviti menarik yang lain.

Penganjur menjenamakan Festival SoundValley untuk acara konsert yang menghimpunkan belasan kumpulan rock popular. Tambah Awie lagi, biarpun tiada segmen untuk sama-sama berentak satu pentas dengan band Loudness, dapat berkongsi hari dan lokasi persembahan sama sudah mengujakan buat Wings.

“Ikut jadualnya, pada 12 November nanti, slot persembahan malam akan dimulakan oleh Wings kemudian barulah Loudness tetapi itu pun sudah cukup bagus sebab kami tetap akan bertemu di belakang pentas. Ini satu sejarah buat Wings.


Madani Shari (tengah) bergambar bersama sebahagian artis yang hadir pada sidang akhbar Festival SoundValley di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal baru-baru ini.

“Biarpun jarak penubuhan Loudness dengan Wings tidak jauh tetapi kami memang teruja sebab kami sendiri pernah mendendangkan lagu-lagu Loudness seperti Heavy Chains, Crazy Night dan Run For Your Life. Mereka juga sudah bertukar ramai ahli tetapi masih utuh. Harap impian itu akan jadi nyata,” jelas Awie.

Dalam perkembangan lain, Awie yang menjalani pembedahan hampir sebulan lalu berikutan keretakan pada jari kirinya tidak menjadikan hal itu sebagai masalah untuk menjayakan persembahan.

Selain Wings dan Loudness, Festival SoundValley akan digegarkan oleh sembilan lagi kumpulan muzik popular variasi genre termasuk dari Indonesia dan England yang dibahagikan kepada dua hari persembahan iaitu pada 11 dan 12 November.

Kumpulan yang terlibat untuk konsert pada 11 November terdiri daripada kumpulan Bloc Party, sebuah band berpaksikan muzik rock alternatif dari United Kingdom, Barasuara (Indonesia) dan Hujan, Bunkface dan Otherside Ochestra. Persembahan pada sebelah siang untuk hari terakhir pula dirancakkan oleh kumpulan May, Metalasia, FiftyOne50 dan Casandra.

Festival SoundValley dianjurkan oleh MAI dengan kerjasama RSVP Media Sdn. Bhd. dari puklul 2.30 petang hingga 12 tengah malam bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bersempena Malaysia Autoshow 2017.

“Tahun ini, Malaysia Autoshow 2017 dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung dengan lebih banyak lagi tarikan. Acara Festival SoundValley adalah tarikan baharu selari dengan perkembangan Malaysia Autoshow,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, MAI, Datuk Madani Sahari.

Pengunjung Festival SoundValley akan menerima tiket percuma ke Malaysia Autoshow 2017, sekali gus mendapat peluang mengunjungi pameran automotif yang dianjurkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post