Manis kemenangan Aisyah Aziz, Ayda Jebat, Haikal Ali


Ketika lagu Senyum Saja diumumkan sebagai lagu terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) yang berlangsung di MES Theatre Mediacorp, Singapura pada Sabtu lalu, pelantun lagu tersebut, Aisyah Aziz dan Haikal Ali diserang kaget.

Masakan tidak, karya yang dibikin atas dasar suka-suka bagi menambah warna dalam industri muzik Nusantara itu berjaya mencuri perhatian juri, sekali gus membuktikan bahawa lagu ciptaan Aisyah dan Haikal bersama Judah Lyne serta Haramain Osman itu sebagai lagu terbaik serantau.

Mengakui tidak menjangkakan kemenangan tersebut, Aisyah menyifatkan pengiktirafan menerusi APM2017 tempoh hari sebagai pembuka jalan untuknya dalam menerbitkan karya-karya bermutu pada masa akan datang.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menerima pengiktirafan sebegini, apatah lagi dalam penganjuran anugerah berskala besar.

“Insya-Allah, kemenangan ini akan saya jadikan dorongan untuk terus mencuba dan menghasilkan lebih banyak karya-karya yang berkualiti,” katanya.

Turut menerima anugerah bagi kategori Lagu Terbaik (Singapura) dan Kolaborasi Terbaik (Lagu) menerusi Tanda Tanya, Aisyah menjadikan Anugerah Planet Muzik sebagai platform terbaik untuk berkolaborasi.

“Saya pernah memenangi kategori Kolaborasi Terbaik (Lagu) menerusi lagu ciptaan Faizal Tahir iaitu Mimpi pada APM2014. Bagaikan dejavu, saya menang kategori yang sama pada tahun ini untuk lagu Tanda Tanya.

“Justeru, ia menguatkan lagi tanggapan saya tentang keindahan yang ada dalam sesebuah karya itu jika kita berani untuk berfikir jauh dan melangkaui zon selesa menerusi sebuah kolaborasi,” katanya lagi.

Momentum

Sedikit masa dahulu, Aisyah atau nama lengkapnya, Nur Aishah Aziz, 24 pernah lelah dengan industri muzik, menyatakan, dirinya masih kurang bagus untuk berdiri sama tinggi dengan karyawan-karyawan lain.

Namun, menerusi kemenangan besarnya pada APM2017, Aisyah mulai sedar bahawa kesabaran yang ditanam selama bertatih sebagai seorang penghibur akhirnya membuahkan hasil.

“Bukan mudah untuk mengekalkan momentum karier terutama dalam aliran muzik yang memerlukan kami untuk sentiasa berinovasi dan menampilkan lebih banyak lagu berkualiti.

“Justeru, dengan pengiktirafan ini, saya mahu terus memperjuangkan muzik Melayu agar ia bukan sahaja dapat didengar oleh bangsa serumpun kita, malah bangsa-bangsa lain juga,” ujar Aisyah yang bercita-cita mahu membawa muzik Nusantara ke mata dunia.

Melihat graf perkembangan karier seninya, adik kepada penyanyi Aliff Aziz itu kerap berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi memenuhi undangan persembahan pentas atau menghadiri acara-acara hiburan.


Selesai melunaskan kerja di Malaysia, Aisyah akan berangkat kembali ke negara kelahirannya iaitu Singapura untuk menyambung tugas-tugas seninya di sana.

Bagaimanapun, disebabkan terlalu lama di Singapura kerana diberi peluang untuk berlakon dalam beberapa naskhah teater muzikal, Aisyah dikatakan kurang memberi perhatian terhadap peminatnya di Malaysia.

Tersenyum mendengarkan perkara tersebut, Aisyah menjelaskan bahawa dia tidak pernah memilih bulu atau melupakan peminatnya yang mungkin terpisah oleh dua negara berbeza.

“Saya berharap agar semua peminat dapat memahami situasi kerjaya saya sekarang. Jika ada tawaran, saya pergi ke mana sahaja untuk menyanyi dan membuat persembahan.

“Tidak hanya di Kuala Lumpur dan Singapura, saya turut terbang ke Medan, Indonesia dan Melbourne, Australia untuk memenuhi undangan.

“Janganlah terasa hati. Saya sentiasa berkongsi perkembangan terkini di media sosial dan anda semua boleh mengikuti saya kemana sahaja saya pergi,” katanya yang tidak kisah dilabel sebagai artis Singapura atau Malaysia.

Relevan

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat yang turut menerima anugerah Ikon Sosial Media menerusi APM2017 turut berkongsi pendapat dengan Aisyah tentang impak penganjuran APM terhadap industri muzik Melayu di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Ujar Ayda, menerusi anugerah yang pertama kali diadakan pada tahun 2001 tersebut, artis dan pemuzik dapat melihat perkembangan industri seni di negara jiran dalam skop yang lebih besar.

“Selalunya, kita hanya kenal artis-artis seberang yang popular seperti Afgan dan Rossa. Walhal, ada banyak lagi penyanyi lain yang bagus dan popular dalam kalangan golongan muda di negara masing-masing.

“Jadi, saya ambil peluang ini untuk berkenalan dan mana tahu, kita dapat berkolaborasi dengan mereka suatu hari nanti,” ujar Ayda yang menyebut nama penyanyi dari Indonesia, Virgoun sebagai salah seorang individu yang mempunyai bakat nyanyian luar biasa.

Pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat, 25, itu turut menjelaskan, kolaborasi yang terjalin dengan pelaku seni luar negara secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada artis tempatan untuk dikenali di rantau Asia Tenggara.


Ayda memberi sebuah persembahan yang segar dan bertenaga menerusi lagu hits, Nakal pada malam anugerah APM2017 yang berlangsung di Singapura hujung minggu lalu.

“Jika kita bekerjasama dengan penyanyi yang mempunyai ramai pengikut, kita juga dapat memenangi hati peminat di sana, begitu juga sebaliknya dengan peminat di sini yang akan memberi sokongan terhadap rakan duet kita.

“Kolaborasi bersama artis luar negara juga dapat memberi kita pengalaman baharu terutama cara penerbitan muzik yang boleh dikatakan sangat berbeza dengan kita,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kemenangannya yang sering jatuh pada kategori popular, Ayda berkata, diiktiraf menerusi anugerah yang diundi oleh peminat bukanlah satu hal yang tidak baik.

“Seperti konsep mengundi, kerajaan yang dipilih oleh majoriti merupakan satu organisasi yang dipercayai dapat melakukan tugas dengan baik dalam memerintah negara.

“Begitu juga dengan undian popular daripada peminat. Artis dipilih tidak semestinya popular semata-mata tanpa sebarang pengisian yang boleh diberikan kepada masyarakat,” katanya yang memenangi kategori Lagu Paling Popular APM, Artis Paling Popular APM dan Ikon Media Sosial One Drop Perfumes pada penganjuran APM tahun lalu.

Semangat

Bagi Haikal Ali pula, sebagai rakan duet Aisyah yang turut ‘membesar’ dalam industri muzik Singapura, kemenangan pada malam tersebut memberi satu lagi warna baharu terhadap portfolio seninya.

Kata lelaki berusia 23 tahun itu, dia berharap agar lebih banyak peluang diberikan, sementelah pengiktirafan tersebut membuktikan bahasa industri muzik Melayu Singapura masih lagi diterima ramai.

“Biarpun industri muzik kami tidak sebesar mana, namun ia masih bernyawa dengan penerbitan pelbagai karya-karya baharu.

“Saya mengharapkan lebih banyak peluang pada masa akan datang, terutama dalam mengembangkan bakat di Malaysia,” katanya yang pernah memenangi kategori Lagu Terbaik APM (Singapura) menerusi lagu Bertemu Kembali pada tahun lalu.

Mengagumi bakat yang ada pada Aisyah, Haikal turut menjelaskan bahawa dia perlu lebih berusaha untuk memahat namanya di persada muzik Nusantara.

“Bagi mengekalkan keberadaan dalam industri, saya tidak akan pernah berhenti mencuba. Bidang nyanyian adalah satu perkara yang selalu saya perjuangkan,” tutup Haikal.

Post a Comment

Previous Post Next Post