Nad Zainal tolak aura negatif


Prindip - Memegang prinsip memudahkan kerja orang lain, hal itu membuatkan Nad antara pelakon yang sentiasa menjadi pilihan pengarah.

Menelusuri perjalanan seni yang dilalui oleh aktres kecil molek namun berbakat besar Nad Zainal ini, semuanya tampak sempurna.

Sejak mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan hati, Muhammad Faliq Amirudin, 29, dan kini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Fahad Ibrahim yang berusia setahun, Nad selesa mengatur kerjaya seninya tanpa sebarang badai kontroversi.

Justeru tidak hairan, datanglah seberapa ramai pelakon baharu yang menghiasi kaca televisyen atau pawagam sekarang, pemilik nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin ini tetap menjadi antara pelaku seni pilihan pengarah.

Dibingkaikan dalam satu sesi fotografi istimewa di Studio Utusan baru-baru ini, Nad berkongsi soal prinsip kerjaya yang dipegang kemas sejak dahulu iaitu memudahkan kerja orang lain.

“Walaupun sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak, namun apabila masuk ke set penggambaran saya perlu sentiasa fokus dengan tugas yang diberikan.

“Prinsip saya mudah, iaitu jangan menyusahkan produksi. Apabila di set penggambaran saya akan memberikan 100 peratus komitmen agar masa kerja dapat dipercepatkan dan saya boleh pulang ke rumah awal,” terang Nad memulakan bicara.

Percaya perihal negatif mampu menutup pintu rezeki buat dirinya, sebagai pelakon yang sudah sembilan tahun mencurahkan bakti dalam industri, dia mengakui begitu berhati-hati dengan hal demikian.

“Saya percaya kepada disiplin seperti datang tepat pada masanya. Jika sekali kita buat masalah, tidak mustahil orang akan mengata dan perkara buruk itu akan dicanang kepada rumah produksi lain.

“Perkara itu akan menyekat rezeki saya, jadi sebolehnya memang saya jaga dan elakkan berlaku sebarang masalah sejak dari dahulu lagi,” ujarnya tersenyum.

Impian

Terus rancak bercerita, wanita berusia 27 tahun itu sengaja ditebak soal impian yang pernah disuarakan suatu ketika dahulu selepas berjaya menggondol trofi pemenang anugerah Pelakon TV Wanita Popular ABPBH pada tahun 2014.

Mengidam untuk menjadi seorang pengarah drama atau filem yang berkaliber, penuh optimis Nad mengakui masih jauh lagi untuk dirinya mengejar impian berkenaan.

“Menjadi seorang pengarah memang impian saya sejak dari dahulu. Pun begitu, ia belum tercapai kerana saya melihat ia mungkin akan terlaksana dalam tempoh lima tahun lagi.

“Buat masa ini saya masih belum puas untuk mencuba pelbagai watak dalam dunia lakonan. Apabila sudah mengarah, nanti orang takut pula untuk ambil saya berlakon,” katanya.

Tidak mahu menggunakan tiket khas sebagai pelakon untuk dijadikan jalan pintas terjun dalam bidang pengarahan, kongsi pelakon drama Dosa Perempuan itu, dia perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu terlebih dahulu.

Malah sebelum bergelar pengarah, bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu sedang berjinak-jinak dalam dunia penulisan skrip terlebih dahulu.

“Untuk menjadi pengarah, saya tidak boleh syok sendiri. Masih banyak ilmu dari aspek teknikal dan sinematografi yang perlu dipelajari.

“Biarlah ia berjalan secara berperingkat. Saya mahu masuk ke kelas pengarahan terlebih dahulu. Buat masa ini saya baru mula berjinak-jinak untuk menulis skrip,” kongsinya yang telah mempunyai beberapa manuskrip namun belum dipanjangkan kepada mana-mana rumah produksi.

Ditanya soal kehendak dirinya yang mahu membawakan pelbagai watak lain, tanpa berfikir panjang teraju utama filem Juvana itu mengimpikan untuk membawa karakter yang pernah menjadi kebanggaan ramai.

Biarpun agak sukar untuk melakonkan watak orang lain terutama yang bergelar legenda, namun Nad menganggap ia merupakan cabaran buat dirinya sebagai seorang anak seni.

“Saya teringin berlakon dalam naskhah biopik dan melakonkan watak orang yang pernah menjadi legenda seperti ahli sukan atau biduanita negara.

“Setakat ini saya belum ditawarkan karakter sedemikian, namun saya tahu membawakan ia merupakan tugas yang sangat mencabar kerana perlu menggali sedalam-dalamnya tentang watak yang bakal dilakonkan semula,” kongsinya yang teringin membawakan watak primadona Latifah Omar atau srikandi Ibu Zain.

Pencalonan

Beralih perbualan tentang perkembangan terkini, Nad memanjatkan rasa syukur apabila drama lakonannya telah tercalon dalam kategori Drama Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2017 yang akan berlangsung pada 3 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Masih dalam senarai awal, drama Mengharap Sebuah Keredhaan lakonan bersama Namron, Aeril Zafrel, Saidi Sabri dan Sabri Yunus itu merupakan antara 14 drama yang tercalon dalam kategori sama.

“Saya tidak sangka drama itu akan dihantar untuk bertanding. Bagaimanapun, saya tetap rasa gembira kerana itu merupakan drama lakonan pertama di bawah arahan Sabri Yunus dan bekas guru saya, Namron.

“Saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk drama ini, tercalon dan bersaing bersama barisan drama bagus yang lain sudah cukup membuatkan saya gembira,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Nad yang baru menamatkan sesi penggambaran drama rantaian Girlfriend Aku Dari Neraka memberitahu akan bercuti meluangkan masa bersama keluarga sehingga hujung tahun ini.

“Saya baru menamatkan semua jadual lakonan pada tahun ini. Sekarang cuma menanti untuk ia ditayangkan sahaja. Antara drama yang bakal ditayangkan adalah Jurnal Suraya untuk slot Zehra dan telefilem Fatonah Azali di TV3.

“Selain itu drama lakonan saya yang sedang ditayangkan pula adalah drama berjudul Girlfriend Aku Dari Neraka. Selepas ini saya akan bercuti sehingga hujung tahun untuk menghabiskan masa bersama suami dan anak,” terangnya teruja.

Tambah Nad, percutian panjang itu juga kerana ingin memberi fokus kepada pembesaran jantung hatinya yang genap berusia setahun pada 14 Oktober lalu.

Menurut Nad, kehadiran Fahad Ibrahim atau mesra dengan gelaran Yem kini banyak mengubah kehidupannya terutama hal yang melibatkan pengurusan masa.

“Bergelar ibu buat Yem merupakan pengalaman indah buat saya dan suami. Alhamdulillah dia membesar dengan sihat dan saya mengambil keputusan untuk bercuti sehingga hujung tahun ini juga kerana ingin memberi fokus kepada anak.

“Banyak juga perubahan yang saya alami selepas Yem lahir. Jika dahulu saya memerlukan sekurang-kurangnya dua jam waktu bersiap, tetapi sekarang semuanya perlu dilakukan secara ringkas.

“Pendek kata, Yem menjadi keutamaan dalam semua perkara yang saya dan suami ingin lakukan,” katanya seraya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post