Joo-hyuk bintang yang semakin bersinar


Memiliki wajah bersifat kelelakian memberikan tuah buat pemilik nama Nam Joo-hyuk.

Memulakan karier sebagai seorang model, beliau terjun ke dalam bidang lakonan yang menaikkan namanya.

Joo-hyuk yang lahir pada 22 Februari 1994, di Busan, Korea Selatan kini mencuri hati pada gadis dengan wajahnya yang sungguh memikat.

Antara drama-drama yang menaikkan namanya adalah 'Cheese in the Trap', Moon Lover: Scarlet Heart Ryeo, Weightlifting Fairy Kim Bok-joo dan terbaru The Bride of Habaek.

Bagaimanapun ramai tidak tahu yang Joo-hyuk sebenarnya pernah aktif dalam sukan bola keranjang namun terpaksa berhenti kerana kecederaan dialaminya.

"Ketika saya di sekolah menengah, saya aktif dalam bola keranjang namun kerana kecederaan, saya terpaksa berhenti daripada sukan tersebut.

"Kemudian, ketika mengisi cita-cita di sekolah, saya menulis model, tidak sangka akhirnya saya dapat menjadi seorang model sebelum beralih ke bidang lakonan pula," katanya ketika program Nam Joo-hyuk Private Stage (Close Up) in Kuala Lumpur 2017 di Starxpo Centre, KWC, semalam.


Walaupun masih hijau dalam bidang lakonan, namun ternyata resume Joo-hyuk agak berwarna-warni apabila beliau sering membawakan watak berbeza seperti ahli sukan, pelajar dan anak raja.

"Dalam banyak-banyak watak yang saya bawakan, karakter yang paling sama dengan diri saya yang sebenar adalah Jung Joon-hyun dalam drama 'Weightlifting Fairy Kim Bok Ju'. Kenapa? pertama sebab watak itu adalah seorang ahli sukan, kedua, cara pakaian watak itu sama dengan diri saya dan akhir sekali, sikap saya lebih kurang seperti karakter itu.

"Dalam drama itu juga ada satu babak yang tidak dapat saya lupakan iaitu ketika saya menangis di depan ibu, saya terlalu menjiwai watak saya hinggakan selepas tamat pengambaran pun saya masih tidak berhenti mengalirkan air mata.

"Ia sememangnya satu babak yang sedih, tambahan pula ia melibatkan kasih-sayang ibu dan anak," katanya.

Sama seperti anak-anak muda lain, Joo-hyuk juga mempunyai hobi sama seperti bermain PS4, 'travel' dan melepak bersama rakan-rakan serta mengumpul 'figurine'.

"Sejak dari kecil saya suka mengumpul 'figurine' terutamanya berkaitan dengan bola keranjang, ada yang saya beli dan ada juga yang saya dapat daripada peminat. Ketika saya memulakan karier sebagai model pun, saya aktif mengumpul 'figurine-figurine' ini.


"Selain itu, saya sangat sukakan makanan laut, kalau bawa saya ke restoran makanan laut, saya seorang sahaja boleh habiskan makanan untuk tiga orang makan.

"Yang paling saya suka adalah kerang besar yang dibakar," katanya.

Sementara itu, dalam acara 'Fan-Meet' yang berlangsung hampir dua jam itu, Joo-hyuk juga tidak lupa berterima kasih kepada para peminat yang sentiasa menyokongnya.

"Sememangnya saya tak sangka yang saya ada peminat di Malaysia. Mungkin ramai yang lihat saya sentiasa gembira namun ada masa saya mempunyai saat yang sukar namun dengan sokongan anda semua membolehkan saya melaluinya.

"Anda semua buat saya sangat terharu, buatkan saya berasa disayangi dan semestinya membuatkan saya ingin datang lagi ke Malaysia. Itu janji saya," katanya.

Nam Joo-Hyuk Private Stage (Close Up) dibawakan oleh Galaxy Group.

Post a Comment

Previous Post Next Post