Fezrul Khan, Dayana Roza nafi berpesta di Sabah


Fezrul dan Dayana menafikan mereka mengunjungi kelab malam serta berpesta sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama bersama di Sabah.

Nama pelakon Fezrul Khan sekali lagi dikaitkan dengan kontroversi apabila didakwa menjalani rutin malam yang agak liar sewaktu menjalani penggambaran bagi drama bersiri terbaharunya, Seputih Cinta Rembulan di Sabah.

Difahamkan, Fezrul Khan atau nama sebenarnya, Fezrul Khan Junaidi, 35, gemar mengunjungi pusat hiburan dan berpesta bersama rakan pelakon berusia 26 tahun yang turut terlibat dalam drama tersebut, Dayana Roza.

Menafikan dakwaan tersebut, Fezrul yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) di Hotel JW Marriott di ibu kota baru-baru ini menegaskan tidak pernah mengunjungi mana-mana pusat hiburan ketika sedang menjalani penggambaran.

Katanya, dia tidak pernah berpesta dan hanya keluar bersama rakan-rakan jika tiada penggambaran.

KOSMO!: Fezrul, benarkah dakwaan yang mengatakan anda begitu liar ketika berada di Sabah bagi menjalani penggambaran drama Seputih Cinta Rembulan?

FEZRUL: Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Kalau mahu kata saya liar dan berpesta di pusat hiburan, cuba lihat sendiri sekitar lokasi penggambaran drama tersebut. Tiada sebarang pusat hiburan ketika kami berada di sana.

Adakah anda sedar tentang tuduhan tersebut?

Saya sendiri terkejut apabila dikaitkan dengan isu ini. Sejujurnya, saya tidak pergi berpesta di mana-nama kelab malam. Masa saya banyak dihabiskan dengan bersenam dan lepak bersama kawan-kawan jika tiada penggambaran.

Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda dalam drama tersebut?

Menerusi drama Seputih Cinta Rembulan, saya memegang watak seorang jejaka bernama Johan. Uniknya, ini merupakan pertama kali saya menggalas watak yang memerlukan saya bertutur dalam loghat Sabah. Jadi, saya meminta bantuan rakan artis iaitu Fikhree Bakar untuk membantu saya dalam melontar dialog.

Drama lakonan anda, Hayat berjaya dicalonkan sebagai drama terbaik menerusi ASK2017. Apakah harapan anda terhadap naskhah tersebut?

Saya tidak berani meletakkan sebarang harapan terhadap drama arahan Bade Azmi ini. Namun, drama Hayat merupakan sebuah naskhah yang berat kerana ia memaparkan tentang implikasi amalan riba terhadap masyarakat.

Takkan mahu berpesta selepas pembedahan? – Dayana Roza

Sementara itu, pelakon Dayana Roza yang ditemui menegaskan bahawa dia tidak terlibat dengan pesta hiburan di kelab malam seperti yang digembar-gemburkan.

Tutur pelakon yang mula membina nama menerusi program Anak Wayang itu, ketika terbang ke Sabah bagi menjalani penggambaran Seputih Cinta Rembulan, dia baru selesai menjalani pembedahan membuang apendiks.

KOSMO!: Adakah anda terlibat dengan pesta hiburan bersama Fezrul ketika berada di Sabah beberapa bulan lalu?

DAYANA: Saya sendiri tidak tahu mengapa ada orang mendakwa saya berpesta sedangkan saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang apendiks pada penghujung Julai lalu. Secara logik, mana mungkin saya berbuat demikian dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan?

Bagaimanakah keadaan anda ketika memulakan penggambaran di sana?

Beberapa hari selepas pembedahan, saya terus terbang ke Sabah untuk memulakan penggambaran. Selera makan pun tidak ada ketika berada di sana. Jadi, gosip mengenai saya berpesta dan berhibur di Sabah tidak benar.

Apakah cabaran anda ketika menjalani penggambaran dalam keadaan yang kurang sihat?

Agak sukar juga memandangkan banyak makanan yang saya tidak boleh makan. Bagaimanapun, saya cekalkan hati kerana tanggungjawab perlu dilaksanakan sehingga selesai.

Boleh kongsikan sedikit perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal memulakan penggambaran drama berjudul Isteri Untuk Diiktiraf terbitan JS Pictures. Dalam masa sama, telefilem lakonan saya bersama Saharul Ridzwan, Trauma turut tercalon dalam ASK2017 menerusi kategori drama terbaik.

Post a Comment

Previous Post Next Post