Berlakon sudah, menulis lirik untuk sebuah single pun sudah, terbaru, Saharul Ridzwan berkongsi impian menjadi pakar motivasi.
Bapa kepada Muhammad Luth Ali ini memberitahu, dia berhasrat menceburi bidang pendidikan dengan menjadi ahli motivasi.
"Saya banyak mendapat tawaran memberi ceramah di universiti dan kolej tempatan, jadi mengapa tidak mencuba.
"Namun, untuk beri ceramah, kita perlu ilmu. Jadi saya mahu menimba ilmu sebelum melakukannya.
"Kalau boleh, saya mahu bertemu dengan Fizo Omar dan belajar dengannya. Namun, belum berkesempatan lagi," katanya kepada BH Online.
Saharul berkata, dia mahu mengikis persepsi negatif orang ramai terhadap artis yang dikatakan tidak berpendidikan.
"Orang ramai tidak tahu artis sebenarnya berpendidikan. Lihat saja Soo Wincci yang bergelar doktor, bukan dia seorang saja, ada ramai lagi.
"Sehubungan itu, saya mahu ubah persepsi kononnya selebriti lemah dalam bidang pendidikan," katanya.
Saharul yang sebelum ini pernah mengikuti pengajian dalam bidang teknologi penyelenggaraan pesawat tetapi tidak dihabiskan, terfikir untuk mengambil program sama, suatu hari nanti.
"Saya mahu teruskan pengajian itu. Saya fikir macam rugi saja berhenti dulu sebab jiwa saya masih dalam bidang itu," katanya.
Mengenai karier seni, Saharul yang berusia 28 tahun berkata, single pertama yang dihasilkannya berjudul Buku Putih, cukup istimewa buatnya.
"Saya tak mahu orang kenal melalui dunia lakonan saja. Saya mahu orang lihat saya daripada sudut penulisan kreatif.
"Ini kerana single yang akan dilancarkan itu menggambarkan diri saya yang sebenarnya," katanya yang menyanyikan versi rap dalam lagu nukilan Ajai itu.
Saharul berkata, dia akan bertemu Ajai untuk menyudahkan projek penghasilan single terbabit selepas selesai penggambaran drama Zahir Tak Terucap, tidak lama lagi.