Peluang mencipta reputasi seni menerusi program realiti AF Megastar nyata membuka ruang buat Marsha Milan kembali menagih kepercayaan pencinta muzik tempatan terhadap kredibiliti serta keupayaannya di dalam sisi nyanyian.
Jika sebelum ini penyanyi kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini lebih menyerlah menerusi bidang lakonan dan pengacaraan, namun pada fasa sekarang, namanya kembali disebut sebagai antara finalis AF Megastar yang tidak boleh dipandang sepi.
Boleh dikatakan, graf persembahan Marsha menerusi AF Megastar kian sukses, lengkap dengan konsep persembahan memukau dan meyakinkan.
Isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail itu, bagaimanapun enggan mendabik dada apabila rata-rata netizen memuji persembahannya dari minggu ke minggu sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir AF Megastar minggu depan.
Sebaliknya, Marsha optimis mahu beri persembahan terbaik, apatah lagi kini persaingan kian sengit sebelum menuju ke final.
Ditemui Media Hiburan selepas program tersebut, dia akui terharu dan berterima kasih kerana mendapat kritikan membina, sekali gus mendorongnya untuk lebih maju pada masa depan.
“Alhamdulillah, sejujurnya saya memang menantikan komen daripada juri memandangkan sebelum ini rata-rata lebih beri penekanan vokal saja. Pada masa sama, saya juga terharu dengan penerimaan peminat setakat ini,” katanya yang ada keinginan menyanyi secara solo dan hanya fokus kawalan vokal semata-mata.
“Sebagai penyanyi, saya terfikir mahu stand alone dengan menyanyi lagu-lagu menguji vokal. Namun saya faham, kalau saya lakukan persembahan sedemikian, ada ketikanya kita ‘tidak selamat’. Mungkin akan makan diri juga. Jadi saya cuba cari kelainan dengan memberi interaksi dengan penonton,” jelasnya lagi.
Mahu beri impak
Berkongsi lebih lanjut, Marsha yang sebelum ini dikenali menerusi single Untuk Terakhir Kali menambah, dia cuba cari keselesaan apabila buat persembahan.
Akuinya, dia tidak boleh menari sepanjang masa, tetapi cuba fokus terhadap karekter dalam persembahan.
“Bagi saya, setiap penyanyi ada kelebihan dan pastinya, apa yang kita buat tu ada yang suka dan sebaliknya. Akan tetapi, saya cuba lakukan sesuatu yang kecil, tetapi mampu beri impak besar buat peminat. Apa pun, saya tidak boleh katakan vokal tidak penting kerana ia senjata utama penyanyi,” ujar Marsha.
Gembira makin diterima
Selain merakamkan rasa gembira, bintang yang dilahirkan pada 6 Disember 1985 itu juga berterima terima kepada peminat yang kini sudah nampak bakatnya dalam nyanyian.
Terang Marsha, dia sedar selama ini ada skeptikal terhadap keupayaannya dalam nyanyian kerana lebih menyerlah cabang seni lain.
“Sebenarnya, ini antara sebab mengapa saya cabar diri sertai AF Megastar. Saya mahu buktikan kebolehan dan pada masa sama nak uji diri sejauh mana boleh pergi dalam pertandingan ini. Persaingan utama bukan rakan finalis lain, tetapi diri sendiri.
“Saya sedar, ada juga cakap persembahan saya tiap minggu too much. Tapi tidak mengapa sebab saya anggap setiap persembahan adalah persembahan akhir. Bila-bila masa saja boleh tersingkir. Mahu tidak mahu saya perlu berusaha dan all out,” akhirinya.