Idzham Ismail Syukur anak kembali sembuh


Tugas seorang bapa tidak saja memastikan segala keperluan anak dan keluarga dipenuhi, malah kasih sayang dan pengorbanan tidak berpenghujung.

Begitu kisahnya pelakon Idzham Ismail, 29, apabila anak tunggalnya, Nur Sofea Inara terpaksa melalui episod cemas dalam hidup.

Nur Sofea Inara disahkan mengalami komplikasi Pertukaran Arteri Utama atau Transposition of Great Arteries (TGA) yang dipercayai hanya berlaku dalam 8/1000 kelahiran.

Idzham ketika ditemui baru-baru ini bersyukur apabila anaknya sembuh daripada penyakit itu.

Katanya, namun kesan pembedahan di dadanya kekal sampai bila-bila dan dibimbangi akan memberi kesan psikologi apabila dia dewasa kelak.

“Kami sebagai ibu bapa akan terus beri sokongan moral. Pada masa ini, saya dan isteri, Siti Nor Abilah, 25, hanya perlu mengikut jadual lawatan berjumpa pakar perubatan,” katanya.

Pelakon dikenali melalui watak Panjang dalam drama bersiri Juvana itu tidak mahu situasi menimpa anaknya menjadi alasan untuk meraih simpati daripada sesiapa pun.

Katanya, ketika sibuk berulang alik ke set penggambaran dan masa sama perlu berada di hospital, tidak ramai yang tahu mengenai situasi dialami.

“Hanya pengarah dan pengurus produksi yang mengurus jadual penggambaran tahu. Ada juga rakan artis tanya, kenapa kerap ke hospital dan kenapa anak masih belum keluar.

“ Saya tidak ceritakan kepada mereka kerana enggan mengundang simpati. Kalau jadual penggambaran bertindan dengan waktu ke hospital, saya akan hubungi pengarah untuk pinda babak saya ke waktu lain hari sama,” katanya.

Seronok bercerita mengenai perkembangan positif anaknya, pelakon tinggi lampai itu ditanya lakonannya kini seolah-olah suram berbanding rakan-rakan seangkatan.

Positif dengan situasi itu, Idzham melihat setiap mempunyai masa berbeza untuk menyerlah.

Kata Idzham, rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus dan bakal muncul dalam drama Selumbar Kasih, drama 26 episod untuk RTM.

“Kalau boleh saya nak bersaing secara sihat sebab masing-masing kawan saya dikenali melalui drama sama (Juvana).

“Saya juga mengharapkan rezeki saya serupa dengan mereka. Saya hanya perlu perbaiki tahap lakonan agar sentiasa memberi persembahan berbeza,” katanya.

Idzham akui sering diberi watak antagonis. Kelemahannya pada peringkat awal ialah sisi antagonis diberikan sering didakwa sama sahaja.

Terutama bab reaksi dan pembawakan watak yang hampir sama dalam lakonannya sebelum ini.

Katanya, dia berharap membawa watak antagonis yang lebih besar impak seperti pembunuh upahan atau bersiri. Malah dia juga impikan membawa watak yang serius dan tegap seperti polis atau tentera.

Tanpa berselindung, dia juga sering mendapat tawaran sebagai lelaki ‘playboy’.

“Saya sentiasa cuba perbaiki diri dan perluaskan lagi permainan karakter. Selalunya saya merujuk kepada lakonan pelakon dalam filem-filem lama seperti Godfather.

“Dalam filem itu, watak antagonisnya seorang yang sarkastik dan saya ingin bawa watak seperti itu,” katanya.

Menurutnya, dia sering belajar cara pembawakan watak jahat kerana percaya watak seperti itu mempunyai banyak kategori.

Dia tidak menolak untuk terus memegang watak antagonis tetapi masa sama tetap mahu diberi peluang mencuba sesuatu yang berbeza.

Bagi memastikan lakonannya ada perubahan, dia sering mendapat kritikan daripada isteri dan keluarganya.

Cakap pasal turun naik dalam industri, Idzham akui tahun kedua selepas drama Juvana boleh dianggap tahun yang produktif.

Malangnya ia menurun pada tahun keempat selepas munculnya ramai artis baru yang rata-rata lebih muda dan segar pada mata peminat.

“Saya lihat situasi itu sebagai tempoh untuk saya segarkan semula diri dan berehat untuk merancang perjalanan kerjaya saya seterusnya.

“Saya bersyukur sebab medium media sosial banyak membantu saya kekal relevan. Pada masa sama, saya gunakan medium itu untuk menceburi bidang perniagaan dengan isteri,” katanya.

Biarpun pernah berkecil hati dan hilang keyakinan diri pada waktu itu, Idzham cepat-cepat mencari kekuatan diri. Apatah lagi selepas beristeri dan dikurniakan anak, fokus hidupnya lebih baik.

Post a Comment

Previous Post Next Post