Sejak digandingkan bersama membintangi drama Seputih Cinta Rangbulan, hubungan pelakon Dayana Roza, 26, dan heronya, Fezrul Khan dilihat akrab.
Apatah lagi kedua-duanya saling berbalas memuat naik foto di laman sosial Instagram (IG) masing-masing hingga menjadi perhatian peminat.
Bahkan, kebanyakan komen ditulis pengikut mereka juga dilihat positif dan beranggapan kedua-duanya memiliki hubungan istimewa.
Bagi Dayana atau Nur Dayana Kamsun Baharin, hubungan dia dan Fezrul adalah sahabat baik.
Katanya, mereka serasi berkawan rapat kerana satu kepala dan apabila mendapat peluang kerja bersama, ia sangat menyeronokkan.
“Apabila dapat peluang bekerja dengan rakan yang rapat, semestinya suasana kerja lebih meriah dan ceria.
“Tambah pula, ini kali pertama kami digandingkan untuk watak utama dalam satu drama. Memang semangatlah nak bekerja.
“Tapi kami tiada hubungan istimewa. Saya sudah ada teman lelaki dan Fezrul pun mengenalinya. Malah sesama kami pun berkawan baik dan teman lelaki saya juga memahami.
“Tidak ada apa yang perlu dicemburukan teman lelaki saya terhadap Fezrul kerana dia memang salah antara kawan baik saya,” katanya.
Dayana juga menerima baik komen positif peminat. Dia mengakui kebanyakan foto dimuat naik dalam IG bertujuan mempromosikan drama dibintangi.
“Saya lebih selesa memuat naik foto ketika di lokasi penggambaran drama kerana mahu berkongsi perkembangan karier.
“Disebabkan itu saya sanggup menulis kepsyen foto yang panjang dan menjurus kepada penekanan babak dilakonkan,” katanya.
Kata Dayana, dia lebih suka menggunakan akaun laman sosialnya sebagai platform berkongsi perkembangan aktiviti karier lakonan terkini.
“Apapun, saya tidak nafikan ada juga foto peribadi bersama kekasih yang saya muat naik dalam IG. Tetapi tidaklah begitu terbuka.
“Saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Saya juga lebih selesa untuk tidak berkongsi secara terbuka kisah peribadi seperti hubungan cinta.
“Lagipun, sudah lapan tahun saya membina karier seni selepas menyertai program Anak Wayang pada 2009,” katanya.
Pernah melonjak menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia pada 2015, Dayana akui masih ada impiannya belum tercapai.
“Sebagai pelakon, saya menyimpan impian merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik suatu hari nanti. Tidak kesah sama ada dalam drama atau filem. Bagi saya, sebelum mencapai tahap popular, biar jadi yang terbaik dahulu.
“Saya katakan sangat berbesar hati sekiranya nama saya tersenarai dalam Top 5 untuk anugerah pelakon terbaik.
“Antaranya untuk Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM), Anugerah Seri Angkasa (ASA) dan Anugerah Skrin (ASK).
“Tiga majlis itu memberi sepenuh kuasa kepada juri profesional untuk buat penilaian,” katanya.
Dayana juga sedar hingga kini dia belum mampu memahat nama pada tahap popular. Apatah lagi jumlah pengikut IG baru mencecah hampir 200,000 orang.
“Dari segi jumlah peminat, saya akur masih perlu ditambah. Apapun, untuk menjadi pengikut IG seseorang selebriti adalah hak peminat,” katanya.
Mengenai penggambaran drama Seputih Cinta Rangbulan, karya arahan MP Roslin ini mempunyai 50 episod dan diterbitkan Global Station Sdn Bhd. Lokasi penggambaran membabitkan Johor Bahru dan sekitar Lembah Klang.
Kata Dayana, penggambaran di Johor sudah habis dan kini mereka perlu menyiapkan bakinya di sekitar ibu kota.
“Jika semua aturan jadual berjalan lancar, penggambaran drama ini dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan,” katanya.
Selain berlakon drama, Dayana juga sudah mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan apabila menjadi hos program Top 5 Makan yang disiarkan di Hypp TV.