Wak Doyok Ditawarkan RM1 Juta Buang Misai


Wak Doyok tidak akan sesekali mencukur misai dan jambangnya.

Ikon fesyen Wak Doyok mendedahkan dia pernah ditawarkan bayaran lumayan berjumlah RM1 juta dengan syarat dia perlu memotong misai dan jambangnya demi projek amal.

Kata pemilik nama sebenar Mohd Azwan Md Nor, 38, ini, dia bagaimanapun menolak tawaran itu walaupun ia untuk tujuan murni kerana tidak sanggup mengubah imej yang sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.

"Saya memang tidak pernah terfikir untuk mencukur misai dan janggut kerana ini adalah diri saya.

"Pernah sebelum ini ada pihak tawarkan saya RM1 juta untuk berbuat demikian tetapi saya tolak... tak sanggup!," katanya.

Bintang filem Abang Long Fadil 2 ini juga menegaskan dia juga tidak akan melakukan perkara sama sekiranya ada tawaran berlakon memerlukan dia mengubah penampilan wajahnya.

"Jika ada tawaran memerlukan saya mencukur jambang dan misai, saya tidak akan terima dan anggap ia bukan rezeki saya," katanya.

Bercakap mengenai karier lakonannya, Wak tidak melihat kejayaan Abang Long Fadil 2 adalah alasan untuknya bersikap 'demand' terhadap tawaran berlakon pada masa hadapan.

Sebaliknya kata Wak, jika sesuatu watak ditawarkan itu kena dengan dirinya dia akan terima dan bayaran menjadi soal kedua.

"Tidaklah kerana filem ini berjaya saya pun hendak meninggi diri kerana kejayaan Abang Long Fadil 2 adalah atas usaha semua.

"Saya pun masih baru dalam industri jadi soal 'demand' tidak timbul malah ia soal kedua, paling penting tawaran itu sesuai dengan saya," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post