Dari Mata popularkan Jaz Hayat


Kesibukan dengan aktiviti nyanyian menjadi salah satu punca pelantun lagu Dari Mata, Jaz Hayat sedikit kelewatan mempromosikan single pertamanya itu di Malaysia.

Kata artis di bawah naungan Sony Music Indonesia itu, perancangan untuk bertemu peminat tempatan sering tergendala sehingga dia kini telah muncul dengan lagu baharu bertajuk Kasmaran.

“Pada awalnya, saya merancang untuk mempromosikan lagu Dari Mata di Malaysia pada tahun lalu tetapi kesibukan kerja menjadikan rencana itu sering tertunda.

“Kedatangan saya ke Malaysia ini juga dilakukan pada saat-saat akhir dan syukur segalanya berjalan lancar,” ujar jejaka berusia 24 tahun berkenaan.

Lirik video lagu tersebut turut menerima sambutan baik daripada peminat dan hampir 50 juta kali tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada Mei 2016.

Mesra disapa sebagai Jaz, dia mengharapkan agar lagu keduanya juga akan mendapat reaksi sama seperti single Dari Mata daripada peminat.

Bercerita mengenai lagu Kasmaran, kata Jaz ia membawa maksud seseorang sedang dilamun cinta. Lebih menjurus ke arah genre pop soul, klip video lagu itu juga telah berada di YouTube sejak enam bulan lalu.

Selain mengharapkan usaha mengembangkan bakat dalam industri diterima, Jaz turut berkongsi cerita mengenai pembabitan awal dirinya sebagai penyanyi.

Menurutnya, tindakan memuat naik lagu I Stalk Your Profile yang dinyanyikannya semula telah membuka laluan buat dirinya menceburi kerjaya nyanyian sehingga diundang untuk membuat persembahan pada acara Anugerah Planet Muzik 2013 (APM2013).

“Kerjaya saya bermula dengan memuat naik lagu bertajuk I Stalk Your Profile di YouTube. Peminat suka lantas mengundang saya membuat persembahan pada APM2013,” jelas Jaz tersenyum.


Kagumi Faizal Tahir

Dalam pada itu, Jaz juga meluahkan keinginan untuk bekerjasama dengan idolanya, Faizal Tahir. Bagi Jaz, karya yang dihasilkan penyanyi berkenaan banyak memberi inspirasi selain mampu menyebarkan aura positif kepada pendengar.

“Karya yang dihasilkannya sangat sarat dengan nilai positif. Bukan sahaja bertindak sebagai penghibur, malah Faizal juga mempunyai kredibiliti menghasilkan lagu bermutu tinggi.

“Kehebatannya membuatkan saya berasa kagum dan berharap agar suatu hari nanti diberi peluang untuk melakukan kolaborasi atau menyanyi lagu ciptaannya,” kata Jaz yang dilahirkan di Brunei, namun mula menetapkan di Indonesia sejak enam tahun lalu.

Tambahnya, meskipun berpengalaman hampir enam tahun sebagai penyanyi, tempoh tersebut tidak menjadikan Jaz mudah berasa bangga diri mahupun bersikap sombong.

“Tiada istilah senior kerana kita sentiasa perlu mempelajari perkara baharu dan tidak salah untuk saling berkongsi ilmu antara satu sama lain,” terang Jaz mengakhiri perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post