Kisah hidup Kaka Azraff menerusi lagu Kembali


Pada pemikiran seorang wanita bernama Kaka Azraff, dia adalah individu yang mempunyai masalah keyakinan diri yang sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.

Meskipun pada zahirnya dia kelihatan sebagai seorang yang ceria dan positif, namun pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff itu sering berdepan dengan banyak keraguan berkaitan kehidupan peribadi, malah kadangkala turut melibatkan hal kerjayanya.

Namun begitu, pada usia 28 tahun, wanita itu mengambil keputusan mengubah pemikiran tersebut dan memilih untuk berkongsi ceritanya menerusi single terbaharu bertajuk Kembali.

Mengakui bait-bait lirik lagu ciptaan sepenuhnya oleh The Good Fellas itu sebagai sesuatu yang dekat dengan jiwanya, Kaka berkata, dia mahu menjadikan Kembali sebagai satu permulaan baharu dalam hidupnya.

Bukan mengatakan bahawa kehidupan sebelum ini tidak bagus, namun penyanyi yang terkenal dengan lagu Bukan Hal Aku ini mahu memberi peluang kepada dirinya untuk keluar daripada kepompong yang terlalu memikirkan persepsi orang terhadapnya.


Cabaran

Bercerita lanjut tentang Kembali, Kaka berkata, peruntukan masa dua bulan diambil untuk menyiapkan lagu ini kerana The Good Fellas menghasilkan banyak versi demo dan dia perlu mendengar satu per satu untuk memilih yang terbaik.

Anak saudara kepada Ratu Rock Malaysia, Ella itu juga berkata, dia jatuh hati dengan kematangan lirik yang dihasilkan dan berasa ia sebagai satu cetusan semangat buat mereka yang mendengarnya.

Kata Kaka, dia sebenarnya seorang individu yang selalu berasa dirinya tidak boleh atau tidak mampu melakukan sesuatu yang baharu dan takut percubaannya akan mendatangkan kritikan-kritikan negatif terhadapnya.


“Lagu Kembali adalah satu motivasi untuk diri saya yang terlalu cepat sedih dan takut dengan komen-komen orang sehingga sukar untuk kekal fokus dalam hidup serta karier.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk bersikap lebih tenang dan terima hakikat hidup kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Jadi selepas ini, saya akan menjadi seorang individu yang lebih terbuka, bebas daripada tekanan dan tidak lagi takut untuk mencuba apa sahaja yang saya inginkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Kembali di The Gasket Alley, Petaling Jaya baru-baru ini.

Saat ditanya adakah semangat perubahan yang berkobar-kobar itu turut diinspirasikan daripada kegagalan cinta lalu, Kaka tidak menafikan ia sedikit sebanyak mempengaruhi keputusannya itu.

Katanya, dia enggan lagi menjadi wanita yang memberi hak kepada orang lain untuk mengawal hidupnya dan terlalu memikirkan perasaan orang berbanding dirinya sendiri.

Sempat diusik adakah itu bermakna dirinya kini solo dan tidak berteman, Kaka hanya melepaskan ketawa besar sambil berkata, buat masa sekarang dia hanya bercinta dengan kerjayanya.

“Saya ada juga berkawan rapat dengan lelaki tetapi untuk sampai ke tahap bercinta rasanya belum lagi. Malah, sewaktu saya digosip bercinta dengan Rodi (gitaris Kristal) pun, kami sebenarnya tiada hubungan istimewa dan sekadar teman biasa sahaja,” luahnya lagi.

Bagaimanapun, enggan menyembunyikan hakikat dirinya juga merupakan wanita biasa yang memerlukan seorang lelaki di dalam kehidupannya, Kaka juga begitu.

Mengakui sedang berkenalan dengan seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Mr. N, kata Kaka, fasa hubungan yang terbina jauh lagi untuk masuk dalam kategori bercinta.


Menjangkau usia enam tahun dalam industri, Kaka giat mengumpul material untuk album pertamanya dan enggan terburu-buru kerana mahu menghasilkan sebuah album yang berkualiti dan terbaik.

Muay Thai

Menolak jauh kisah cinta hati, Kaka sebenarnya telah menemui kecintaan baharu sewaktu menjalani penggambaran klip video Kembali iaitu seni mempertahankan diri, Muay Thai.

Menerusi klip video arahan Kerol itu, Kaka membawa watak seorang wanita yang perlu menyelamatkan teman lelakinya, lakonan Bront Palarae selain beraksi dalam babak pergaduhan yang ekstrem.

Walaupun sebelum ini, dia adalah seorang gadis yang gemarkan aktiviti lasak, namun Kaka berkata, Muay Thai ini perlu untuk dirinya sebagai seorang wanita supaya pandai mempertahankan diri jika ada apa-apa yang berlaku.

Menurutnya lagi, sewaktu kecil dia pernah berdepan dengan situasi diganggu oleh lelaki yang membuatkan dirinya trauma dan mengelak berjalan sendirian sehingga sekarang.

“Saya sebenarnya seorang yang penakut, ini satu pengakuan jujur. Jika saya memandu malam-malam atau berjalan berseorangan walaupun pada waktu siang, saya sangat paranoid dengan orang sekeliling.

“Jadi, memiliki kemahiran Muay Thai membuka mata saya bahawa wanita tidak perlu jadi lemah dan mengharapkan lelaki sentiasa.

“Saya turut menyeru wanita di luar sana, jika bukan Muay Thai sekalipun, belajarlah ilmu pertahan diri supaya kita sendiri berasa selamat untuk ke mana-mana,” ujarnya yang kekal meneruskan kelas Muay Thai selepas tamat penggambaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post