Persaingan generasi baharu, lama #AJL32


Barisan penyanyi yang berjaya melayakkan diri untuk bertanding pada separuh akhir Muzik-Muzik ke-32 pada 29 Oktober, 5 dan 12 November depan.

Bahang Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) sudah mula terasa apabila sebanyak 30 buah lagu bakal bersaing di pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-32 yang akan bersiaran selama tiga minggu iaitu pada 29 Oktober, 5 dan 12 November depan bagi merebut 12 tempat di pentas akhir AJL32 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Bersiaran pada Ahad pukul 10 malam, ketiga-tiga edisi itu akan dikendalikan oleh pengacara Sherry al-Hadad dan Hefny Sahad bersiaran secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.

Menurut Pengarah Penjenamaan, Kandungan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd., Sherina Nordin, pentas AJL kekal sebagai platform terbaik bagi meraikan penggiat seni khususnya dalam lapangan penciptaan lagu dan nyanyian.

“Sokongan kami terhadap pemuzik tidak akan pernah berhenti kerana saban tahun akan muncul ramai pengkarya baharu yang tampil untuk memeriahkan industri terutama golongan muda.

“Disebabkan itu, amatlah wajar bagi pihak kami untuk terus memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah bertungkus lumus khususnya pencipta lagu dan penulis yang sentiasa memberikan karya terbaik buat peminat,” katanya.

Dua generasi

Persaingan antara kesemua lagu menyaksikan pertembungan antara dua generasi iaitu lama dengan baharu selain memperlihatkan perbezaan genre yang dipertandingkan.


Dayang Nurfaizah merupakan finalis AJL yang sudah berada dalam pertandingan itu sejak beberapa tahun lalu.

Bagi generasi lama, antara penyanyi yang dilihat memberi saingan sesama sendiri adalah Hazama, Black dan Tomok serta Akim & The Majistret selain Siti Nordiana dan Dayang Nurfaizah.

Pun begitu, kehadiran mereka di atas pentas separuh akhir Muzik-Muzik 32 tetap menerima saingan daripada penyanyi generasi baharu yang dilihat berpotensi besar antaranya Syamel dan Haqiem Rusli.

Malah, dua penyertaan lagu daripada artis sama yang datangnya daripada penyanyi baharu juga membuatkan corak pertandingan lebih menarik untuk disaksikan.

Sebanyak 30 buah lagu yang layak ke pentas separuh akhir Muzik-Muzik 32 adalah hasil undian peminat menerusi carta Muzik-Muzik 32 dan wild card pada showcase Muzik-Muzik 32 yang diadakan di beberapa lokasi terpilih.

Setiap showcase yang merupakan jalan pintas untuk mara ke slot separuh akhir mempertandingkan sebanyak lima buah lagu dan hanya sebuah lagu terbaik dipilih.

Lima buah lagu yang layak bertanding pada peringkat separuh akhir menerusi wild card adalah Lebih Sempurna (Syamel), Segalanya dan Tergantung Sepi (Haqiem Rusli), Warkah Untukku (Ara Johari) dan Jampi (Hael Husaini).

Showcase Muzik-Muzik 32 telah berlangsung pada bulan Mac, April, Mei, Ogos dan September lalu bertempat di IOI City Mall, Putrajaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post