Taruhan berani Aman Aziz


Agak jarang sebenarnya untuk melihat seorang artis, terutamanya lelaki sanggup mengubah imej secara total demi mempromosikan sebarang produk, khususnya single terbaharu miliknya.

Namun, lain pula situasinya dengan bekas naib juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Aman Aziz apabila sanggup menadah muka untuk diconteng dengan solekan penuh karakter berkonsepkan pop art.

Hakikatnya, itulah kelainan yang cuba disampaikan pada imej lelaki berusia 24 tahun itu menerusi single terbaharu berjudul Sulit.

Imej berkenaan sekali gus menampilkan sisi matang Aman yang sudah bertapak selama tiga tahun dalam bidang seni suara.

“Idea untuk menampilkan konsep pop art merupakan hasil perbincangan bersama label rakaman saya iaitu LMA Talent House Sdn. Bhd.

“Kami mengambil inspirasi daripada penyanyi Lady Gaga yang sering tampil unik dalam setiap persembahannya. Bagaimanapun saya bukanlah mahu menjadi sepertinya, cuma saya mahu meminjam keunikan imej Gaga sahaja.

“Selain itu, imej ini bukan sekadar ingin mencari kelainan kepada penampilan dan cara mempromosikan single baharu tetapi saya ingin membuktikan keseriusan diri dalam mengembangkan bakat nyanyian,” katanya yang ditemui ketika pelancaran single Sulit di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, biarpun imej pop art yang diperkenalkan Aman masih baharu dalam industri, ujar pemilik nama lengkap, Mohammad Razman Abdul Aziz itu, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan pedas daripada netizen.

Tambahan pula, konsep berkenaan disifatkan sangat bersesuaian dengan jalan cerita di sebalik lagu baharunya.

Malah, lelaki itu juga tidak kisah andai penampilan pop art tersebut lebih menjadi tular dalam kalangan netizen berbanding kerjaya seninya.

“Sebenarnya saya dan keluarga sudah nekad tidak mahu mengendahkan kritikan orang ramai. Sejak menyertai AF lagi saya pernah dikritik hebat daripada seorang juri, jadi sudah tiba masanya untuk bangkit dan membuktikan kebolehan diri.


Aman bersama orang kuat di sebalik penghasilan single terbaharunya termasuk Fedtri Yahya (kiri sekali) dan Asfan (dua dari kiri). Seiring dengan tema lagu Sulit yang menggambarkan kegelapan, Aman Aziz meminta untuk merakamkan single berkenaan dalam suasana yang gelap-gelita pada waktu malam.

“Untuk pengetahuan semua, saya pernah berkongsi gambar dengan solekan berkonsep pop art di laman sosial. Rata-rata peminat memberikan maklum balas positif kerana ia satu konsep yang unik tetapi masih menampilkan sisi maskulin seorang lelaki,” ujarnya yang akan tampil dengan karakter pop art berbeza setiap kali membuat persembahan.


Aman Aziz - Sulit

Sulit

Diajak bercerita tentang penghasilan single ketiganya, lagu berjudul Sulit merupakan hasil ciptaan Asfan, manakala liriknya pula daripada Fedtri Yahya.

Tanpa berselindung, lelaki kelahiran Klebang, Melaka itu memberitahu, dia menghadapi pelbagai kesulitan sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Asfan dan Fedtri sudi menyumbangkan idea mereka untuk lagu ini. Tujuan saya meminta khidmat mereka bagi mencipta kelainan dalam susunan muzik berbanding dua buah single sebelum ini.

“Proses rakaman Sulit mengambil masa selama empat bulan. Pelbagai masalah saya hadapi seperti kewangan dan proses gubahan lirik yang berulang kali dibuat demi memastikan kualiti yang terbaik.

“Selain itu, saya juga seorang yang mudah jatuh sakit, terutamanya batuk. Disebabkan hal itu, rakaman terpaksa ditangguh agar tekak saya kembali pulih seperti biasa,” terang Aman yang merakamkan lagu berkenaan dalam keadaan bergelap di studio pada waktu malam.

Ditebak soal keyakinan mengenai penerimaan peminat terhadap single tersebut meskipun dua lagu terdahulu, Without You dan Layang-Layang kurang mendapat sambutan, Aman kemudian mengukir senyuman.

Baginya, pemilihan imej baharu dan sentuhan magis daripada Asfan serta Fedtri meneruis Sulit sudah cukup memberikan keyakinan buatnya bahawa lagu tersebut akan diterima baik peminat.

“Pemilihan judul Sulit adalah sebagai metafora tentang kesukaran seseorang untuk beralih daripada kegagalan percintaan. Single ini sangat berbeza berbanding daripada dua lagu terdahulu.


Sebagai graduan Diploma Seni Reka Grafik, Aiman mengakui turut mempunyai bakat untuk menyolek dirinya sendiri. Bagaimanapun, solekan pop art hanya akan dibuat pada waktu kecemasan sahaja.

“Sebelum ini, masyarakat seakan-akan tidak nampak kehadiran saya dalam industri, jadi saya yakin melalui imej dan kelainan yang ditonjolkan menerusi Sulit dapat menaikkan kembali nama Aman Aziz,” katanya penuh optimis.

Lakonan

Membawa perbualan ke topik penglibatan dalam program realiti terbaharu terbitan Astro, Akademi Fantasia (AF) Megastar yang baru membuka tirai pada Ahad lalu, penyanyi itu tertawa kecil.

Ujar Aman, dia pernah dipanggil untuk mengikuti sesi uji bakat untuk program berkenaan, namun rezeki tidak berpihak kepadanya.

Kekecewaan tersebut bagaimanapun terubat apabila dia dilamar pengarah popular, Raja Ahmad Alauddin untuk berlakon dalam sebuah drama rantaian berjudul Awak Suka Saya Tak?

Selain Aman, drama yang bakal ditayangkan menerusi slot Megadrama di Astro itu turut menampilkan lakonan Alvin Chong dan Emma Maembong.

“Naskhah berkenaan merupakan drama rantaian pertama lakonan saya yang bakal ditayangkan sekitar bulan ini. Sebelum ini saya pernah berlakon dalam sebuah telefilem berjudul Cinta Suci.

“Jika difikirkan, sememangnya lakonan juga antara bidang yang menyeronokkan kerana saya dapat membawa dan menghayati karakter orang lain. Secara tidak langsung, ia juga boleh membantu saya menjiwai sesebuah lagu semasa persembahan.

“Namun, jika diberi pilihan antara lakonan dan nyanyian, saya tetap mengutamakan nyanyian kerana ia merupakan bidang pertama saya ketika melangkah masuk ke dalam industri,” ujarnya menutup bicara.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post