Afgan, Ungu berkongsi pentas


Dari kiri: Erik, Afgan, Enda dan Makki daripada kumpulan Ungu.

Selepas empat tahun, akhirnya penyanyi Afgan dan kumpulan Ungu kembali berkongsi pentas menerusi Konsert Terunggul Afgan & Ungu yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 6 Oktober depan.

Kali terakhir mereka digandingkan adalah dalam sebuah konsert di Singapura empat tahun lalu. Meskipun Malaysia sudah menjadi rumah kedua Afgan kerana begitu kerap mengadakan persembahan di sini, penyanyi lagu Terima Kasih Cinta itu tetap yakin konsert tersebut akan mendapat sambutan peminatnya.

“Memang saya akui agak kerap mengadakan persembahan di Malaysia dan cukup selesa setiap kali berada di sini. Sungguhpun begitu, setiap persembahan itu berbeza kerana saya mempunyai banyak koleksi lagu.

“Apa yang boleh dikongsi, konsert ini cukup istimewa bukan sahaja untuk peminat tetapi diri saya sendiri. Hal ini kerana saya cukup menghormati dan kagum dengan kumpulan Ungu yang merupakan senior dalam industri muzik,” kata Afgan yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama dengan kumpulan Ungu iaitu Trinity Optima Production.

Jelas Afgan, kali pertama dia bertemu dengan Ungu adalah sekitar tujuh tahun lalu ketika membuat persembahan pembuka tirai untuk pelancaran album kumpulan itu pada 2010.

Tidak disangka, kini dia mampu berkongsi pentas dengan kumpulan yang mempunyai pengaruh besar di Indonesia dan Malaysia itu.

“Sebenarnya saya dan kumpulan Ungu sudah seperti keluarga. Jadi, apabila kami disatukan dalam sebuah konsert besar seperti ini, ia satu penghargaan. Saya akan pastikan peminat di Malaysia akan menyaksikan sebuah persembahan berbeza.

“Sudah tentu kami akan berduet dalam beberapa buah lagu tetapi sekarang ini belum dapat didedahkan kerana masih mencari lagu yang sesuai. Apa yang pasti saya akan menyanyikan sekitar 10 buah lagu,” kata Afgan yang ditemui pada sidang akhbar Konsert Terunggul Afgan & Ungu di pejabat penganjur, Popcorn Studio Sdn. Bhd. baru-baru ini.


Afgan akan mendendangkan sekitar 10 buah lagu pada Konsert Terunggul Afgan & Ungu.

Ungu tidak bubar

Sementara itu, kumpulan Ungu yang diwakili dua anggotanya, Makki (pemain bass) dan Enda (pemain gitar) pada sidang akhbar tersebut turut menjelaskan konsert tersebut cukup istimewa kerana mereka kini semakin jarang mengadakan persembahan pentas.

Bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya ia disebabkan kesibukan vokalis kumpulan tersebut Pasha, yang menceburkan diri dalam bidang politik. Selain menyanyi, Pasha kini bertugas sepenuh masa sebagai wakil rakyat Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia sejak awal tahun lalu.

Bagaimanapun menurut Makki, kerjaya muzik mereka tidak pernah terjejas kerana selepas lebih 20 tahun dalam bidang seni, sudah tiba masanya kumpulan Ungu memperlahankan perjalanan seni untuk memberi ruang kepada setiap anggota mereka memberi komitmen terhadap perkara lain seperti keluarga, perniagaan dan projek sampingan.

“Walaupun kami memperlahankan kerjaya seni, kumpulan Ungu masih wujud dan tidak pernah bubar. Buat masa ini, kami hanya menerima persembahan pentas yang diadakan selepas waktu pejabat mengikut jadual kerja Pasha.

“Tidak ada sebarang isu mengenai perkara tersebut. Kami telah bersetuju tidak akan mengadakan persembahan tanpa salah seorang anggota Ungu. Ini bermakna kami tidak akan menggantikan orang lain sebagai vokalis Ungu semata-mata mahu memenuhi undangan pentas,” jelas Makki yang juga pemilik sebuah syarikat produksi.

Bercerita lanjut tentang konsert berkenaan, kata Enda, berkemungkinan besar kumpulan Ungu akan turut menyanyikan single terbaharu mereka berjudul Setengah Gila yang belum dilancarkan di Malaysia.

“Selain menyanyikan barisan lagu popular dan berduet dengan Afgan, kami akan mendendangkan single terbaharu khas buat peminat yang hadir di konsert tersebut. Oleh itu, buat peminat kumpulan Ungu jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kami di Konsert Terunggul Afgan & Ungu,” kongsi Enda.

Apa yang lebih menarik, pengasas Popcorn Studio, Erik Ong memberitahu, sebanyak 400 keping tiket konsert berkenaan telah berjaya dijual sebelum majlis sidang akhbar.

“Saya menyasarkan seramai 8,000 orang penonton akan hadir pada konsert ini kerana Afgan dan kumpulan Ungu mempunyai peminat yang ramai di Malaysia,” kata Erik.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post