Rabu lalu filem Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof mencatat kutipan RM17.1 juta. Jumlah ini bukanlah yang tertinggi dicatat filem tempatan setakat ini.
Bagaimanapun, apa yang menariknya mengenai angka ini ialah ia kejayaan besar buat anak bongsu Datuk Yusof Haslam. Syafiq kini mampu tersenyum bangga.
Mana tidaknya, jika selama ini Syafiq hanya menyaksikan dari jauh kejayaan abangnya, Syamsul mencatat kejayaan besar melalui filemnya seperti KL Gangster dan terbaru, Munafik, kini dia membuktikan dirinya juga mampu mencatat kejayaan besar sama seperti abangnya sekali gus mengikut jejak kejayaan ayahnya.
Mula-mula ayahnya melakar sejarah hingga digelar Six Million Dollarman apabila filem Sembilu 2 mencatat kutipan RM6 juta pada 1995.
Selepas enam tahun memegang rekod itu, ia dipecahkan Aziz M Osman pada 2001 untuk filem Lagi-lagi Senario. Itupun hanya lebih sedikit iaitu RM6.33 juta.
Ketika itu kita lihat Yusof saling bersaing dengan Aziz apabila Gerak Khas The Movie mencatat kutipan lebih RM4 juta pada 2001 manakala filem arahan Aziz, Senario The Movie pada 1999 mencatat kutipan lebih RM4 juta dan Senario Lagi pada 2000 turut mencatat lebih RM4 juta.
Sembilu 2005 menjadi karya terakhir Yusof apabila membuat keputusan untuk berundur daripada dunia pengarahan. Mungkin ketika itu Yusof menyedari saingan hebat daripada pengarah muda hingga memilih untuk memberi laluan kepada mereka.
Kata orang, biar berundur ketika nama sedang harum supaya terus diingat orang dengan sesuatu yang indah sahaja.
Namun, perjuangannya tidak terhenti di situ apabila anaknya meneruskan perjuangannya. Ternyata anak sulungnya, Syamsul punya bakat luar biasa hingga filem arahannya mencatat kejayaan besar.
Kini giliran Syafiq pula. Siapa sangka Syafiq yang mula berkarya melalui filem SAM pada 2012 mampu melakar sejarah sejauh itu. Bunga-bunga kejayaan Syafiq mula terserlah apabila bergelar pengarah paling muda dalam usia 18 tahun ketika itu.
Selama ini mungkin kita melihat dia sebagai anak kecil yang sering ditenggelami kejayaan besar abangnya dan kini Syafiq membuktikan kehabatannya melalui sekuel Abang Long Fadil yang ditayangkan pada 2014.
Abang Long Fadil 2 juga adalah filem kelima arahan Syafiq selepas SAM (2012), Abang Long Fadil (2014), Villa Nabila (2015), Desolasi (2016). Selepas ini Syafiq mempertaruhkan filem KL Special Force pula.
Antara Syafiq dan Syamsul, kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. Malah mereka mampu bersaing secara sihat tanpa dibayangi satu sama lain.
Pada usia 24 tahun, Syafiq dilihat lebih suka bereksperimentasi dari segi teknikal dan menguji kreativitinya melalui gerak kerja kamera.
Syamsul pula hebat dari segi penceritaan. Kalau tidak takkan menang tiga kali Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) melalui KL Gangster, KL Gangster 2 dan Munafik.
Itu di negara sendiri, di luar negara pula, Syamsul menang Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja Ogos lalu.
Kini tapak yang dibina Yusof melalui produksi Skop Production makin kukuh dengan kejayaan dicapai dua anaknya.
Memang sukar dipercayai pencapaian hebatnya kerana tiada satu pun filem terbitan Skop Production mencatat kerugian. Kalau tidak untung pun mungkin filem Desolasi yang ditayangkan pada 8 Disember 2016, itu pun, kata Yusof, kerana kos penerbitannya yang tinggi.
Kini masing-masing mempunyai satu filem dalam tangan. Syamsul dengan Munafik 2 manakala Syafiq dengan KL Special Force.
Dari segi pengiktirafan, Yusof tidak berpeluang menggenggam trofi Pengarah Terbaik di FFM sedangkan Syamsul menang tiga kali.
Malam tadi berlangsung FFM29 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan filem arahan Syafiq, Abang Long Fadil 2 antara yang bertanding bersama 53 filem lainnya.
Syafiq pernah menang Pengarah Harapan Terbaik di FFM26 dan menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pengarah Paling Termuda melalui filem sulung arahannya, SAM.