Pelakon Kamal Adli, 31, tidak pernah lekang dengan kontroversi sejak dulu. Antara yang sering dicanang adalah kisah cinta dan sikap lambat ke set drama.
Cuma dalam tempoh setahun ini, kontroversi yang dikaitkan dengannya kurang disebut sehinggalah beberapa minggu lalu, namanya dipetik pengarah dan produser filem Malay Regiment, Datuk Jurey Latif kecewa dengan sikap Kamal yang tidak hadir ke Malam Gala Tayangan Malay Regiment, 24 Ogos lalu.
Bertemu pelakon itu ketika pratonton filem terbaru lakonannya, Kolestrol VS Cinta berganding dengan Tizz Zaqyah pada 13 September lalu, Kamal tampil memberi penjelasan.
“Saya kesal dengan teguran Datuk Jurey susulan isu itu. Pada awalnya saya mahu diamkan sahaja sebab saya tiada masalah dengan beliau.
“Tapi tidak sangka pula beliau sanggup keluarkan kenyataan media dan mendoakan saya tidak lagi laku selepas ini,” katanya sedih.
Pelakon yang kini hangat diperkatakan melalui drama terbarunya, Duda Pujaan Dara yang turut dibintangi Zahirah MacWilson, Nazierah Amin dan Aprena Manrose mengakui kata-kata pengarah itu mengguris perasaannya.
Katanya, dia sudah memaklumkan keadaannya yang terikat dengan penggambaran drama Duda Pujaan Dara kepada produksi.
“Saya katakan jika sempat saya akan cuba hadir. Ia tidak bermakna satu bentuk janji yang sudah termeterai dan memerlukan saya wajib hadir ke acara itu.
“Masalahnya, pihak produksi drama tidak dapat melepaskan saya sebab kesuntukan masa. Saya minta maaf kerana mengguris hati beliau yang sudah pun memberi peluang kepada saya berlakon dalam filem itu,” katanya.
Kamal juga mengambil kesempatan ini untuk memperbetulkan fakta bahawa dia bukanlah pelakon utama filem itu sebaliknya hanya watak pembantu.
“Kalau dilihat pada poster filem, wajah saya pun tidak ada. Pun begitu, saya tetap menjalankan tanggung- jawab mempromosikan filem itu di laman sosial seperti biasa,” katanya.
Kata pelakon asal Pahang itu, dia tiada masalah untuk bekerjasama sekali lagi dengan pengarah itu andai masih ada ruang pada masa depan.
Kamal juga akui tidak menghubungi pengarah itu selepas kejadian kerana dia ada alasan sendiri. Katanya, dia sudah pun memberi penjelasan kepada pihak produksi filem dan mereka sepatutnya lebih arif mengenai isu itu.
“Saya dapat tahu mengenai hal berkaitan selepas membacanya di akhbar. Penjelasan ini bukan untuk membesarkan lagi masalah.
“Saya hanya mahu jelaskan situasi sebenar kenapa tidak muncul pada malam itu. Saya juga enggan memanjangkan lagi isu yang dianggap sudah reda antara saya dengan Jurey,” katanya.
Mengenai hubungannya dengan kekasih hati, Emma Maembong, Kamal berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada mereka berdua kerana perlu menjaga hati pihak lain juga.
Katanya, dia sudah lama bersedia untuk berkahwin tetapi dia juga perlu menghormati keputusan bapa Emma, pelukis terkenal Ismail Embong.
“Saya sudah bersedia jadi suami sejak beberapa tahun lalu lagi. Cuma pada masa ini, saya harap semua pihak dapat beri ruang. Banyak hati nak kena jaga,” katanya.
Kata Kamal, dia kini dalam persiapan untuk menyambung semula siri travelog Curi-Curi Cuti. Pada masa sama, dia juga akan mula menjalani dua penggambaran drama berganding dengan Emma Maembong dan Syatila Melvin.