Maisarah Ukulele Heret ibu tengok Greyson Chance


Maisarah (kiri) belajar Mandarin untuk tembusi industri hiburan China.

Apabila sudah minat dengan artis pujaan, sanggup buat apa saja. Beli album atau tidak mahu terlepas peluang menyaksikan konsertnya.

Itulah juga dilakukan penyanyi baru, Maisarah Ukulele, 16, yang begitu meminati penyanyi antarabangsa, Greyson Chance.

Disebabkan terlalu minat, Maisarah tidak melepaskan peluang menyaksikan showcase pertama Chance di Malaysia di KL Life Centre satu ketika dulu.

Walaupun masih bawah umur, Maisarah tidak kesah malah sanggup mengheret ibunya menemani.

Katanya, dia mula meminati Chance ketika usianya 10 tahun dan kagum dengan kebolehannya bermain piano.

“Mungkin bagi orang lain bakat itu bukan sesuatu yang istimewa kerana ramai lagi individu yang juga berkebolehan sepertinya.

“Tetapi dengan bakat itulah dia diundang menunjukkan kebolehannya menyanyi sambil bermain piano dalam program bual bicara The Ellen Show.

“Sebelum hadir ke bual bicara itu pun dia sudah terkenal. Selepas di temubual oleh Ellen, popularitinya mendadak naik. Saya ingin membuktikan dengan bakat yang kecil sebenarnya boleh membawa kejayaan kepada seseorang,” katanya.

Nama Maisarah belum mendapat tempat di persada tanah air seperti penyanyi lain tetapi dia tidak menjadikan alasan itu untuk berhenti meneruskan perjuangannya dalam industri muzik.

Menjadi satu-satunya penyanyi bawah syarikat pengurusan OnMuse bukan kekurangan buat Maisarah atau Maisarah Mohd Faizal.

Malah Maisarah akui berasa bertuah kariernya diuruskan syarikat yang banyak membawa artis Malaysia ke tanah besar China.

Dia kini giat mempelajari bahasa Mandarin agar dapat menempatkan diri sebaris dengan penyanyi tempatan di China.

Maisarah akui membina nama di tempat sendiri tidak mudah apatah lagi ingin menembusi pasaran di tempat lain. Oleh itu, Maisarah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu termasuk penguasaan bahasa dan mengalih bahasa dua lagunya ke Mandarin.

Meminjam aura Chance, Maisarah juga mahu dikenali seperti idolanya. Katanya, dia teruja apabila dapat menonton persembahan penyanyi itu.

Walaupun tempatnya jauh dari pentas dia gembira kerana itu kali pertama dia melihat Chance beraksi di hadapan matanya.

“Walaupun duduk jauh dari pentas, saya masih terhibur dengan persembahannya. Malah saya juga berjaya mendapatkan tandatangannya sebagai kenang-kenangan,” katanya.

Bagi Maisarah, Chance adalah penyanyi yang setia terhadap peminat dan tidak pernah menghampakan mereka.

Penyanyi lagu Waiting Outside The Lines itu sering mencari pembaharuan dalam lagu-lagu nyanyiannya. Dia akan memastikan tampil dengan kelainan.

“Nyanyian dan vokalnya juga semakin matang seiring dengan pertambahan usia dan dia suka bereksperimentasi dengan muzik dan semuanya menjadi.

“Bagi saya dia kreatif dan tidak menghampakan peminat. Semua lagu-lagu nyanyiannya menarik untuk didengar,” katanya.

Kali kedua Chance datang ke Malaysia lagi tahun lalu, Maisarah akui vokal penyanyi itu sudah berubah. Ada banyak perubahan dan jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Dia tidak hanya berada pada tahap yang sama. Sikap itu harus dicontohi. Kita harus berusaha untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti serta sentiasa berusaha mencari kelainan dalam lagu yang kita hasilkan,” katanya.

Meminati lagu After Life daripada album ketiga Chance, Somewhere Over My Head, Maisarah sendiri kini giat mempromosikan lagu ketiganya, Oh Si Kacak.

Ia adalah single hasil ciptaan penuh Maisarah sendiri. Selain itu, dia juga bakal muncul dengan album pertama yang dirancang pelancarannya November depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post