Siti Elizad Terbawa-bawa watak ke rumah


Pelakon Siti Elizad antara yang sering mendapat pujian dari segi lakonan.

Menurutnya, untuk mendapatkan hasil terbaik, ia bukanlah kerja satu atau dua hari.

Elizad, 32, berkata, setiap kali mendapat naskhah berat dia terlebih dahulu membuat kajian mengenai watak selain mengenal pasti ‘mood’ pada setiap babak.

Disebabkan itu, Elizad mengakui dia sering terbawa-bawa watak dilakonkan di luar sehingga membuatkan suaminya keliru sama ada dia sedang berlakon atau sebaliknya.

“Setiap kali mendapat skrip, saya menjadikan suami sebagai rakan pelakon. Dari situ dia boleh memberi pandangan. Jika terdapat babak sedih, saya turut menangis walaupun sekadar membaca skrip.

“Bukan itu saja, setiap kali saya melakonkan watak berat memang terbawa-bawa ke rumah. Kadang-kadang suami kata saya psiko! Jika saya pulang dalam keadaan ‘moody’, dia akan bertanya sama ada itu saya sebenar atau watak dalam lakonan.

“Mujur suami saya memahami dan dia tidak pernah mengeluh. Sebaliknya dia sentiasa memberi sokongan kepada saya. Cuma dia sering nasihatkan supaya jangan terlalu tertekan apabila pulang ke rumah kerana nanti rezeki tak masuk,” katanya.

Menurut Elizad, usaha yang dilakukan demi menjayakan sesuatu watak itu membantu bagi mendapatkan kualiti dalam lakonan.

“Apa yang saya perasan, kebanyakan pelakon baru sekarang tidak buat seperti saya dan pelakon lama lain ada lakukan. Mereka menganggap watak itu sekadar lakonan tanpa meletakkan tanggungjawab.

“Mereka hanya melontarkan dialog tanpa sebarang makna dan rasa. Lagi satu, kebanyakan orang baru lebih kepada mengejar populariti saja. Sedangkan saya dulu populariti datang kemudian. Disebabkan itu saya buktikan dengan bakat yang ada,” katanya.

Tidak letak harapan

Berkongsi mengenai filem lakonannya, Harmonika yang dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-29 esok, Elizad berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

“Dalam mana-mana pertandingan atau anugerah, saya sentiasa percaya kepada rezeki. Kalau ada, adalah. Jika tidak, saya perlu berusaha lagi. Saya bukan jenis yang berlakon untuk menang anugerah.

“Apa boleh dikatakan, saya sudah memberikan yang terbaik dalam filem Harmonika. Paling penting, filem ini dapat dipertandingkan pun sudah memadai. Bagi saya ia lebih bermakna kerana membabitkan kerja berpasukan,” katanya.

Elizad berkata, filem seram arahan Raja Mukhriz itu adalah kemunculan semula dirinya di layar lebar selepas tujuh tahun tidak berlakon.

“Selepas membuat kemunculan semula, ini lakonan pertama saya. Kebetulan watak diberikan bagus dan saya menyukainya. Bukan nak mendabib dada, tetapi berasakan genre berat memang sesuai dengan saya.

“Saya suka bermain dengan emosi. Kalau nak tahu hidup saya penuh dengan ilusi. Namun, ia cara terbaik saya mendapatkan penghayatan yang bagus. Saya perlu jadi pelakon ‘method’. Pada masa sama, saya suka membuat kajian terhadap sesuatu watak yang diberikan,” katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post